Editorial
25 April 2022
Merujuk kepada kes remaja OKU, Bella, yang didakwa didera di pusat jagaan Rumah Bonda, YB Bersatu DS Rina Mohd Harun dikritik keras oleh medsos dan juga media arus perdana kerana diterjemahkan gagal dan lembab menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Masyarakat dan Keluarga.
Kes penderaan Bella bukan baharu sehari dua heboh dalam media, sebaliknya sudahpun tercetus sejak Julai 2021 lagi.
Rina dilihat gagal mengambil tindakan yang pantas sehingga kes penderaan gadis remaja ‘down-syndrome’, Bella, panas diperdebatkan dalam media setelah dibawa ke mahkamah apabila beberapa bulan mengalami penderaan yang amat menyedihkan.
Mengapakah setelah sebegitu teruk Bella didera tiada apa-apa tindakan diambil sedangkan di sekeliling Rumah Bonda terdapat orang-orang Srikandi Bersatu, seperti Mas Ermieyati?
Golongan OKU ‘down-syndrome’ sepatutnya mendapat perhatian serius daripada menteri yang bertanggungjawab seperti Rina kerana golongan ini adalah lembam dalam hal pembelajaran dan komunikasi, lantas amat mudah dieksploitasi dan dianiaya.
Walau bagaimanapun golongan yang malangnya ini kerana sifat kelahiran mereka yang sedemikian, masih ada peluang dan potensi untuk menghadapi hidup melalui separa-berdikari atau berdikari sepenuhnya ketika dewasa kelak.
Namun sebagai menteri yang bertanggungjawab bagi golongan masyarakat seperti Bella, Rina Harun nampaknya tidak bertindak atau menunjukkan kepada rakyat apa-apa rancangan strategik untuk membantu golongan ini.
Kontradik dengan sikap kepedulian menteri terbabit, DYAM TMJ pula yang prihatin dan empatetik untuk membantu Bella.

Rina hanya menunjukkan perhatiannya setelah TMJ mencemar duli untuk membantu Bella yang dilihat terpinggir dengan sepuluh peguam yang membela pihak tertuduh, Siti Bainun di mahkamah.
TMJ mahu kementerian Rina Hrun melakukan sesuatu yang konstruktif bagi membela golongan OKU seperti Bella.
Namun rakyat sangsi adakah Rina Harun sedar bahawa negara mempunyai undang-undang yang mencukupi untuk melindungi golongan ‘down-sndrome’ sedemikian termasuk golongan OKU yang lain.
Adakah menteri ini juga sedar terdapat undang-undang yang menghalang penderaan dan penganiayaan dan sebarang salah-laku, tetapi malangnya tidak dikuatkuasakan secara efisien dan tuntas.
Semuanya berlaku antara lain adalah kerana kelemahan menteri seperti Rina Harun.
Adakah Rina Harun mahu menyatakan kepada TMJ bahawa ramai lagi golongan seperti Bella yang diabaikan dan terdedah kepada tragedi yang sama, tanpa sebarang pembelaan.

Sekiranya Rina Harun rasa aktiviti penampilannya di hadapan jurufoto media sebagaimana aksi bergambarnya semasa banjir melanda negara untuk mengelabui mata rakyat, dan tumpuannya yang lebih kepada aktiviti ‘modelling’, daripada berkhidmat kepada rakyat sebagaimana portfolio kementeriannya, maka lebih baiklah Rina Harun melepaskan sahaja jawatannya.

Inilah antara akibatnya memilih menteri kabinet tanpa berdasarkan merit dan potensi calon, sebaliknya hanya ‘tangkap-muat’ untuk memenuhi kuota parti komponen ‘kerajaan katak’.
PM Ismail Sabri Yaakob yang pernah mengeluarkan kenyataan untuk bertindak terhadap mana-mana menteri kabinet yang tidak memenuhi KPI seharusnya mengambil tindakan terhadap menteri seperti Rina Harun.

Lantas Rina Harun adalah salah seorang yang harus digantikan dengan tokoh lain yang lebih berkaliber, berkarisma dan bertanggungjawab.
*****
Tinggalkan Jawapan