Editorial
20 April 2022
Sehari-dua ini, heboh dan tertular laporan ‘Political Engagement PAS Pusat’ yang mengandungi rancangan strategik PAS-PN untuk masuk campur dalam urusan Badan Kehakiman bagi mempercepatkan tindakan memenjara pemimpin tertinggi UMNO.
Antara yang dapat dipetik adalah siaran FMT dan ‘Malaysia-hot.com’ yang telah membicarakan tentang isu tersebut.
‘Malaysia-hot.com’ telah mendedahkan dan menyiarkan salinan bahan laporan ‘penglibatan politik PAS Pusat’ (Political Engagement Pas Pusat) bersama Perikatan Nasional dalam isu menyusun strategi PRU15.





Dalam initipati laporan tersebut, antara lain mendedahkan rancangan strategik PAS untuk masuk campur dalam urusan mahkamah bagi memenjarakan tiga tokoh UMNO iaitu DS Najib Razak, DS Dr Ahmad Zahid Hamidi dan DS Mohamad Hassan sebelum PRU15.
Sekiranya bahan pendedahan portal media ‘Malaysia-hot.com’ yang diterbitkan dua hari lalu adalah tulen dan benar, maka PAS Pusat, sebagai parti yang kononnya berprinsipkan Islam, telah melakukan kezaliman serta tindakan yang jijik dalam sistem perundangan dan kehakiman negara.
Jika ia diperakui benar, maka jelaslah bahawa sememangnya berlaku campur tangan eksekutif oleh kerajaan PN yang didominasi oleh PPBM (Bersatu) serta Presidennya TS Muhyiddin Yassin dalam urusan badan Kehakiman Negara.
Antara nama-nama tokoh pemimpin PAS sebagai operator rancangan strategik itu ialah, DS Samsuri Mokhtar, dan DS Takiyuddin Hassan, manakala orang-orang jaringan hubungan mereka adalah Dr Mahathir, DS Hamzah Zainuddin, DS Azmin Ali dan seorang pemimpin UMNO, DS Hishamuddin Hussein (sila rujuk salinan laporan).

Pada 9 April, Muhyiddin Yassin juga telah mengeluarkan kenyataan agar perbicaraan kes 1MDB yang melibatkan DS Najib disegerakan. Ia seakan-akan selari dengan laporan ‘Political Engagement PAS Pusat’ tersebut.
Isu masuk campur badan eksekutif dalam badan kehakiman negara pernah didedahkan oleh TS Hamid Bador melalui ugutan ‘dakwaan terpilih’ dan rasuah tawaran jawatan serta wang ringgit.

Terdapat lima kali sebutan dalam laporan berkenaan yang mengatur strategi untuk mengheret ketiga-tiga tokoh UMNO itu ke dalam penjara.
Pastinya laporan berkenaan bukanlah strategi yang baharu dirancang oleh konco-konco Muhyiddin Yassin dan Menteri Dalam Negeri DS Hamzah Zainuddin, tetapi ia sekadar kesinambungan strategi yang sudah matang dan bukannya sesuatu yang baharu dicetuskan.
Tempat-tempat mesyuarat dan perbincangan kumpulan ini juga tercatat dalam laporan berkenaan dan antaranya ialah kediaman Tun Mahathir, kediaman Hamzah Zainuddin dan kediaman Hishamudin Hussein,
Lagi sekali, sekiranya laporan itu tulen, maka maruah, digniti dan keluhuran undang-undang negara kini sudah parah dan jijik, dan ini adalah kesinambungan daripada ‘undang-undang rimba’ yang hangat diperbincangkan pada era PH mentadbir negara.
Lantas, keabsahan dakwaan (dakwaan terpilih) ke atas DS Najib Razak, DS Ahmad Zahid Hamidi dan terkini DS Mohamad Hassan adalah ‘sifar’ dan sesuatu yang amat jijik bagi badan kehakiman negara.
Sekiranya laporan itu tulen, maka malanglah dan amat sedih sekali apabila parti yang kononnya memperjuangkan prinsip Islam, terlibat secara langsung menodai dan mencabul sistem perundangan dan kehakiman negara demi kuasa dan laba politik.
Siasatan terperinci hendaklah disegerakan supaya nama baik PAS dan PN dapat dibersihkan, sekiranya laporan berkenaan tidak benar.
Semoga Allah melindungi pihak yang teraniaya dan sekiranya kerajaan sedia ada cuba menzalimi sesiapa jua yang tidak bersalah, maka Allah pasti melindungi hamba-Nya yang dizalimi, dan Allah Maha Mengetahui dan Maha Adil.
****
Tinggalkan Jawapan