Editorial
14 April 2022
Rafizi Ramli, yang popular dalam kalangan netizen sebagai ‘pakar hasut dan fitnah’ diperlekehkan oleh ahli-ahli PKR sendiri, setelah dia mengumumkan untuk kembali ke pentas politik.
Dia pernah mengeluarkan kenyataan bahawa “setiap hari kita mesti menghasut” sehingga hasutan menjadi fitnah yang telah membawa kepada kebencian rakyat sebagaimana dibuktikan dalam PRN Sarawak, Melaka dan Johor, serta tujuh PRK sebelumnya.
Rafizi pernah terperangkap dengan kes National Feedlot Corporation dan dijatuhi penjara 30 bulan tetapi bernasib baik dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada Nov 2019, yang diterjemahkan sebagai campur tangan Peguam Negara, Tommy Thomas yang terkenal sebagai pengasas undang-undang rimba.
Dia seperti bertaubat untuk tidak lagi berkecimpung dalam dunia politik, dan memberi alasan bahawa dia mahu menumpukan perhatian kepada urusan perniagaannya.
Namun, netizen dikejutkan apabila dua syarikat milik Rafizi yang hampir muflis, dan sekonyong-konyong itu juga dia kembali mengumumkan untuk aktif semula dalam politik PKR.

Saifuddin Nasution mengutuk Rafizi sebagai pemimpin politik yang bacul, melarikan diri dari medan perjuangan ketika PKR sedang dikhianati.
PKR telah menghadapi era yang amat perit ketika pemimpin utama parti, Azmin Ali dan penyokongnya telah mengkhianati parti untuk menyertai Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin setelah ditawar jawatan Menteri.
Tugas mengukuhkan parti digalas oleh Presiden dan lapisan pemimpin yang setia di tengah-tengah krisis yang menyebabkan tumbangnya kerajaan PH.
Ahli Parlimen Lembah Pantai PKR, yang juga merupakan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, juga menghentam Rafizi yang mengeluarkan kenyataan pesimistik terhadap masa depan PKR dan membuat generalisasi bahawa PKR hanya sesuai menjadi ‘pembangkang yang bermaruah’ dalam parlimen Malaysia.

Bagi Fahmi paradigma yang ada dalam pemikiran Rafizi bertentangan dengan perjuangan PKR yang sewajarnya menguasai semula Putrajaya dengan strategi dan usaha yang pragmatik.
Bekas ketua PKR Perak Farhash Wafa Salvador juga membidas Rafizi Ramli, dan meminta dia menghentikan ‘permainan politik murahan’ dan bersikap jujur.
Farhash menyentuh kenyataan Rafizi berhubung keengganannya bertanding jawatan Presiden PKR dalam pemilihan parti pada Mei ini.
Kenyataan Rafizi itu banyak berbaur sindiran terhadap presiden PKR, sebagaimana diterjemahkan oleh Farhash.

“Rafizi juga secara biadab menyatakan bahawa dia memilih untuk tidak bertanding jawatan Presiden supaya tidak menimbulkan kacau-bilau dalam PKR,” ujar Farhash.
Persoalan penting yang harus dijawab adalah, adakah Rafizi rasa dia layak untuk menentang Anwar Ibrahim sebagai Presiden?
Farhash mencabar, jika Rafizi rasa dia layak maka gelanggang demokrasi ini terbuka luas. Biar anggota PKR melihat wajah sebenar kerakusan kuasa yang sanggup membelakangkan kepimpinan parti.
Farhash lebih melihat Rafizi sebagai banyak berkias dalam kenyataannya dengan sindiran terhadap Anwar sebagai lemah dan percutiannya dari aktif dalam PKR sebelum ini adalah kerana tidak bersetuju dengan keputusan dibuat oleh Anwar.

Naib Ketua Pemuda PKR Damansara, Syed Badli Syah pula melihat tindakan Rafizi untuk menentang Saifuddin Nasution bagi jawatan Timbalan Presiden akan mengundang perpecahan dalam PKR.
Hakikatnya kehadiran Rafizi, bukan sahaja membawa dirinya seorang diri, sebaliknya dia telah membentuk puaknya sendiri dan lantas akan berlaku kembali pertembungan sebagaimana dia menentang Azmin Ali dahulu.
Syed Badli turut menyatakan keyakinannya bahawa Saifuddin lebih sesuai memegang jawatan Timbalan Presiden kerana pengalaman dan kesetiaannya kepada parti.
Syed Badli juga membidas Rafizi sebagai ‘biadap’ apabila Rafizi menyeru semua calon untuk menjelaskan hala tuju peribadi mereka berhubung strategi pilihan raya.
Bagi Syed Badli gesaan Rafizi bertentangan dengan konsep kerja secara berpasukan dan Kongres Nasional PKR adalah badan tertinggi dalam parti dengan kuasa untuk menentukan perjalanan dan hala tuju parti dan bukannya hala tuju peribadi.

Ahli Parlimen Kangar (PKR), Noor Amin Ahmad juga menentang hasrat Rafizi untuk menentang Saifuddin Nasution merebut jawatan Timbalan Presiden yang baginya Saifuddin pemimpin paling layak untuk jawatan tersebut dan bukannya Rafizi yang gagal menunjukkan kesetiaan terhadap parti.
Kehadiran semula Rafizi hanya membawa pertembungan dua pemimpin PKR yang akan mengakibatkan pecah-belah dalam parti.
*****