Editorial
14 April 2022
Nurul Izzah Anwar amat pesimistik terhadap penerimaan rakyat ke atas PH, setelah didustai dengan janji palsu, pembohongan dan manifesto yang menjanjikan bulan-bintang.
Apa yang PH perlu buat sebelum kembali mendapat kepercayaan rakyat ialah berdiri sebagai pembangkang yang bermaruah dan menawarkan harapan baharu yang realistik, dan bukannya pendustaan serta janji palsu.

PH memerlukan sekurang-kurangnya dua penggal lagi, sebelum boleh memenangi semula hati rakyat yang amat kecewa, bukan sahaja pendustaan dalam manifesto PRU14, malah huru-hara dan porak-peranda yang telah berlaku dalam pentadbiran kerajaan ketika PH berkuasa selama 22 bulan.
Pola penolakan rakyat terhadap PH terbukti dalam PRN Melaka, Sabah dan Johor, serta tujuh PRK sebelum PH tumbang melalui tragedi Langkah Sheraton setelah mereka sedar rakyat tidak lagi meredai pemerintahan mereka.
Pemerintahan PH dicemari oleh kerakusan parti DAP yang mendominasi sehingga Dr Mahathir sendiri memperakui bahawa dia adalah ‘PM boneka’.
Keadaan menjadi bertambah buruk apabila rakyat juga menolak parti bekas komponen PH iaitu Bersatu yang telah mengkhianati PH.
Bekas Naib Presiden PKR itu berkata, PH juga diramal berdepan laluan sukar dan akan kehilangan banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU15.
Justeru Nurul Izzah berpandangan, PH perlu menjadi parti pembangkang yang bermaruah dengan menawarkan harapan baharu yang lebih realistik berbanding PRU sebelum ini.
Nurul Izzah merasakan tidak mudah untuk PH menang dalam PRU akan datang dan PH terpaksa bersedia untuk kalah pada dua lagi PRU.
Apa yang PH perlu lakukan ialah membuktikan kepada rakyat bahawa ia adalah pembangkang yang efisien tabah dan kental, dan ia memerlukan sekurang-kurangnya dua penggal sebelum dapat memulihkan kembali kepercayaan dan harapan rakyat.
“Kenapa saya mempunyai pandangan negatif mengenai keputusan PRU15? Saya amat realistik kerana pada saya kita akan mengambil masa untuk menawarkan dengan jayanya perbezaan produk kerana rakyat dan saya sendiri masih trauma dengan keadaan yang berlaku semasa PH menjadi kerajaan selama 22 bulan sebelum ini,” kata Nurul Izzah.
Jelaslah dia sendiri trauma dengan kegenjotan pemerintahan PH terutamanya DAP yang telah menghakis kepercayaan kaum Melayu-Islam yang merupakan pemilih majoriti dalam PRU.

Lihatlah bagaimana mereka cuba menongkah arus dengan antara lain, berusaha meratifikasikan ICERD, menyerapkan ideologi komunisme di sekolah-sekolah, membawa pulang abu mayat Chin Peng dan membela aktivis pengganas antarabangsa LTTE.
Nurul Izzah menegaskan, punca utama beliau tidak yakin PH akan kembali berkuasa selepas PRU15 adalah kerana dasar dan kegagalannya menunaikan manifesto PRU14 selepas menjadi kerajaan.
Bagaimanapun Izzah berkata, tempoh 22 bulan PH menjadi kerajaan terlalu singkat untuk dinilai berbanding Barisan Nasional (BN) yang berkuasa selama lebih enam dekad.
Namun itu tidak boleh dijadikan alasan sekiranya PH benar-benar memahami harapan rakyat, sebaliknya PH mencanangkan pembohongan bahawa negara akan muflis, kerajaan berhutang RM1 trilion, aset Tabing Haji dan Khazanah dilelong, dan semua tindakan PH yang tidak pragmatik dalam menguruskan ekonomi negara amat mengecewakan rakyat.
Nurul Izzah juga mengingatkan UMNO dan BN supaya tidak keterlaluan dengan keyakinan mereka untuk memenangi PRU akan datang kerana pengundi atas pagar belum lagi ‘mengaum’ sekuat mungkin.
Persekitaran PRN Melaka dan Johor telah berlangsung dalam situasi fasa pandemik dan kini negara sedang melalui fasa endemik yang boleh mengubah landskap PRU.
Apabila semua sektor ekonomi sudah dibuka sepenuhnya sudah pasti pengundi akan keluar beramai-ramai, dan Nurul Izzah mengingatkan semua ahli Parlimen supaya mereka patut berasa gentar terhadap pola pengundi atas pagar.
Mengikut pola pada statistik kecenderungan pengundi dan jumlah undian, UMNO-BN telah kalah sekiranya undi kepada PN dan PH bergabung.
Realistik pola statistik sedemikian juga harus menyedarkan UMNO-BN supaya berhati-hati, terutamanya terhadap pengkhianat dalam komponen PN.
*****
Tinggalkan Jawapan