Editorial
13 April 2022
Februari lalu, Ahli Parlimen Labuan, YB Rozman Isli telah mendedahkan dalam afidavitnya bahawa dia telah dipujuk di samping diugut untuk lompat meninggalkan parti Warisan dan menjadi Ahli Parlimen Bersatu (PPBM).
Menurut Rozman antara mereka yang cuba memujuknya meninggalkan Warisan adalah seorang pegawai SPRM, pembantu Muhyiddin Yasin, dan seorang Timbalan Menteri dari Bersatu.
Meskipun Menteri Undang-Undang, DS Dr Wan Junaidi mendedahkan terdapat 39 Ahli Parlimen yang telah melompat parti, namun 26 daripada mereka adalah ‘katak-katak politik’ yang telah melompat masuk ke Bersatu (PPBM).
Persoalannya adakah kesemua 26 Ahli Parlimen itu telah melalui pengalaman yang sama seperti YB Rozman?

Selain daripada 26 itu, mereka telah mengisytiharkan sebagai Ahli Parlimen Bebas, dan sebahagian lain menyertai parti Pejuang Tanahair.
Terkini, selain Rozman Isli, dua lagi iaitu Ahli Parlimen Batu dari PKR, YB Prabakaran (Batu) dan Tangga Batu, YB Rusnah Aluai, telah mendedahkan bahawa mereka telah dipujuk supaya melompat (ke parti Bersatu) dengan habuan jawatan.
Pendedahan ini lagi sekali membenarkan kenyataan bekas Ketua Polis Negara, TS Hamid Bador tentang rasuah politik oleh puak Muhyiddin Yassin demi meramaikan jumlah katak-katak politik dalam ‘kerajaan katak’.
Pasti tidak mungkin ‘kerajaan katak’ akan menyiasat kes ugutan dan rasuah katak politik yang amat lewah berlaku ketika Muhyiddin berkuasa.

Tanpa rasa gentar, Prabakaran mendedahkan di Dewan Rakyat, bahawa ada menteri memujuknya menyertai blok kerajaan PN ketika Muhyiddin berkuasa.
Prabakaran membidas, “Mereka fikir, sebagai Ahli Parlimen termuda, saya tidak mempunyai prinsip atau hala tuju politik. Mereka fikir mereka boleh mempengaruhi saya untuk melompat ke blok kerajaan, tetapi mereka gagal.
“Ada seorang ahli politik yang memberitahu saya: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) apa yang awak mahukan? Awak pilih, saya boleh beri.”
Bagaimanapun, Prabakaran menegaskan bahawa beliau tidak pernah terfikir untuk mengejar jawatan atau wang kerana setia kepada pengundinya.

Sementara itu, Rusnah Aluai (PH-Tangga Batu) turut mendakwa dia dipujuk untuk melompat parti pada 2020, melalui mesej WhatsApp ketika Muhyiddin berkuasa.
Dia berkata dia ditanya pada Jun 2020 sama ada dia mahu “melakukan dagangan kuda”, namun akhirnya Rusnah sedar bahawa dirinyalah kuda yang mahu dibeli.

Sebelum itu Tengku Adnan Mansor juga mendakwa beliau dijanjikan jawatan Timbalan Perdana Menteri selepas PRU14, jika sanggup melompat ke parti Bersatu.
“Namun demi Allah, apa yang saya ada hari ini adalah kerana UMNO dan saya tidak akan mengkhianati parti saya.
“Walau apa terjadi saya tidak akan mengikut apa yang dikehendaki mereka kerana saya amat yakin hanya UMNO-lah yang akan menentukan masa depan orang Melayu, agama saya terjaga dan negara terpelihara dengan hala tuju yang benar,” katanya.

Rozman pula mendakwa orang Muhyiddin cuba mendapatkan sokongannya sejak 29 Feb 2020, susulan Langkah Sheraton yang menyaksikan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan kepada pentadbiran PN.
Rozman mendedahkan seorang pegawai daripada SPRM telah bertanya mengapa begitu sukar baginya meninggalkan parti Warisan dan menyokong Muhyiddin.
Kemudian dia telah menerima panggilan telefon daripada seorang pembantu Muhyiddin, dan ditawarkan jawatan pengerusi Perbadanan Labuan dengan syarat dia menyertai parti Bersatu dan meninggalkan Parti Warisan Sabah.
Berikut adalah senarai 26 Ahli Parlimen pasca PRU14 yang telah lompat parti dan menyertai PPBM (Bersatu):

Daripada rekod, jumlah Ahli Parlimen PPBM adalah 31 kesemuanya, lantas dengan itu hanya 5 sahaja yang hakikatnya Ahli Parlimen yang tulen dari parti tersebut.
Semua pendedahan tentang ugutan dan habuan politik ini harus dijawab oleh Muhyiddin, jika tidak maruahnya ibarat najis dalam longkang kumbahan.
Dengan itu juga, mengapakah Sidang Parlimen harus mendengar hujahan ‘taukey katak’ ini dalam isu meluluskan RUU Akta Anti-Lompat Parti yang sedang diperbahaskan.
Pastinya Bersatu akan menolak RUU Anti-Lompat Parti dengan sokongan balacinya seperti PAS.
******
Tinggalkan Jawapan