4 April 2022
Pelbagai silat digunakan oleh Muhyiddin Yassin untuk menepis tindakannya mengadap Dr Mahathir bagi membantu mengangkat dirinya kembali sebagai PM. Kononnya Mahathirlah yang beriya-iya mahu berjumpa dengannya.

Mahathir, menolak saranan Muhyiddin mentah-mentah, malah dicaci-cerca sebagai orang yang pernah menikam belakang atau lebih mudah diterjemahkan sebagai pengkhianat. Lebih daripada itu Mahathir melabelkan Muhyiddin sebagai pemimpin tak bagus yang gagal.
Namun anehnya pemimpin yang dikatakan menegakkan prinsip Islam sering pula memuja Muhyiddin, sedangkan hakikatnya Muhyiddin tidak lagi yakin pada PAS sebagai rakan sekongkol setelah kalah teruk di PRN Melaka dan Johor.
Hadi lebih suka menyokong Muhyiddin daripada UMNO kerana dia melihat beberapa pemimpin UMNO telah diheret ke mahkamah, tetapi Hadi seperti rabun melihat kes Ahli Parlimen Labuan, Rozman Isli, yang dalam afidavitnya mendakwa dia diugut oleh Muhyiddin dan balacinya supaya lompat parti jika tidak mahu didakwa di mahkamah.

Tidakkah Hadi nampak perkara yang sama berlaku kepada Mustapha Muhammad, Mas Ermieyati, Ku Adnan, Ahmad Maslan, dan lain-lain lagi?
Kini Muhyiddin telah dengan terangnya membelot kepada PM Ismail Sabri pula apabila melobi pemimpin-pemimpin pembangkang untuk menentang parti UMNO yang mendukung Ismail Sabri.
Tidakkah Hadi melihat bahawa Muhyiddin juga membelot pada PAS apabila menghubungi musuh-musuh PAS untuk membentuk satu gabungan baharu menentang UMNO?

Bagi Mahathir, Muhyiddinlah yang telah meruntuhkan kerajaan PH melalui ‘Langkah Sheraton’ dan kemudiannya ‘menendang’ Mahathir keluar daripada PPBM (Bersatu).
Terkini, media telah menghebohkan pula bahawa Muhyiddin telah merancang pertemuannya dengan pemimpin-pemimpin pembangkang melalui ‘Langkah Carey’ tetapi tidak mendapat sambutan.
DAP, PKR, Amanah dan Warisan juga telah secara terbuka menolak kerjasama dengan Muhyiddin.
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata tiada peluang kedua untuk Muhyiddin setelah tindakannya menikam belakang serta mengkhianati gabungan kerjasama dalam PH pada Feb 2020.
Presiden Warisan Shafie Apdal pula mendedahkan, Muhyiddin menghubunginya bagi membentuk kerjasama baharu menjelang PRU15. Bagaimanapun, beliau sudah memberikan kata putus menolak permintaan tersebut selepas apa yang berlaku pada Feb 2020 dalam tragedi Langkah Sheraton yang dikatakan menjadi strategi Muhyiddin untuk rampas kuasa.
Sebelum itu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim juga secara tuntas telah menolak sebarang cadangan kerjasama dengan Muhyiddin. Pendirian Anwar ini dilemparkan semasa PRN Johor lagi.
Lantas, nampaknya hanya Presiden PAS sahaja yang beriya-iya memuja Muhyiddin, mungkin kerana setelah sekian lama berdiri sebagai pembangkang, inilah kali pertama PAS diberi kuasa dalam kabinet oleh Muhyiddin setelah PH tumbang, dan Presidennya dilantik sebagai Duta Khas ke Timur Tengah setaraf Menteri.
Ironinya rakyat melihat jawatan yang diberikan kepada Hadi itu satu pembaziran yang amat ketara, sedangkan dia adalah kaki ponteng sidang parlimen yang paling tinggi kadar ketidakhadiran.
Sumbangan Haji sebagai Duta Khas juga dipersoalkan oleh rakyat, dan apakah peranan Hadi dalam kemelut Syria dan Palestin?
Apabila bercakap tentang kempimpinan Islam dialah yang hebat, tetapi dari aspek amalan demokrasi, dia telah mengabaikan harapan rakyat sebagai wakil di parlimen yang kerap ponteng.
Kini setelah PAS sedar hakikat pembelotan Muhyiddin, dan sedar betapa akar umbi PAS-UMNO amat mendambakan Muafakat Nasional, maka ramailah dalam kalangan mereka mula menyanjung pula Muafakat Nasional yang sebelum ini telah diketepikan.

Mungkin mereka mula membuka mata setelah kalah teruk di PRN Melaka dan Johor, malah dimarahi oleh rakyat Johor kerana menggolongan rakyat Johor sebagai jahil agama.
Nampaknya majoriti parti menolak kerjasama dengan Muhyiddin kerana dia dan PPBM diterjemahkan sebagai pengkhianat, namun peliknya Presiden PAS yang mungkin sudah terlalu tua untuk berfikir secara waras, masih menyanjung Muhyiddin sebagai ‘khalifah perpaduan’ kononnya.
Adakah Hadi sedar, khalifah perpaduan kini sedang merancang untuk menolak PAS kerana dilihat sebagai parti komponen PN yang tidak mendatangkan apa-apa faedah sebagaimana terlihat pada PRN Melaka dan Johor?
Hadi juga lupa bertanya dirinya, semasa hampir dua juta umat Islam berkumpul di Dataran Merdeka dan Kuala Lumpur menentang ratifikasi ICERD pada 8 Disember 2018, di manakah beradanya Muhyiddin? Malahan dialah sebahagian daripada pemimpin komponen PH yang menyokong ratifikasi ICERD itu yang mahu menghapuskan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
******
Tinggalkan Jawapan