Editorial
29 Mac 2022
Konspirasi pihak tertentu dalam kerajaan PN dan sebelumnya PH, tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.
Negara telahpun dimalukan dengan sistem ‘undang-undang rimba’ yang diasaskan oleh Tommy Thomas manakala kes 1MDB ke atas DS Najib bermula seelok-elok PH berkuasa pada 2018.
Media Malaysia pada Oktober 2019, melaporkan bahawa Low Taek Jho atau Jho Low kini berada di Dubai dan mendapat lindungan ‘suaka’ di negeri berkenaan.

Pada waktu awal PH berkuasa di bawah pentadbiran Mahathir, Jho Low dikatakan bersembunyi di Wuhan, China.
Walau bagaimanapun Kedutaan China di Kuala Lumpur telah menafikan keberadaannya baik di Wuhan mahupun di Macau.
Pihak polis China telah mengesahkan bahawa mereka telah mengambil tindakan susulan dan menyiasat dengan teliti setiap petunjuk yang relevan daripada PDRM, tetapi malangnya Jho Low masih tidak ditemui.
Lebih memalukan apabila pihak polis China mendakwa, siasatan PDRM yang mengatakan bahawa Jho Low berada di Macau adalah tidak berasas dan tidak boleh diterima.
Adakah PDRM cuba menyembunyikan Jho Low untuk menyelamatkan Tun Mahathir yang telah banyak memberikan projek kepada bapa Jho Low semasa dia berkuasa selama 22 tahun?

Jho Low adalah instrumen yang amat penting dalam konspirasi menjatuhkan 1MDB kerana Jho Low adalah ‘multi-billionaire’ anak kepada TS Low Hock Peng@Larry Low, jutawan yang dikatakan kroni Tun Mahathir.
Kini TS Low Hock Peng juga hilang dan seakan-akan dilupakan sahaja oleh pihak PDRM, SPRM dan mahkamah yang mengendalikan kes 1MDB.

Semasa Tun Mahthir berkuasa sebagai PM pada 1981-2003, dia telah meluluskan beberapa kontrak kerajaan kepada Larry Low iaitu bapa Jho Low, antaranya:
- Projek kereta api Kerteh-Kuantan yang dikendalikan MWE
- Projek Light Medium Industrial buildings in Mukah
- Projek Perumahan untuk pegawai-pegawai kerajaan
- Projek Mukah Coal Stockyard
- Projek Mukah Coal-Fired Power PlantRC works for coal handling & conveyor system
- Projek Terminal Bas Kota Samarahan
- Projek Assyakirin Commercial Centre
- Projek Bandar Baru Betong termasuk Projek Terminal Bas Betong
- Projek Bintulu Sentral
- Projek Demak Laut Industrial Park
- ..dan puluhan lagi projek di bawah kendalian Pertubuhan ‘Hock Peng’

Media arus perdana, saban hari menjaja nama Jho Low seiring dengan skandal 1MDB, seakan-akan Jho Low adalah penjenayah hebat, sehebat tokoh kartel dadah Mexico, Pablo Escobar.
Namun anehnya pihak Interpol sendiri seperti gagal menjejaki Jho Low yang seakan-akan dilindungi oleh pihak tempat dia bersembunyi.

Hairannya, dengan bantuan polis antarabangsa untuk mengekstradisi Jho Low, tidak berjaya sehingga ke hari ini.
Lebih aneh lagi apabila Jho Low sebaliknya mendakwa bahawa tuduhan terhadapnya adalah bermotifkan politik oleh pihak Tun Mahathir dan konco-konconya.
Media juga telah menghebahkan walaupun passport Jho Low telah dibatalkan oleh beberapa negara, Joh Low masih tidak ditemui.
Lebih mengelirukan apabila Mahathir telah mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia tidak mahu berperang dengan negara lain kerana mahu mengekstradisi Jho Low, sedangkan usaha ekstradisi itu adalah termasuk dalam undang-undang antarabangsa bagi mengatasi masalah jenayah apatah lagi ia melibatkan AMLA yang mencakupi undang-undang ‘Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Pengganas.’
Lebih malangnya Mahathir telah menjadikan DS Najib Tun Razak sebagai mangsa spekulasi, manipulasi dan konspirasi.

Suatu ketika dahulu, apabila DS Hishamuddin Hussein memberi tawaran untuk menjejaki Jho Low dengan menggunakan networknya (jaringan hubungan) di China, konco-konco Mahathir dengan lantang telah menolak.
Adakah watak Jho Low mesti disembunyikan supaya rakyat yang ‘uneducated’ sebagaimana dakwaan Tun Mahathir, akan terus tertipu, taksub dan terasuk dengan mesej subliminal “rasuah, perompak, lanun, penyamun, pengangak, dan kluster mahkamah”?
Lantas, dengan itu, fikiran rakyat akan terpesong dan lupa dengan rompakan dalam skandal Maminco, Forex-BNM, BMF, Perwaja Steel, pembunuhan Memali, Operasi Lalang, Pemberontakan Reformasi, Lebuhraya untuk Kroni, Tanah Menara Kembar Kroni, kematian Tun Fuad Stephen, dan banyak lagi.
Malangnya Jho Low tetap gagal ditemui atau Jho Low seakan-akan lebih hebat daripada Saddam Hussein, Osama Laden mahupun Pablo Escobar yang amat mudah dijejaki oleh Interpol.
Seandainya Jho Low tertangkap, maka akan terdedahlah segala fitnah, hasutan dan penipuan yang bertahun-tahun dicanang oleh Mahathir terhadap DS Najib dalam konspirasinya menjatuhkan Barisan Nasional dan mengambil alih Putrajaya, sebagaimana kemenangan ‘haram’ PH pada PRU14.
*****
Tinggalkan Jawapan