Editorial
23 Mac 2022
Baru-baru ini, sidang parlimen dikejutkan dengan amaran Presiden Amanah, YB Mat Sabu agar Akta Anti-Lompat parti disegerakan, jika tidak PH akan menuntut pelaksanaannya melalui perhimpunan rakyat.
Bukan sahaja Amanah, tetapi UMNO, MCA, DAP, PKR, dan PAS juga telah memberikan tekanan supaya kerajaan PN segerakan penggubalan akta tersebut, tetapi anehnya orang-orang Muhyiddin seperti membisu seribu bahasa, kecuali Hamzah Zainuddin yang mengatakan bahawa dia lompat parti kerana ‘takdir’.
Pada hakikatnya Akta Anti-Lompat Parti adalah langkah yang sangat progresif. Ia menjadi bahagian penting daripada reformasi politik sebagaimana disarankan oleh parti terbesar negara iaitu BN dan juga PH.
Lompat parti bukan sahaja dilihat sebagai pembelotan kepada parti setelah menang pilihan raya tetapi ia juga satu pembelotan yang amat besar kepada pengundi yang telah memberikan mandat berdasarkan keyakinan terhadap parti.
Nampaknya kerajaan PN seperti melengah-lengahkan pembentangan Rang Undang-Undang Akta Anti-Lompat Parti seakan-akan mahu menyelamatkan ahli parlimen mereka yang telah dilabelkan sebagai katak-katak politik.
Sedangkan akta berkenaan adalah selaras dengan falsafah membasmi segala bentuk penyelewengan mandat oleh wakil rakyat yang dilantik selepas menang PRU.

Isu ‘lompat parti’ telah menjadi nanah dan pekung pada hati dan sanubari rakyat, malah telah dibangkitkan oleh bekas Ketua Polis Negara sebagai gejala politik yang sarat rasuah.
Terdapat ahli parlimen yang diugut supaya melompat parti, jika tidak mahu diheret ke mahkamah yang dilabelkan sebagai ‘dakwaan terpilih’ dan jika mereka melompat maka mereka akan disogok dengan laba rasuah yang besar.

Baru-baru ini negara dikejutkan oleh Ahli Parlimen Labuan, Rozman Isli apabila dalam afidavitnya telah mendedahkan bahawa dia diugut oleh orang-orang Muhyiddin dan SPRM supaya melompat daripada parti Warisan ke parti Bersatu jika tidak mahu diheret ke mahkamah.
Rozman adalah Ahli Parlimen yang berani berterus-terang, tetapi bagaimana dengan ahli parlimen lain yang telah diugut dan tunduk pada ugutan itu.

Muhyiddin sepatutnya diheret ke mahkamah atas dakwaan YB Rozman Isli itu.
Dewan rakyat hari ini telah memecahkan rekod apabila kerajaan PN dipenuhi dengan ahli-ahli parlimen yang merupakan katak-katak politik.

Merujuk pada data di atas, daripada 26 Ahli Parlimen Bersatu, 15 daripada mereka adalah Ahli Parlimen UMNO manakala 11 daripadanya adalah daripada PKR yang telah melompat parti.
Jumlah Ahli Parlimen Bersatu berjumlah 31 semuanya, dan dengan itu 26 (15+11) adalah terdiri daripada mereka yang telah melompat daripada UMNO dan PKR untuk bersama dengan Bersatu.
Tidaklah diketahui kecuali dengan perakuan peribadi mereka sendiri, adakah tindakan mereka melompat itu adalah kerana ugutan dan tawaran habuan?
Sekiranya senarai yang dipaparkan itu tepat, maka jumlah ahli Bersatu yang sebenarnya hanyalah lima (31-26) sahaja (https://ms.wikipedia.org/wiki/Parti_Pribumi_Bersatu_Malaysia).
Di manakah letaknya kekuatan Bersatu, sehingga TS Muhyiddin menjaja ke sana-sini kekuatan partinya, sekiranya hanya lima Ahli Parlimen sahaja yang merupakan ahli yang tulen sedangkan yang lain telah diugut masuk ke dalam Bersatu?
Lantas dengan itu, adakah PN boleh diharap untuk melaksanakan penggubalan Undang-Undang Anti-Lompat Parti, sedangkan Menteri Dalam Negeri dan Menteri Undang-Undang adalah orang Bersatu?

Janganlah hendak menjadikan soal penggubalan undang-undang anti-lompat parti itu sebagai rumit untuk diperincikan oleh kerajaan yang kini penuh dengan katak-katak politik.
Jika mereka yang menjadi penggiat undang-undang tidak melihat penggubalan Akta Anti-lompat Parti itu sebagai rumit, mengapakah ada pihak yang jahil tentang penggubalan undang-undang mahu menyekatnya.

Lihatlah kesan negatif ke atas pelabur asing yang hilang keyakinan terhadap politik negara dan mereka telah mengambil langkah berhijrah ke negara jiran yang situasi politiknya lebih stabil.
Bukan itu sahaja, dua PRN di Melaka dan Johor terpaksa diadakan untuk mewujudkan kestabilan kerajaan negeri.
Kini, dengan konspirasi ‘Langkah Carey’ dan penubuhan gabungan ‘Pejuang Nasional’ lagi sekali ugut-mengugut berlaku dalam kalangan katak-katak politik yang melihat diri mereka tergugat.
******
Tinggalkan Jawapan