Oleh Dr Mamat Desa
14 Mac 2022
Datok Kadir Jasin mendakwa kekalahan pembangkang dalam pilihan raya Johor berpunca daripada pemimpin parti yang angkuh dan bertindak semborono menentang satu sama lain, sedangkan musuh utama mereka adalah UMNO-BN.
Semua parti pembangkang, malahan termasuk parti blok kerajaan PN dan PAS menentang UMNO-BN, namun mereka tidak sepakat.

Wartawan veteran itu mendakwa walaupun sokongan kepada parti pembangkang kekal kukuh, sikap mementingkan diri sendiri, ego dan kepimpinan ketinggalan zaman, telah menyebabkan mereka kalah.
Kadir menulis dalam FB-nya, “Daripada melawan Barisan Nasional (BN), mereka lawan satu sama lain secara tidak masuk akal” (Instead of fighting BN, they senselessly fought one another).
Kadir nampaknya lupa bahawa kejatuhan PH adalah kerana perbalahan sesama sendiri antara pemimpin dalam parti gabungan PH.
Tidakkah kejatuhan PH kerana pergelutan kuasa antara Mahathir-Anwar-Azmin-Muhyiddin?
Malah bagi Kadir dalam kes PKR, Anwar telah meninggalkan Pakatan Harapan (PH), kerana percaya logo PKR akan membawa kemenangan.
Pada Januari, Presiden PKR Anwar Ibrahim, menjelaskan Majlis Presiden PH telah bersetuju membenarkan partinya menggunakan logo sendiri dalam pilihan raya Johor manakala Amanah dan DAP akan bertanding di bawah logo PH.
Namun Kadir lupa bagaimana nama PH-DAP telah membawa sial kepada pihak kerajaan PH dalam tujuh PRK yang diadakan ketika mereka masih berkuasa.
Kadir juga seperti rabun bahawa mereka juga telah kalah teruk di PRN Melaka dan PRN Sarawak.
Kadir membutakan mata tentang kebencian rakyat dengan pemerintahan lintang-pukang PH, penyerapan ideologi komunisme di sekolah-sekolah, wujudnya golongan anti-Raja-Raja Melayu, kecenderungan membentuk negara republik, usaha meratifikasikan ICERD dan Statut Rome, kerjasama dengan kartel dadah, menyokong pengganas antarabangsa LTTE, pemimpin semburit, dan pelbagai lagi karenah politik yang sukar dimaafkan rakyat.
Kadir juga menyarankan agar semua pemimpin parti pembangkang mengetepikan pemimpin tua dan membenarkan golongan muda mengambil alih.

Bagi Kadir, pemimpin tua telah menjadi liabiliti kepada parti mereka dan menghalang pemimpin muda yang berbakat untuk memimpin.
Anehnya Kadir seperti lupa bagaimana pemimpin politik tertua negara yang juga idolanya, telah turun terhegeh-hegeh dan tercungap-cungap untuk turut serta berkempen meskipun dinasihati oleh pakar IJN supaya berehat.
Namun sekiranya usia muda sekalipun, tetapi tiada diplomasi politik, emosional, gopoh, malah sudah nampak penyelewengan kuasa seperti Presiden MUDA yang dituduh di mahkamah, tiada maknanya juga.
Kadir juga nampaknya lupa tentang campur tangan politik oleh pemimpin PH terdahulu dalam badan perundangan dan kehakiman sebagaimana didakwa oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tun Hamid Muhammad, dan mantan Ketua Polis Negara, TS Hamid Bador.
Malahan bekas Peguam Negara PH, Tommy Thomas juga mengakui terdapat campur tangan politik dalam badan perundangan, dan dia sendiri adalah merupakan lantikan politik.

Kadir buat-buat tak nampak dakwaan Rozman Isli, Ahli Parlimen Labuan, yang diugut oleh bekas pemimpin PH supaya lompat parti jika tidak mahu didakwa di mahkamah.
Kadir juga gagal memetik dakwaan bekas Naib Presiden PPBM, Datok Hamidah Osman, bahawa pemimpin idolanya iaitu Mahathir, telah memfitnah DS Zahid Hamidi tentang perjumpaan untuk ‘merayu diselamatkan’ daripada tuduhan mahkamah.
Memperkukuhkan fitnah itu, Zahid bertekad untuk mengemukakan saman fitnah di mahkamah.
Lantas Kadir, janganlah hendak menghina DS Najib atau sesiapa yang didakwa seelok-elok selepas PH memasuki pejabat di Putrajaya pada 9 Mei 2018.
*****
Tinggalkan Jawapan