Dr Mamat Desa
14 Mac 2022
Presiden Pejuang Tanah Air (PETAI), Muhkriz Mahathir memberi alasan bahawa partinya tidak dikenali dan jumlah keluar pengundi yang rendah telah menyebabkan partinya kalah teruk dan hilang semua deposit di 42 kerusi DUN yang ditandingi di PRN Johor.
Mukhriz juga membidas pemimpin BN-UMNO supaya tidak terlalu berbangga dengan kemenangan yang telah mereka capai pada PRN Johor dua hari lalu.
Nampaknya Mukhriz lupa, bahawa perasaan pemimpin mahupun penyokong UMNO amat luka-parah apabila kempen bapanya Dr Mahathir penuh dengan caci-cerca terhadap BN-UMNO bukan hanya sekadar penganiayaan yang dikenakan dengan dakwaan terpilih.
Meskipun baru sehari-dua keluar daripada IJN, dia masih menjaja tuduhan ‘banduan’, ‘perompak’, ‘kluster mahkamah’, ‘bodoh’, dan macam-macam lagi penghinaan.

Beberapa hari sebelum PRN Johor, bapanya juga telah memfitnah bahawa Presiden UMNO telah datang berjumpanya untuk merayu agar diselamatkan daripada tuduhan di mahkamah.
Bekas Naib Presiden Bersatu, Datok Hamidah Osman telah dengan beraninya, tampil mendedahkan bahawa kenyataan Mahathir itu adalah fitnah semata-mata kerana DS Zahid Hamidi dipanggil oleh orang Mahathir supaya datang berjumpanya dan bukan Zahid yang mahu berjumpanya.
Malahan pada tempoh kedatangan Zahid bertemu Mahathir, belum ada apa-apa tuduhan mahkamah terhadapnya. Lantas dengan itulah baru-baru ini Zahid telah bertekad mengambil tindakan saman fitnah ke atas Mahathir.
Penghinaan dan cercaan Mahathir juga telah meleret-leret dan terbawa-bawa oleh pemimpin parti lain dalam PH, PN, PAS, dan bukan Pejuang sahaja.
Bagaimanakah tertekannya pemimpin dan penyokong UMNO apabila semua parti utama yang bertanding membawa matlamat untuk menjatuhkan BN-UMNO?
Mukhriz mendakwa partinya tidak dikenali, sedangkan Pengerusi Pejuang yang telah memerintah selama 22 tahun dan 22 bulan, mensasarkan kempen di kawasan FELDA.
Apakah ada peneroka FELDA yang tidak mengenali Mahathir, lantas tidak mengenali parti yang baru ditubuhkan?
Parti MUDA yang baru empat bulan didaftarkan berbanding Pejuang, telah memenangi satu kerusi walaupun hanya bertanding tujuh kerusi DUN, masakan pula Pejuang yang jauh lebih tua dengan pemimpin tertua dunia tidak memenangi satu pun kerusi daripada 42 yang ditandingi?
Hakikatnya pengundi amat kenal siapa Pejuang dan siapakah pemimpin diktatornya yang sombong dan amat bijak memecah-belahkan perpaduan kaum Melayu, malah dilihat memusuhi Raja-Raja Melayu.
Sebelum PRN pun beberapa penganalisis sudah menjangkakan Pejuang akan kalah teruk di PRN Johor.
Malahan sekiranya jumlah keluar mengundi 100% sekalipun, maka jumlah sokongan terhadap BN-UMNO akan jauh lebih besar daripada apa yang telah mereka perolehi.
Hakikatnya Muhriz lupa siapakah bapanya pada mata rakyat.
Lihatlah bagaimana bapanya telah menghina dan caci-cerca Perdana Menteri Pertama Malaysia, menekan Perdana Menteri Ketiga, Tun Hussein Onn, kemudian dialah yang mencadangkan agar Tun Abdullah diangkat sebagai PM ke-5 tetapi dia jugalah yang mengutuk-menghina Tun Abdullah dan kemudian mahu DS Najib diangkat sebagai PM ke-6.
Siapakah pemimpin rapat dengannya yang tidak ‘dimatikannya’? Lihatlah apa berlaku kepada Tun Musa Hitam, Tun Ghafar Baba, Tengku Razaleigh, Tun Abdullah Badawi, dan DS Anwar Ibrahim.
Bukan sahaja pemimpin dalam negara yang membencinya, tetapi pemimpin luar juga pernah mengambil tindakan ekonomi terhadap Malaysia kerana mulut ‘Kerala’ yang amat celupar mengutuk dan menghina orang pada DNA-nya.
Dia cuba ‘membunuh’ UMNO dengan menubuhkan Bersatu (PPBM), kemudian dia memusnahkan pula PH dan bertindak untuk ‘membunuh’ pula Bersatu.
Lantas dia menubuhkan Pejuang dan kini cuba masuk ke dalam kawasan FELDA untuk menghasut pengundi Melayu supaya membenci UMNO.
Tak cukup dengan saranan IJN agar berehat, dia menulis pula surat berjela-jela kepada pengundi, kemudian dengan tercungap-cungap dia masih terhegeh-hegeh dengan matlamatnya untuk ‘membunuh’ bukan sahaja UMNO tetapi juga Bersatu, PAS dan PKR.
Mukhriz tidak perlulah kamu bercakap mahu menghapuskan rasuah, sekiranya penyalahgunaan kuasa, kronisme, nepotisme, dan authoritarianisme amat tebal dalam benak pengasas Pejuang.

Rakyat tidak lupa, setelah Mahathir diangkat menjadi Perdana Menteri ke-4, dialah yang memulakan projek penswastaan elektrik, penswastaan belakan air, penswastaan institusi pendidikan tinggi, penswastaan hospital, penswastaan lebuh raya, penswastaan penerbangan Malaysia, penswastaan media, malahan penstaswataan pengurusan air kumbahan, dan banyak lagi yang mencekik leher rakyat kerana peningkatan kos penggunaan.

Siapakah yang ‘bailout’ syarikat perkapalan anak yang hampir muflis, siapakah yang menjarah wang negara melalui kegilaan Forex-BNM, siapakah yang menyebabkan kerugian negara apabila Perwaja Steel muflis, Maminco muflis, siapakah yang memaksa MAS menggunakan petrol daripada PETRON milik anaknya, siapakah yang merancang ‘blackout negara 1992’ supaya syarikat bekalan elektrik swasta diberikan kontrak, dan yang paling mengecewakan rakyat Johor, siapakah yang telah menggadai Pulau Batu Putih milik Johor kepada Singapura?

Adakah semua itu akan membuat rakyat mengundi parti PETAI yang ditubuhkannya?
Lihatlah bagaimana sambutan hebat hari lahirnya pada 2018 setelah PH menang PRU-14 dan Mahathir diangkat sebagai Perdana Menteri 22 bulan.
Bangganya mereka sehingga kain bendera PH pun dibuat gaun untuk merasai aura kehebatan Mahathir dan Anwar kononnya.

Lantas usahlah pertikaikan kegembiraan dan kebanggan UMNO-BN dengan kemenangan PRN Melaka dan PRN Johor yang sebelumnya tersimbah dengan air mata kerana penganiayaan, caci-cerca dan penghinaan terhadap pemimpin-pemimpin mereka.
******
Tinggalkan Jawapan