Editorial
3 Mac 2022
MCA mempunyai peluang yang lebih baik untuk memenangi kerusi pada PRN Johor berbanding PRU14 setelah perubahan kecenderungan kaum Cina terhadap DAP sudah teruk merosot.
Perkembangan ini terlihat baik di bandar, apatah lagi di kawasan luar bandar.

Pemerhatian lapangan BN terhadap pengundi di kawasan majoriti Cina dalam kempen PRN Johor, menunjukkan peralihan positif setelah ramai kaum Cina turut menyertai ceramah BN.
Menurut DS Najib, masyarakat Cina menunjukkan respons positif apabila menghadiri program anjuran BN, berbeza sekali dengan situasi semasa PRU14.
Kecenderungan sedemikian juga meliputi generasi muda Cina yang menunjukkan sokongan mereka kepada BN, malah ada yang hadir dengan memakai baju “Bossku” tanda sokongan kepada BN.
Lantas, MCA mempunyai peluang yang lebih baik untuk memenangi kerusi pada pilihan raya negeri ini berbanding PRU14.
Bagaimanapun sokongan dan sambutan mereka tidak bererti sekiranya tidak diterjemahkan dalam peti undi pada 12 Mac nanti.
Tidak mustahil bagi calon-calon MCA untuk menang mengejut pada PRN Johor ini kerana pengundi Cina juga rasa tertipu oleh PH dan mereka amat kecewa dengan DAP.
Terdapat ahli perniagaan dan masyarakat Cina yang tidak dilayan dengan baik oleh DAP selama 22 bulan PH memerintah. Mereka kini membandingkan pemerintahan PH, dan bersetuju bahawa BN jauh lebih baik.
Hakikatnya setelah PH jatuh akibat ‘Langkah Sheraton’ yang membawa kepada pengunduran Tun Mahathir, DAP telah mendesak supaya PRU15 diadakan.
Sebelumnya DAP yakin perletakkan jawatan Mahathir tidak mengubah sokongan rakyat sebagaimana yang ditunjukkan oleh keputusan PRU14.
Malangnya PRN Sabah, Melaka dan Sarawak telah menunjukkan bahawa masyarakat Cina sudah membina kecenderungan yang negatif terhadap DAP.

Malah selepas kekalahan Bersatu (PPBM) ketika masih menjadi komponen PH, dalam PRK Tanjung Piai, Johor 2019, DAP amat terkejut apabila sokongan kaum Cina merosot begitu ketara sekali.
PH hanya berjaya meraih 10,380 berbanding Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dari MCA yang memperoleh 25,466 undi di PRK Tanjung Piai.
Satu naratif baru telah muncul dan tertular.
DAP yang sentiasa yakin dengan pengundi Cina, kini telah mengalami tekanan moral yang amat teruk akibat kekalahan di PRK Tanjung Piai diikuti pula dengan kekalahan di PRN Melaka dan keputusan yang teruk di PRN Sarawak.
Amat signifikan sekali bahawa pengundi Cina tidak boleh dipandang remeh oleh DAP, khususnya pada PRN Sarawak, setelah mereka hanya menang 2 kerusi sahaja daripada 26 kerusi yang dipertandingkan.
Manakala 11 daripada 26 calon DAP telah kehilangan wang deposit.
Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen kemudiannya memohon maaf kepada pengundi secara terbuka; suatu tindakan memohon maaf yang tidak pernah dibuat oleh DAP sebelum ini, malahan lebih dilihat sebagai sombong dan bongkak.
Pengakuan terbuka itu pasti sukar termasuk rungutan golongan elit Cina terhadap pemotongan geran kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) pada 2018 ketika PH berkuasa.
Selain itu kematian saksi utama pendakwaan kes rasuah Lim Guan Eng setelah dikatakan jatuh dari tingkat 17 kondominium The Palazzo, juga merosakkan reputasi Setiausaha Agung DAP dengan begitu teruk sekali.

Kini di PRN Johor, DAP cuba mencari pembolehubah baharu dengan membiayai MUDA dengan harapan pengundi generasi muda Melayu akan dapat dipengaruhi.
Lihatlah bagaimana DAP mendesak Amanah supaya memberikan 6 kerusi mudah-menang kepada MUDA sebagai suatu tindakan mengikat parti yang baru berusia empat bulan itu.
Sungguh pelik apabila Syed Saddiq menjadi pencadang kepada Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong pada hari penamaan calon di Perling, sedangkan penamaan calon-calon MUDA tidak dipedulikan.

Adakah MUDA akan dijadikan ‘boneka DAP’ sebagaimana tindakan mereka terhadap Tun Mahathir ketika mereka berkuasa dahulu?
Namun MUDA ataupun DAP harus ingat bahawa bukan semua pengundi itu muda, malahan golongan UMNO-siswa dan Mahasiswa Turun Padang (MANTAP) yang terdiri daripada anak-anak muda juga telah mendapat sambutan yang di luar dugaan dalam kempen menyokong BN.
Jika DAP turut menjaja isu ‘kluster mahkamah’ maka mereka juga harus ingat bahawa Lim Guan Eng dan Syed Saddiq juga adalah termasuk dalam kategori jangkitan itu!
******
Tinggalkan Jawapan