SINDROM KHIANAT SUDAH MENJANGKITI ORANG SEKELILINGNYA

Editorial

1 Mac 2022

Nampaknya Muhyiddin Yassin akan terperangkap dengan gelagatnya menyerang sahabat-sahabat lamanya baik dalam PH, mahupun dalam BN-UMNO.

Sejauhmana PPBM boleh tidur sebantal dengan PAS, juga menjadi persoalan yang amat mencurigakan.

Jika diimbas kembali janji yang dibuat oleh Dr Mahathir Mohamad untuk menyerahkan jawatan tertinggi kepada Anwar Ibrahim, maka rakyat akan melihat bahawa Muhyiddin adalah karektor yang turut mengkhianati harapan Presiden PKR itu.

Muhyiddin sanggup membawa PPBM keluar daripada gabungan Harapan yang akhirnya diterjemahkan bahawa dia sendiri rupanya mahu menjadi PM apabila dia mengkhianati Mahathir dan mengenyahkannya dari parti ciput itu.

Lantas yang mengkhianati janji terhadap Anwar, bukanlah semata-mata Mahathir, tetapi Muhyiddin juga terlibat dalam pertempuran merebut kuasa itu.

Namun Muhyiddin tidak dapat kekal lama, kerana dia tiada kekuatan dari aspek jumlah ahli parlimen.

Lihatlah bagaimana pekungnya terbongkar apabila AP Labuan, Rozman Isli mendedahkan bahawa dia diugut oleh orang-orang Muhyiddin termasuk SPRM supaya dia lompat ke PPBM.

Tidak seperti UMNO, PPBM hanyalah pokok muda yang berpenyakit, banyak ranting dan dahannya patah di sana-sini.

Apa yang boleh Muhyiddin buat hanyalah dengan menonjolkan egonya sebagai kekuatan psikologi kononnya dia dan parti PPBM-nya amat utuh untuk berkuasa.

Sebaliknya Cawangan PPBM di Johor boleh dibilang dengan jari sebagaimana dakwa Dr Puad Zakarshi.

Jalan terbaik bagi Muhyiddin ialah berselindung di sebalik tirai PN dan mendabik dada bahawa dia mempunyai sokongan yang kuat.

Akhirnya Muhyiddin kecundang juga setelah ego dan kesombongannya, serta sikap khianatnya pada PH dan juga kepada UMNO, terburai.

Lihatlah apa yang Muhyiddin sudah lakukan pada UMNO-BN di PRN Sabah. Namun dia masih berlagak seakan-akan dia hebat.

Dia sedar itu, sebab itulah dia menggunakan Ordinan Darurat sebagai perisai, kononnya hendak melindungi negara daripada Covid19, sedangkan akhirnya Malaysia tercatat sebagai antara negara paling teruk dijangkiti di dunia.

Akhirnya setelah dia menggulingkan PH, dia pula terpaksa menghadapi realiti untuk digulingkan setelah rakyat dikurung hampir setahun dan Ordinan Darurat dipergunakan untuk menyembunyikan tipu muslihatnya menguruskan kewangan negara.

Dia hanya bertahan 17 bulan sahaja, lebih pendek daripada kerajaan PH.

Mungkin ada pihak yang mengatakan itulah karma terhadap pengkhianat, dan pemimpin tidak beretika.

Walau bagaimanapun dia masih selamat dengan rancangan liciknya dengan menyokong Ismail Sabri yang hakikat dia bersembunyi di sebalik kekuatan UMNO.

Jika ada kelemahan kerajaan maka itu adalah kelemahan orang UMNO kerana Ismail Sabri dari UMNO, tapi jika ada kebaikan maka itu adalah daripada PN dan dia akan mendabik dada bahawa dialah wira PN.

Hari ini di PRN Johor dia cuba mengheret PAS untuk bersama di sisinya dan lagi sekali dengan egonya bahawa rakyat akan menyokongnya kerana di sisinya ada Tuan Guru Hadi Awang.

Muhyiddin buat-buat lupa bahawa Johor adalah bumi kelahiran UMNO yang bukan lahir di tepi jalan tetapi di istana Johor.

Mahu tidak mahu, dia terpaksa mengikat PAS dan berusaha sedaya mungkin menghancurkan Muafakat Nasional(MN) dengan alasan bahawa MN juga harus mengambil kira PPBM, tetapi jangan mengambil kira Amanah.

Entah jampi-serapah apa yang Muhyiddin semburkan kepada Hadi Awang, sehingga Hadi juga terjangkit dengan sindrom dan penyakit khianat yang ada padanya.

Akar umbi PAS baik di Melaka dan di Johor, terus terpinga-pinga dan majoritinya tidak mahu mempedulikan cakap Presiden PAS itu dan tetap mahu MN diperjuangkan di Johor.

Lantas, pergeseran antara PAS dan UMNO menjadi semakin ketara sejak PRN Melaka November lalu, yang menyaksikan kedua-dua parti kian terpisah.

Tetapi karma terus menghempap Muhyiddin apabila BN-UMNO menang teruk di PRN Melaka.

Umat Islam pula, masih buntu dan keliru, bagaimanakah perjanjian yang diikat dengan piagam Muafakat Nasional yang bersimbah dengan air mata setelah dua parti umat Islam bergabung pada September 2019, boleh pecah begitu sahaja.

Nampak sangat bahawa penyakit dan sindrom khianat Muhyiddin sudah menjangkiti Hadi Awang sehingga Hadi lupa bertanya dirinya sendiri, “Di manakah Muhyiddin berada ketika hampir 1.9 juta umat Islam berkumpul menentang ICERD dan Statut Rom?”

Malah ada yang mendakwa Muhyiddinlah antara orang yang merancang meratifikasikan ICERD ketika dia bersama PH.

Kalau ikut Lokman Noor Adam, PAS terpaksa tunduk pada Muhyiddin kerana PAS memerlukan dana untuk survivalnya pada PRU15, atau mungkin juga kerana ramai ‘orang Hamzah Zainuddin’ dalam SPRM dan PDRM.

*****

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: