RETAK PADA PH MENANTI BELAH

Editorial

2 Mac 2022

Apabila DAP dan Amanah bertekad untuk tidak menggunakan logo PKR, manakala PKR pula dengan tegarnya mahu terus menggunakan logonya di PRN Johor, perbalahan itu sahaja sudah memperlihatkan keretakan antara ketiga parti yang dominan dalam Pakatan Harapan.

Hakikatnya, sama ada logo PKR ataupun logo PH, kedua-duanya mengusung imej yang amat buruk pada mata rakyat.

Mungkin DS Anwar merasakan amat wajar menggunakan logo PKR, kerana logo itulah yang membawa kemenangan kepada PH semasa PRU14.

Namun DAP dan Amanah pula melihat gelagat pengundi Johor, mahupun rakyat di seluruh negara yang amat marah pada PH dan sekaligus marah pada logo PKR yang menjadi simbol penipuan, pembohongan, janji palsu dan fitnah.

Malahan mungkin DAP dan Amanah begitu terasa apabila logo PKR memaparkan ‘Mata Satu’ yang diterjemahkan oleh umat Islam sebagai ‘mata dajal’ sebagaimana simbol yang digunakan oleh Freemason dan Iluminati.

Sebaliknya bagi PKR, nama PH-lah yang dibenci pengundi terutamanya kaum Melayu, yang pastinya akan membawa kekalahan mereka di PRN Johor.

Ia terbukti apabila PH menggunakan logo Pakatan Harapan di PRN Melaka dan mereka telah kalah teruk.

Kini terbangkit pula isu kemanjaan Syed Saddiq yang mengendeng-ngendeng DAP dan Amanah untuk mendapatkan kerusi mudah-menang di Johor.

Antara isu panas ialah PKR telah memberikan kerusi yang mereka persepsikan sebagai mudah-menang di DUN Puteri Wangsa kepada Amanah, tetapi Amanah seperti tidak menghargai dan mengorbankannya kepada MUDA, sedangkan MUDA bukan komponen PH.

PKR Cabang Puteri Wangsa amat marah kerana mereka sudah bertahun bersebia untuk meletakkan Ketua Wanita PKR Johor bertanding di situ, tetapi tiba-tiba sahaja ia diberikan kepada MUDA yang tiada jentera parti dan tiada akar umbi.

MUDA di bawah Syed Saddiq juga cuba bermanja dengan PKR untuk merayu tiga kerusi DUN mudah-menang, tetapi Anwar tidak sebodoh Amanah untuk menyerahkan begitu sahaja.

Kemanjaan Syed Saddiq bertukar menjadi biadap apabila mengancam akan menetang PKR, dan mereka telah buktikan apabila MUDA meletak calon mereka di Larkin, lantas bertembung dengan calon PKR.

Membangkitkan lagi kemarahan PKR, apabila Syed Saddiq mengutuk ADUN Tiram PKR, S Gopalakrishnan dengan tuduhan tidak mengambil berat kebajikan rakyat Ulu Tiram. Tetapi Saddiq menunjukkan hipkrasinya apabila memohon maaf, kerana pada jangkaan awalnya ADUN Tiram adalah daripada BN.

Lebih menyakitkan hati PKR ialah apabila beberapa pemimpin DAP telah heboh seantero negara menggesa Anwar Ibrahim meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang, mahupun sebagai Pengerusi Majlis Presiden PH.

Semuanya kerana kekalahan teruk di PRN Melaka dan lebih teruk di PRN Sarawak.

Sensasi DAP itu menjadi lebih parah apabila Syed Saddiq menemani Liew Chin Tong sebagai pencadang pada hari penamaan calon Sabtu lalu.

Nampak sangat Syed Saddiq bebal dan tidak peka apabila sepatutnya dia bersama-sama dengan calon-calon Muda pada hari penamaan calon.

Walau apa jua rasionalnya, Syed Saddiq telah membuka pekungnya bahawa MUDA adalah balaci DAP, dan tindakannya bertambah membangkitkan kecurigaan PKR baik kepada MUDA apatah lagi DAP.

Sebagaimana dakwaan Presiden PAS, MUDA adalah kroni DAP yang diwujudkan untuk memancing undi Melayu.

Tapi adakah Saddiq sebenarnya terperangkap kerana dalam kes pecah amanah yang sedang dihadapinya, peguam DAP yang menjadi pembelanya?

Walau apapun akibatnya, Ketua Penerangan Amanah, Khalid Samad berjanji akan menyokong calon PKR sekiranya berlaku pertembungan PKR-MUDA.

Nampaknya PH tidak mampu untuk menghadapi perpecahan antara mereka, sedangkan retak hubungan mereka sudah amat ketara.

PH kini pada hakikatnya adalah gabungan DAP-Amanah sahaja sebagai komponen utama, manakala PKR adalah entiti yang berbeza.

Kini hadir pula rakan baik PH iaitu Warisan yang mahu turut bertanding sendirian di PRN Johor.

Kehadiran Warisan pula membangkitkan kemarahan DAP kerana Warisan akan bertanding di kawasan yang didominasi oleh kaum Cina.

Dengan kecelaruan MUDA yang kononnya mahu mencuri hati pengundi muda seakan-akan para pengundi semuanya muda-muda belaka, nampaknya MUDA yang tiada jentera parti akan tersungkur, begitulah juga dengan Warisan yang hakikatnya adalah pendatang asing dari Sabah.

Pengundi Johor pula nampaknya merindui era BN-UMNO ketika mereka berkuasa, apatah lagi Istana Johor adalah tempat lahirnya UMNO.

Kita tunggu dan lihat apa akan berlaku pada 12 Mac ini.

*****

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: