Dr Mamat Desa
20 Feb 2022
Tidaklah bermanfaat bagi ahli politik menggunakan dalil agama untuk sebarang kempen dan propaganda terhadap mana-mana parti yang didukungi oleh ahli-ahli yang mengucap dua kalimah Syahadah serta berpegang kepada Rukun Islam, dan Rukun Iman.
Tindakan sedemikian akan hanya mencemarkan nama baik Islam sebagai agama suci, kerana dalam perjalanan politik seseorang politikus itu, pendirian dan falsafahnya boleh sahaja berubah demi kesinambungan hayat politiknya.
Lihatlah bagaimana pemimpin parti Islam suatu ketika dahulu yang membenci parti kafir harbi, tetapi kemudiannya bersekongkol dengan pemimpin kafir harbi itu dalam Pakatan Rakyat.

Lihatlah juga bagaimana banyaknya situasi apabila pendirian pemimpin parti Islam ini berubah demi kelangsungan hayat politik baik untuk hayat politik peribadi mahupun hayat politik parti masing-masing.
Dalam satu senario yang berbeza rakyat terkejut apabila tersiar berita bahawa sekiranya umat Islam mengundi anu dan sianu yang hakikatnya beragama Islam, maka mereka telah menempah bilik neraka.

Malah pada ketika yang lain mereka kembali mahu umat Islam menyokong kafir harbi, dan haram menyokong parti yang dipimpin dan dianggotai oleh majoriti umat Islam di negara ini, sehingga datangnya kiamat.

Lantas rakyat terpinga-pinga bertanya dimanakah kedudukan Muafakat Nasional yang dipersetujui bersama-sama dengan air mata jutaan umat Islam?
Adakah iman pemimpin sebegini boleh berubah-ubah dengan fatwa yang berubah-ubah mengikut musim?
Semalam 19 Feb, sebagaimana laporan sebuah portal berita, Presiden PPBM (Bersatu) TS Muhyiddin Yassin telah mengeluarkan ‘fatwa’ pula bahawa “tinggalkan UMNO adalah satu ibadah” sedangkan dahulu dia adalah Timbalan Presiden UMNO, malah dia pernah berkuasa di Johor sebagai Menteri Besar atas panji-panji dan kuasa pentadbiran UMNO.

Ketika membuat kenyataan itu, Muhyiddin mahu rakyat merujuk kepada Presiden PAS yang berada di sisinya apabila dia berkata, “Macam mana takut buat salah meninggalkan UMNO, ini ada Presiden Pas Abdul Hadi Awang, apa fatwa tingalkan UMNO dan sertai PN? Harus.”
“Boleh jadi hukumnya sunat, hijrah meninggalkan kemungkaran dan sertai PN yang menegakkan kebenaran adalah satu amal ibadah. Tinggalkan UMNO tidak mengapa, tiada salahnya,” kata Muhyiddin ketika berucap merasmikan Perikatan Nasional (PN) di Kota Tinggi Johor.
Lantas semasa dia bersama UMNO, adakah dia tidak beribadah?
Jika dia mahu memarahi seseorang pemimpin UMNO yang sedang dituduh oleh mahkamah, maka dia harus ingat bahawa UMNO itu parti dan UMNO bukan individu.
Malahan dia harus ingat bagaimana songsangnya sistem perundangan negara apabila kes 1BestariNet yang telah heboh menyeleweng dana negara, sebagai satu projek ‘runding terus’ yang gagal, seakan-akan disembunyikan kerana mahu melindungi pemimpin tertinggi Bersatu!
Adakah agama Islam merestui sistem perundangan dan kehakiman yang tidak adil sedemikian? Adakah itu satu ibadah?
Dahulu Muhyiddin juga pernah mengeluarkan dalil bahawa ‘PAS adalah parti ajaran sesat bawa fatwa songsang’, tetapi sekarang dia mahu rakyat merujuk pada pemimpin PAS tentang dalil yang dikeluarkannya bahawa “tinggalkan UMNO satu ibadah”.

Kontradiknya, mengapa pula harus dirujuk pada pemimpin PAS tentang dalil ‘haram, wajib, sunat’ sedangkan dia pernah mendakwa ‘PAS adalah parti ajaran sesat yang bawa fatwa songsang’?
Mungkin betul juga bahawa mengundi PAS boleh masuk syurga sebagaimana didakwa oleh pemimpin PAS.

Maka dengan itu, pada PRU13 ramailah yang layak masuk syurga kerana mengundi PAS (dalam Pakatan Rakyat) termasuk Lim Guan Eng, P Ramasamy, Sanisvara Nethaji Rayer, Lim Kit Siang dan ramai lagi kafir harbi.

Tetapi kini mereka kembali menempah neraka kerana mereka tidak lagi mahu mengundi PAS.
Semoga Allah ampunkan dosa kami yang jahil ini, tetapi sebagai manusia yang berakal, begitulah fahaman kebanyakan daripada rakyat di sekeliling kami.
Astaghafirullah Al-Aziim.
******
Tinggalkan Jawapan