Dr.Mamat Desa
Apakah ertinya parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq bertanding dengan cara mengemis kerusi daripada parti lain?
Berdirilah dengan kemampuan sendiri dan tidak usah mengemis meminta kerusi parti lain.
Apabila diberi kerusi DUN, dia memilih dan cerewet pula, dan apabila tidak diberi, dia mula menyentap dan hendak melawan pihak yang mahu membantu.
Apakah ertinya apabila pihak yang ikhlas mahu membantu, dimarahi pula dengan ugutan untuk dilawan setelah tidak berkenan dengan apa yang mahu diberikan.
DAP dan Amanah telah berikan enam kerusi dan MUDA meminta tiga lagi daripada Presiden PKR DS Anwar Ibrahim.
PKR telah menawarkan tiga kerusi kepada MUDA untuk ditandingi, tetapi Syed Saddiq cerewet kerana apa yang mereka mahukan ialah kerusi yang mudah dimenangi.

Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh memaklumkan bahawa Syed Saddiq menolak kerusi yang ditawarkan oleh PKR dan menuntut mereka diberikan kawasan lain yang berpotensi untuk menang.
Sikap cerewet Syed Saddiq membuktikan kenyataan pemimpin PKR Johor Napsiah Khamis bahawa MUDA pada hakikatnya tiada jentera pilihan raya dan tiada akar umbi tetapi berlagak hebat.

Berikutan itu, PKR membuat keputusan untuk tidak melayan tuntutan Syed Saddiq dan menegaskan mereka akan kekal bertanding di 20 kerusi DUN seperti dipersetujui dalam rundingan bersama dengan DAP dan Amanah, sebelum MUDA menyertai PH baru-baru ini.
Dengan sikap cerewet, degil dan bebalnya, Saddiq telah mengeluarkan kenyataan kebarangkalian MUDA akan bertembung dan menentang PKR nanti.
Ada pemerhati politik melabelkan MUDA sebagai tamak dan degil.

Daripada gelagat Saddiq selama ini, dia bukan sahaja cerewet dan degil tetapi emosional yang dilihat amat dangkal untuk menjadi pemimpin rakyat.
Syed Saddiq mencanangkan bahawa MUDA akan membawa perubahan kepada Johor, namun perubahan apa yang boleh mereka gerakan jika hanya bertanding enam kerusi sahaja daripada 56 kerusi?
Sebagaimana dakwa Presiden PAS, MUDA hanyalah dicipta oleh DAP untuk memancing undi golongan muda Melayu. Tidakkah sama maksudnya bahawa MUDA akan hanya berperanan sebagai keldai DAP?

Apa yang berlaku, MUDA akan hanya menjadi keldai politik kepada DAP, sebagaimana Bersatu telah diperkudakan semasa PH berkuasa, meskipun presidennya adalah Perdana Menteri.
Terkini PKR tidak lagi mahu melayan sikap cerewet MUDA yang tidak sedar diri bahawa mereka hanyalah bayi politik yang baharu berusia empat bulan dan masih belum lagi putus menyusu.

Hakikatnya MUDA bukan sekadar mahukan kerusi PH untuk ditandingi, sebaliknya MUDA memerlukan jentera pilihan raya dan akar umbi untuk membantu calonnya.
Lihatlah bagaimana Timbalan Ketua Penerangan PKR, Manivanan Gowin yang mahu MUDA kembalikan kerusi Puteri Wangsa yang diberikan kepada Amanah tetapi diserahkan pula kepada MUDA.
Manivanan menggesa supaya Syed Saddiq memulangkan kerusi Puteri Wangsa itu kepada PKR yang sekian lama mahu Napsiah Khamis dicalonkan di DUN berkenaan.
DS Anwar Ibrahim tidak mahu memberi muka kepada orang seperti Syed Saddiq yang mungkin sudah dikenalinya sebagai balaci Tun Mahathir.
Kini kehadiran MUDA dalam PH bukan menjadi faktor memperkukuhkan lagi gabungan itu tetapi membangkitkan kecelaruan dan liabiliti kepada PH.
Awal-awal lagi Syed Saddiq sudah isytiharkan perang dingin dengan PKR manakala dia sendiri mempunyai kes rasuah dan penyelewengan dana.
Hubungan Saddiq dengan istana Johor juga tidak menunjukkan keserasian dengan golongan muda daripada kerabat DiRaja, yang menambahkan lagi faktor liabiliti terhadap PH.
Amat bahaya sebenarnya membawa masuk Saddiq ke dalam PH kerana sekiranya dia berprinsip mahu berjuang mengapakah dia tidak terus kekal bersama Bersatu, atau turut bersama dengan Mahathir dalam Pejuang?
Adakah dia ingat semua pengundi akan terus kekal muda selama-lamanya sebagaimana didakwa oleh Mahathir. Saddiq sendiri akan tua satu hari nanti.
*******
Tinggalkan Jawapan