Dr.Mamat Desa
18 Feb 2022
SKANDAL projek runding terus 1BestariNet yang melibatkan TS Muhyiddin Yassin bukanlah kes yang baharu dilaporkan kepada SPRM, kerana ia sudah terbangkit sejak 2015.
Kemudian pada 7 Sep 2021, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat penglibatan Muhyiddin Yassin yang didakwa ada kaitan dengan YTL Communications Sdn Bhd, khasnya berhubung projek 1BestariNet berpandukan buku tulisan Dr Maszlee Malik.

Gesaan Ahli Parlimen DAP itu dibuat selepas Maszlee Malik mendakwa semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), Muhyiddin mendesak bekas Menteri Pendidikan itu meletak jawatan berhubung isu kontrak dengan YTL dalam projek 1BestariNet.
Santiago mendakwa projek itu mendapat banyak kritikan, dan pendedahan Maszlee menunjukkan wujud kepentingan peribadi Muhyiddin, yang ketika itu Menteri Dalam Negeri kerajaan PH, telah bertindak sebagai mewakili perniagaan dan menjadikannya alasan untuk mendesak rakan Kabinetnya meletak jawatan.
Jika dakwaan Maszlee benar yang Muhyiddin mendesak PM ketika itu untuk memecat atau menyingkirkan beliau (Maszlee) sebagai Menteri Pendidikan, maka ia menunjukkan hubungan kukuh antara Muhyiddin dan YTL dalam projek 1BestariNet.
Skandal ini perlu disiasat secara mendalam oleh SPRM kerana berlaku salah laku Muhyiddin Yassin sebagai Dalam Negeri ketika itu.
Maszlee telah mendakwa bahawa dia telah dipanggil mengadap Mahathir lima kali berhubung keputusan tidak melanjutkan kontrak YTL untuk projek 1BestariNet.
Mahathir memberitahu Maszlee bahawa Muhyiddin “amat marah” dengannya kerana isu itu dan mahu Maszlee menyambung kontrak YTL dalam Projek 1BestariNet itu.
Santiago bertegas bahawa SPRM harus terus menyiasat kerana projek itu menelan belanja berbilion Ringgit.

Penasihat Ekonomi Persatuan Minda Sosial Prihatin (PMSP) Suud Ridzuan juga telah membuat aduan kepada SRPM untuk menyiasat kegagalan projek runding terus 1BestariNet yang bernilai berbilion Ringgit itu.
Menurut laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC), projek 1BestariNet itu adalah satu kegagalan yang telah merugikan negara berbilion Ringgit.
Fasa pertama projek 1BestariNet telah menelan belanja RM663 juta. Fasa kedua, dan fasa ketiga merangkumi lebih satu billion ringgit.
PMSP amat kecewa kerana projek 1BestariNet yang sepatutnya memberi kemudahan akses Internet kepada 10,000 sekolah di seluruh negara menjadi projek gajah putih yang amat sia-sia dan tidak berkesan.
Sekadar memenuhi naluri ingin tahu rakyat, mengapakah kes 1BestariNet yang dituntut sebelumnya oleh Ahli Parlimen dan juga NGO supaya disiasat oleh SPRM ke atas penglibatan TS Muhyiddin Yassin seperti tidak dipedulikan?

Adakah SPRM cuba menyatakan sebagaimana biasa, “sedang dalam siasatan” atau oleh kerana orang kuat PPBM, Hamzah Zainuddin adalah Menteri Dalam Negeri maka dia boleh mengawal ‘budak-budak kita’ untuk menyiasat atau untuk mendiamkan diri.
Namun mengapakah skandal 1BestariNet yang secara terang melibatkan Muhyiddin Yassin seperti didiamkan oleh SPRM begitu sahaja.
Alangkah baiknya Muhyiddin turut sama menjadi ahli kelab ‘kluster mahkamah’ sebagaimana penghinaannya terhadap beberapa pemimpin UMNO, supaya hipokrasinya terdedah.
******
Tinggalkan Jawapan