Dr.Mamat Desa
16 Feb 2022
Apa lagi yang pembangkang mahu, sekiranya orang kuat Tun Mahathir, Kadir Jasin, sudah ramal bahawa BN akan menang, manakala orang kuat Amanah, Khalid Samad pula menggesa agar PN mengundur diri daripada gelanggang PRN Johor?

PH yang terdiri daripada parti utama DAP, Amanah dan PKR pula telah berpecah dua kepada PH (DAP dan Amanah) dan PKR.
Hakikat perpecahan ini terlihat apabila PKR tidak mahu menggunakan lambang PH kerana ia membawa imej yang amat buruk pada persepsi rakyat, tetapi DAP dan Amanah cuba menutup mata.
Namun DAP dicabar, sekiranya mahu melihat reaksi rakyat yang sebenarnya, gunalah logo DAP sendiri, dan pula Amanah dengan logonya sendiri.
DAP yang menjadi amat rakus selepas PH memenangi PRU14, kini menjadi ‘lembaga fobia’ kepada kaum Melayu kelas menengah dan kelas rendah.
Hal ini diperakui sendiri oleh orang-orang Bersatu apabila PH diminta berundur dari DUN Penawar dan Tanjung Sirat kerana pengundi di situ tidak suka kepada PH, baik Amanah mahupu PKR, apatah lagi DAP!

Datuk Kadir Jasin meramalkan Barisan Nasional (BN) akan menang besar di Johor sebagaimana keputusan diperolehinya pada PRN Melaka, November lalu.
Lihatlah apabila PH kalah di PRN Melaka, beberapa pemimpin DAP mahu Anwar meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Majlis Presiden PH.
Anwar juga merupakan Pengerusi Pilihanraya PH di PRN Melaka yang telah kalah teruk kepada BN-UMNO.
Strategi kempen PH yang berlegar pada isu ‘kleptokrat, kluster mahkamah, penyamun’ tidak lagi berbisa, malah dianggap sebagai klise murahan yang sudah basi.
Mereka lupa Syed Saddiq dan Lim Guan Eng juga ‘kluster mahkamah’ malah apa kena-mengena pemimpin UMNO yang sedang dibicarakan di Selangor dengan PRN Johor?
Malah Muhyiddin juga layak untuk masuk kelab ‘kluster mahkamah’ atas kes 1BestariNet tapi cuba dilewat-lewatkan oleh ‘budak mereka’.
Kata Kadir Jasin, jika naratif kempen yang dibawa di PRN Melaka oleh PH sama sahaja dengan kempen yang digunakan di PRN Johor, maka UMNO akan menang besar.
PH dan PKR juga telahpun kalah teruk pada PRN Sarawak 18 Disember lalu sedangkan Bersatu tidak kuat dan PAS pula lemah.

Di samping kenyataan kontroversi Kadir Jasin, Pengerusi Komunikasi Amanah, Khalid Samad juga telah menggesa agar PN tidak bertanding di PRN Melaka.
Ini adalah kerana PN hanyalah berperanan sebagai pemecah undi, sedangkan mereka tidak mempunyai kekuatan untuk menang.
Khalid Samad mencongakkan kononnya semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Barisan Nasional (BN) mendapat hanya 38% undi popular namun memperolehi majoriti 2/3 kerusi di DUN Melaka kerana undi yang menolak BN telah berpecah antara Pakatan Harapan (PH), yang mendapat 37% dan Perikatan Nasional (PN), yang mendapat 25% undi popular.
Tapi Khalid hanya membuat congak yang membabi-buta kerana jika PN tidak bertanding, adakah semua undi PN 25% itu akan pergi kepada PH yang amat dibenci rakyat daripada pengalaman mereka pada PRU14?
Semua ini hanyalah retorik ‘denial syndrome’ Khalid, sedangkan dahulu pernah heboh dalam media, ‘Yuran rendah pun orang tidak minat’ menjadi ahli Amanah. Ia membuktikan bahawa Amanah adalah parti ‘cap ayam’ bagi kebanyakan rakyat.

PH juga lupa bahawa rakyat sudah serik dengan pembohongan, janji palsu dan fitnah mereka.
Kegagalan pentadbiran PH selama 22 bulan menyebabkan rakyat menolak gabungan Parti yang didominasi oleh DAP itu.
Seperkara lagi yang mengejutkan, pemimpin MKT UMNO, DS Puad Zakarshi pula mendedahkan bahawa UMNO tidak gentar dengan Bersatu yang dipimpin oleh TS Muhyiddin Yassin, kerana UMNO tahu berapa jumlah cawangan dan ahli-ahli PPBM di Johor.
Puad mendedahkan jumlah cawangan Bersatu boleh dibilang dengan jari!
Sedangkan Bersatu mahupun PH, tahu Johor adalah tempat kelahiran UMNO, masakan parti ciput seperti Bersatu layak melawan UMNO di Johor?
******
Tinggalkan Jawapan