SUMPAH LAKNAT PPBM SUPAYA UMNO BERKUBUR MELANTUN BALIK KEPADA MEREKA SENDIRI

Dr Mamat Desa

13 Feb 2022

Sejak 2016, ketika TS Muhyiddin Yassin, DS Mukhriz Mahathir dan DS Shafie Apdal dipecat sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO, kerana belot kepada Presiden parti, UMNO telah dikeji dan dihina oleh penyokong-penyokong Muhyiddin Yassin.

Sejak itu juga mereka bersekongkol dengan musuh Melayu, DAP, dan ketika itu jugalah PPBM (Bersatu) ditubuhkan atas cadangan Lim Kit Siang dengan sasaran dan matlamat ‘membunuh UMNO’.

Lantas UMNO dijaja, dikompang dan dicanangkan sebagai sudah mati, apabila konspirasi yang disusun oleh mereka bersama-sama dengan PH mensasarkan agar pemimpin UMNO disimbah dengan rasuah dan salah guna kuasa.

Dengan gerakan fitnah, pembohongan dan janji palsu, PH yang disertai oleh PPBM akhirnya berjaya mengelabukan mata rakyat dan memenangi PRU14.

Namun mereka diserang oleh sindrom ‘multiparty’ kerana terlalu banyak ideologi yang cacamarba dalam PH di samping kemelut perebutan kuasa antara Tun Mahathir dan DS Anwar Ibrahim.

Akhirnya dengan muslihat pengkhianat yang membuat serangan hendap melalui ‘Langkah Sheraton’, PH tumbang dan hanya mampu bertahan selama 22 bulan sahaja.

Kemudian pentadbiran negara diserahkan kepada Muhyiddin, namun parti ciput seperti Bersatu tiada kekuatan untuk menerajui negara, samalah dengan kehadiran mereka pada khemah besar PH, yang dilihat hanya sebagai melukut di tepi gantang sehingga Tun Mahathir dijadikan PM ‘boneka’ oleh DAP.

Bersatu yang dilihat sebagai parti ciput itu juga sedar bahawa ia tiada kekuatan, lantas mengatur strategi menubuhkan Perikatan Nasional dan mengangkat dirinya sebagai parti yang dominan dalam PN demi mencairkan kekuatan dan pengaruh UMNO.

Sikap khianat Muhyiddin kini tertumpu pada UMNO pula kerana paranoianya terhadap kekuatan UMNO, dan kemudiannya pengkhianatannya terlaksana ketika berlangsungnya PRN Sabah.

Sejak itu UMNO hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin dan parti Bersatunya serta PN yang didominasinya.

Namun psywar untuk memadamkan nama UMNO terus berkumandang dengan klise pelabelan ‘UMNO sudah mati’, ‘Talkin untuk UMNO’, dan macam-macam lagi.

Semasa PRK Semenyih 2 Mac 2019, Tun Mahathir telah mengeluarkan kenyataan bahawa, “memilih calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih adalah perbuatan sia-sia kerana parti itu sudah tiada. Sebaliknya, yang ada hanyalah UMNO itupun sekadar pada nama sahaja. BN dah tak ada, dah ‘Innalillahi wainna ilaihi raajiun.”

Anehnya hari ini keadaan seperti terbalik, apabila Bersatu dan Pejuang seperti sedang nazak.

Bersatu di bawah kepimpinan Muhyiddin telah hilang kuasa di Johor, Melaka, Perak dan Kedah dan hanya bergantung kepada kuasa di peringkat pusat, malah Muhyiddin tidak sempat membina ‘akar umbi’.

Di sana-sini, ada sahaja ahli Bersatu yang keluar parti, cawangan dibubarkan sehingga seluruh Bersatu Negeri Sembilan telah ditalkinkan, manakala Bersatu Kelantan dan Perlis tercungap-cungap bagaikan nyawa ikan yang terdampar di daratan.

Sumpah laknat Bersatu yang mahu ‘membunuh’ UMNO nampaknya tersasar dan terkena dirinya sendiri sehingga ahlinya sendiri mendakwa Bersatu sudah mati.

Kelemahan Parti Pejuang tidak perlulah diceritakan apabila ia hanya mempunya 4 Ahli Parlimen sahaja daripada 222 diseluruh negara, manakala hanya 5 ADUN daripada 607 tujuh kerusi DUN seluruh negara.

Dengan keadaan kesihatan Tun Mahathir yang keluar-masuk IJN dan kini umurnya mencecah 97 tahun, tidak lama lagi Pejuanglah yang akan dikafankan.

Jeritan dan laungan ‘Talkin untuk UMNO’ ‘UMNO sudah Mati’, ‘Bubar UMNO’, ‘Kafankan UMNO’ dan macam-macam lagi sindrom paranoia terhadap UMNO seakan-akan terpantul balik kepada Bersatu.

UMNO tetap teguh, utuh dan perkasa sebagaimana terbukti pada PRN Melaka serta tujuh PRK sebelumnya.

Malahan kini dengan angkatan panglima perangnya serta tenteranya yang gagah perkasa dengan sokongan rakyat Johor, pastinya yang akan berkubur ialah puak-puak pengkhianat yang hakikatnya telah menyediakan kafan untuk mayat mereka sendiri.

******

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: