ELOK JUGA PEMIMPIN DAP SARANKAN MUHYIDDIN DIPECAT DAN BUBAR MPN

Editorial

11 Feb 2022

Di tengah-tengah kebangkitan semula pandemik Covid19, TS Muhyiddin Yassin yang mengetuai MPN mahu membuka sempadan negara tanpa keperluan kuarantin, sedangkan dia sendiri sedang dijangkiti Covid19.

Ahli Parlimen Kulai dari DAP, Teo Nie Ching mempersoalkan pertembungan keputusan antara MPN dan Menteri Kuartet Covid19 berkenaan pembukaan semula sempadan negara, sebagai suatu pertembungan kuasa antara kedua-duanya.

Hakikatnya kedua-duanya iaitu MPN dan Menteri Kuartet Covid19 tidak mempunyai kuasa mutlak, sebagaimana dijelaskan oleh Menteri Pertahanan DS Hishamuddin Hussein.

Hishamuddin juga menjelaskan bahawa tarikh pembukaan sempadan yang dicadangkan oleh Muhyiddin hanyalah cadangan semata-mata dan apa-apa cadangan MPN perlu dibawa kepada Jemaah Kabinet untuk keputusan muktamad.

Lantas keputusan Muhyiddin pada 8 Feb itu telah mendahului keputusan kabinet apabila dia mengumumkan supaya Malaysia membuka sepenuhnya sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib seawal 1 Mac nanti.

Majlis Pemulihan Negara atau MPN adalah badan yang ditubuhkan kerajaan Muhyiddin Yassin pada 16 Julai 2021 untuk menentukan dasar kerajaan khususnya berkaitan dengan usaha memulihkan krisis pandemik dan ekonomi negara yang masih tidak menentu.

Namun setelah kerajaan PN di bawah Muhyiddin tumbang pada Ogos 2021, MPN masih tetap dipertahankan dan Muhyiddin juga menuntut untuk mengetuai MPN.

Dengan itu MPN diterjemahkan sebagai badan yang boleh mengganggu kuasa Perdana Menteri, apatah lagi dalam situasi MPN dikuasai oleh Muhyiddin Yassin yang sedang bermusuh dengan UMNO.

Untuk penyelarasan pemulihan dan keselamatan negara, PM DS Ismail Sabri telah menubuhkan jawatankuasa yang dinamakan Menteri Kuartet Covid19 yang terdiri daripada Menteri Pertahanan, Menteri Kewangan, Menteri Kesihatan, dan Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Menteri Kuartet ditugaskan untuk bekerjasama bagi menilai dan menambah baik pengurusan pandemik Covid19 dengan mengambil kira  semua aspek termasuk keselamatan, nyawa dan kehidupan rakyat serta ketahanan ekonomi dan perniagaan.

Ia dilihat sebagai tindakan yang bijak untuk menghalang campurtangan Muhyiddin dalam pengurusan negara, supaya tidak melampaui kuasa PM.

Walau bagaimanapun, Muhyiddin telah dibuktikan gagal dalam hal pemulihan negara melawan Covid19 ketika dia berkuasa selama 17 bulan, sehingga membawa kepada pelaksanaan Ordinan Darurat dan ‘total lockdown separuh masak’ yang memusnahkan ekonomi rakyat dan meningkatnya hutang negara.

Baru-baru ini MPN di bawah kuasa Muhyiddin telah mengumumkan pembukaan semula sempadan negara mulai 1 Mac ini, tetapi keputusan itu telah dipintas oleh Menteri Kuartet Covid19 yang dipengerusikan oleh DS Hishamuddin Hussein.

“Perkara pembukaan sempadan negara sepenuhnya, akan dibawa ke kabinet atau mesyuarat bersama Jawatankuasa Khas Pemulihan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri untuk membuat keputusan muktamad,” kata Hishamuddin ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin.

Teo menterjemahkan bahawa kenyataan Hishamuddin sebagai tindakan yang memperkecilkan fungsi MPN sedangkan Menteri Kuartet Covid19 amat peka terhadap penularan Covid19 yang sehari-dua ini meningkat mendadak.

Data jangkitan Covid19 pada 1 Jan 2022 adalah 3,040 sahaja manakala pada 8 Feb jangkitan meningkat kepada 13,791 kes dan hari ini 10 Feb ia meningkat tinggi kepada 19,090 kes.

Adakah pembukaan sempadan boleh dibuat wewenangnya dengan melonggarkan SOP dan kawalan kuarantin tanpa dibawa kepada persetujuan kabinet, sedangkan Muhyiddin sendiri sedang dijangkiti Covid19?

Tidakkah pembukaan sempadan negara nanti akan menjadi polemik dan pihak pembangkang serta rakyat akan menuding jari kepada kerajaan sebagai lalai dan hanya mementingkan kemasukan pelancong daripada keselamatan negara?

Lantas Ahli Parlimen Kulai itu mahu MPN dibubarkan dan Muhyiddin disingkirkan sebagai Pengerusi MPN kerana ia hanya membazirkan wang negara, jika cadangan Muhyiddin itu hanyalah omong kosong semata-mata.

Hakikatnya Teo Nie Ching khilaf bahawa MPN mahupun Menteri Kuartet Covid19 tiada kuasa mutlak untuk mengatasi keputusan PM, tetapi Muhyiddin berlagak seakan-akan dia berkuasa.

*****

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: