BADAN PENGGIAT EKONOMI MAHU PRU15 SEGERA DIADAKAN

Editorial

5 Feb 2022

Situasi ketidakstabilan politik akibat daripada terlalu banyak ‘kepala’ dalam pentadbiran negara yang dipenuhi dengan parti-parti politik tempelan yang tidak tekal serta berbeza ideologi telah menggugat ekonomi negara serta kedudukan Pelaburan Langsung Asing (FDI).

Lihatlah bagaimana Presiden Bersatu, TS Muhyiddin Yassin mengugut PM DS Ismail Sabri meskipun mereka berada dalam barisan kabinet pemerintah yang sama. Inilah akibatnya sekiranya pentadbiran negara diberikan kepada pelbagai pihak daripada pelbagai serpihan politik daripada pelbagai ideologi.

Beberapa organisasi perniagaan dan perusahaan telah mencadangkan supaya PRU15 segera diadakan untuk menamatkan kemelut politik yang melampau dan dengan itu membantu meningkatkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara.

Jurucakap Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) dan Persatuan Perusahaan Kecil Malaysia Malaysia (SME) berkata ketidakstabilan politik yang dilihat sekarang telah menjejaskan keyakinan pelabur terutamanya Pelaburan Langsung Asing (FDI) terhadap kestabilan politik negara.

Pengarah Eksekutif MICCI Shaun Cheah berkata pelabur domestik dan asing kini dalam situasi serba-salah untuk terus melabur dan amat berhati-hati sehinggalah mereka yakin terhadap situasi persekitaran politik yang lebih stabil.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Nizham Abdullah Hamidi baru-baru ini bahawa politik yang melampau telah memberi kesan buruk kepada kerajaan, terutama dalam proses membuat keputusan.

Tambah Nizham, negara jiran menjadi lebih kompetetif menarik pelabur asing manakala pemimpin Malaysia sibuk berpolitik.

Cheah, memperakui bahawa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah melakukan yang terbaik untuk menggalakkan pelaburan, tetapi sebaliknya kementerian lain telah dilihat mewujudkan dasar yang boleh melemahkan pelabur.

Dasar populis dilaksanakan tanpa penglibatan sewajarnya daripada pihak berkepentingan dan tanpa perancangan yang sewajarnya.

Inilah akibatnya jika terlalu banyak parti politik yang tidak sehaluan menerajui politik dan kabinet kerajaan serta akibat pelantikan tokoh-tokoh yang tiada pengalaman.

Menurut Cheah, “Apabila dasar dan larangan boleh dilakukan semata-mata berdasarkan sentimen dan bukan atas rasional ekonomi yang kukuh, ia akan mewujudkan ketidaktentuan bagi pelabur.”

Cheah berpendapat PRU15 “sekurang-kurangnya akan menjadi permulaan” untuk menamatkan ketidakstabilan politik.

Setiausaha Agung Persatuan PKS (SME) Malaysia Chin Chee Seong bersetuju bahawa PRU15 mungkin boleh membawa kepada kestabilan politik dan ekonomi.

Bagaimanapun, beliau menggesa penggubalan undang-undang anti-lompat parti dilaksanakan supaya kerajaan baharu akan dapat mentadbir kerajaan sepenuh penggal.

Pengalaman Malaysia dengan kerajaan 22 bulan PH, diikuti dengan kerajaan 17 bulan PN, adalah sesuatu yang membimbangkan pelabur serta ketidakstabilan ekonomi.

Ketidakstabilan kerajaan negeri turut menjejaskan keyakinan pelabur. Sebagai contoh, di Johor, ramai pelabur Singapura yang melabur di negeri itu.

Jika pentadbiran kerajaan negeri berubah, ia akan membawa kesan negatif kepada perubahan dasar dan pelabur pasti tidak yakin dengan kedudukan pelaburan mereka.

Banyak perniagaan mengalami kemerosotan akibat perubahan yang kerap dalam kepimpinan kerajaan.

Dalam banyak keadaan, apabila berlaku pertukaran Menteri, Ketua Setiausaha dan ketua agensi kementerian, dasar pentadbiran juga berubah dan ia memberi kesan yang amat buruk kepada pelaburan, perusahaan dan perniagaan.

Ia pasti menjejaskan operasi pelaburan dan membawa kepada perubahan dalam pelaksanaan pelbagai projek yang telah diluluskan oleh Bekas Menteri.

Sebagai contoh, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah diluluskan semasa era Barisan Nasional tetapi telah dihentikan oleh kerajaan Pakatan Harapan, yang kemudiannya menghidupkannya semula dan dikembalikan ke jajaran asal oleh kerajaan PN selepas perundingan semula terma dengan kerajaan China.

Walau bagaimanapun ahli ekonomi Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak melihat situasi kestabilan politik tidak lagi mudah dicapai apabila parti pembangkang dan juga Perikatan Nasional, serta UMNO dilihat berpecah-belah.

Adalah lebih baik untuk parti-parti pemerintah sekarang menyelesaikan masalah mereka sendiri atau kita akan melihat situasi yang serupa apabila Tun Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2020.

*****

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: