Editorial
2 Feb 2022
Dengan keadaan nakhodanya yang terlantar di IJN dan faktor usia tua yang tidak membantu kekuatan Pejuang, di manakah hala tuju parti itu waktu ini?
Ia seakan-akan makhluk ‘invisble’ yang ada roh tapi tiada jasad.
Tun Mahathir tidak mahu terlibat dengan PRN Melaka tempoh hari dengan alasan kononnya pembubaran DUN Melaka dibuat secara tidak demokratik, tetapi mahu pula bertanding untuk meletakkan calonnya di 42 kerusi DUN Johor.

Pelbagai soalan terbangkit, adakah Pejuang mempunyai akar umbi di Johor? Adakah Pejuang mempunyai calon yang berwibawa dan berkaliber di Johor, malah adakah pejuang mempunyai penyokong daripada rakyat Johor sedangkan Mahathir sendiri telah mencatatkan rekod buruk atas hubungannya dengan DYMM Sultan Johor.
Selama ini pun media jarang meuar-uarkan sebarang suara pemimpin Pejuang sebagai memantapkan falsafah dan prinsip Pejuang pada sfera politik tanahair, kecuali keluarnya Ahli Parlimen Pejuang dari Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik kepada PKR.

Ia bukan sahaja mengurangkan jumlah ahli parlimen yang berada dalam kapal Pejuang tetapi ia juga satu kemaluan besar kepada Pejuang, bukan setakat Maszlee telah keluar meninggalkan parti itu, tetapi Maszlee telah melompat masuk ke parti musuh Mahathir yang dipimpin oleh DS Anwar Ibrahim.
Lemah dan tepoknya Pejuang kini kerana mempunyai hanya 4 daripada 222 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan hanya 5 ADUN daripada 607 kerusi DUN di seluruh negara.
Tidak hairanlah sekiranya semasa bersama PH dahulu, meskipun Tun Mahathir adalah Perdana Menteri, rasa hormat parti komponen terhadapnya amat ciput kerana kekuatannya hanyalah bagaikan melukut di tepi gantang.
Kini setelah Mahathir memutuskan hubungannya dengan Bersatu, sifat melukut di tepi gantang parti Pejuang itu lebih ketara.
Di PRN Johor, Pejuang akan menjadi kera sumbang, bukan sahaja sumbang tetapi tepok dan tidak bermaya untuk bersilat menentang BN, PH, PN, PAS malahan jandanya Bersatu.
Mungkin PH sudi membuka pintu kepada Pejuang, tetapi nampaknya Pejuang tidak mahu menjadi penumpang dengan tawaran kerusi yang ciput juga.
Tanpa sedar diri, Pejuang mahu bangun sebagai jagoan di PRN Johor dengan menaruhkan calonnya di 42 kerusi DUN Johor.
Dalam banyak-banyak parti yang menjadi perhatian dan sasaran parti besar seperti BN-UMNO, PN dan PH, Pejuang langsung tidak dipedulikan, ibarat ular lidi yang kecil lagi tidak berbisa.
Pendirian Mahathir yang berbolak-balik sama ada hendak bertanding atau tidak pada PRU15 nanti telah dicemuh oleh pemimpin Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin yang melihat pendekatan Mahathir sebagai ‘warlord politik’ tidak lagi popular.

Zaman diktator dan gerakan ‘gestapo’ sudah berlalu lama di Malaysia.
Ke manakah Mahathir mahu membawa Pejuang setelah tumbang ketika mengepalai PH selama 22 bulan, sebagai pemimpin paling tua di dunia?
Seorang hartawan terkenal Afrika, MO Ibrahim pernah menyidir, “Adakah kamu akan membawa rakyat bersama ke kubur?”
Pejuang pernah mengumumkan bahawa mereka akan bertanding di 120 kerusi parlimen pada PRU15 nanti, kononnya akan menjadi ‘king maker’ lagi sekali, namun Pejuang hanyalah ibarat hidangan nasi kosong dengan air perigi tanpa lauk, tanpa ikan kering, dan tanpa sambal belacan.
Teknik membeli katak politik mungkin sudah berakhir pada PRU15 nanti, apabila ramai katak-katak politik akan kehilangan tempat bergantung kerana tiada asas tumangnya serta tiada akar umbinya untuk bergerak apatah lagi apabila ‘Akta Lompat Parti’ akan diperkenalkan.
Setakat hari ini, rakyat tidak nampak langsung apakah program Pejuang yang diibaratkan makhluk ‘invisible’ kecuali kekayaan Mahathir dan anak-anaknya yang mampu membeli oportunis politik yang berjuang kerana kantung.
Adakah cukup dengan mengangkat sejarah silam Mahathir yang kini menjadi kutukan rakyat yang sensitif dan peka terhadap skandal dan konspirasi rasuah, nepotisme, kronisme adan authoritarianisme (pemerintahan kuku besi).
Sikap ‘sesumpah politik’ juga ketara kepada Mahathir demi survivalnya apabila sanggup membebaskan Anwar dari penjara yang menjadi musuh politiknya dan rela tidur sebantal dengan Lim Kit Siang yang berdendam mahu menyumbatnya ke penjara.
Hari ini semua orang seperti tidak sanggup lagi mahu mengheret pemimpin tua yang mencecah umurnya satu abad ke mahkamah, apatah lagi ke penjara.
Namun kesan dan dampak kecelakaan konspirasi Mahathir terhadap semua bekas Timbalan PM dan semua Perdana Menteri yang menggantikannya masih lagi menjadi pekung bisa yang membawa maut kepada kerjaya politik mereka semua.
****
Tinggalkan Jawapan