Editorial
28 Jan 2022
Di saat-saat menjelangnya PRN Johor, masih ada yang sanggup meninggalkan parti Bersatu kerana tidak yakin dengan kepimpinan Bersatu negeri serta presiden parti.
Ketua Bahagian Bersatu Tebrau, Mazlan Bujang, yang juga merupakan bekas Pengerusi Bersatu Johor, telah meletak jawatan Ketua Bahagian, sekali gus mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.
Tindakan Mazlan adalah suatu kemaluan besar terhadap Muhyiddin Yassin yang selama ini ego dan berpura-pura bahawa partinya teguh dan kukuh untuk menghadapi PRN Johor.
Di tengah-tengah keriuhan parti-parti lain cuba mempengaruhi pengundi, Bersatu menjadi kebencian ahli sendiri, kerana sikap sombong presiden yang tidak menghormati kepimpinan Bersatu negeri, sebagaimana didakwa oleh Mazlan.
Bukan itu sahaja Mazlan juga mendakwa, ramai lagi akan mengikut jejaknya meninggalkan parti Bersatu yang hakikatnya bukan ‘bersatu’ tetapi ’pecah-belah.’
Lebih parah lagi buat Bersatu dan Muhyiddin, Mazlan menyeru ahli-ahli Bersatu agar menokong BN-UMNO pada PRN Johor yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Bagi Mazlan berdasarkan dua kepimpinan Menteri Besar dari Bersatu sebelum ini yang gagal mentadbir Johor dengan baik, dia mengumumkan keluar parti meskipun tidak memohon untuk menjadi ahli parti lain.
Namun Mazlan mendakwa bahawa dua Menteri Besar Johor sebelum ini, Datok Osman Sapian (12 Mei 2018 – 8 April 2019) dan diikuti Datok Dr. Sahrudin Jamal (14 April 2019 – 27 Feb 2020), kedua-duanya dari Bersatu, telah gagal menjalankan tanggungjawab kepimpinan mereka sebagai Menteri Besar.
Bagi Mazlan, Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) Johor juga gagal mengemukakan calon menteri besar yang berkaliber untuk mentadbir Johor.

Selari dengan tindakannya keluar parti, Mazlan menyeru semua ahli dan penyokong Bersatu bermuhasabah diri serta menyokong kepimpinan YAB Hasni dan BN-UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
Kata Mazlan, “Saya juga mengambil pendirian menyokong Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad, untuk memimpin semula Johor dan mewujudkan kestabilan politik demi masa depan negeri yang lebih baik untuk kebaikan rakyat Johor.”
Kenyataan Mazlan itu dilihat sebagai satu libasan maut ke muka Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin yang mengalami krisis keyakinan sehingga mengambil keputusan untuk tidak bertanding di DUN Gambir, kerusi yang disandangnya.
Bagaimanakah Muhyiddin dan Bersatu boleh mengalahkan UMNO-BN, sekiranya orang kuatnya sendiri mengambil pendirian untuk meninggalkan parti, sebagaimana yang berlaku di Pagoh, manakala cawangan Bersatu di Pulai pula telah dibubarkan?

Krisis keyakinan Muhyiddin terhadap partinya sendiri, telah menyebabkan bahagian Bersatu Johor Bahru berhasrat menjalin semula kerjasama dengan PH pada PRN Johor, sebagaimana ikatan gabungan itu semasa PRU14.
Namun Ketua Pembangkang DS Anwar Ibrahim telah dengan pantas menolak Bersatu untuk menyertai gagasan pembangkang kerana Bersatu bukan pembangkang.
Malahan tragedi ‘Langkah Sheraton’ dilihat sebagai pengkhianatan Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu yang keluar meninggalkan PH, sehinggan Tun Mahathir dengan bebalnya mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Turut sama mengikuti jejak langkah Mazlan Bujang meletakkan jawatan ialah Setiausaha Bersatu Bahagian dan 23 ketua cawangan, ahli jawatan kuasa serta pegawai bahagian Bersatu Tebrau. Tindakan mereka pastinya membawa kepada pembubaran bahagian Bersatu Tebrau.
Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa mengesahkan beliau tidak menyertai mana-mana parti setakat ini, namun menyatakan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).
******
Tinggalkan Jawapan