Editorial
21 Jan 2022
Fikirkanlah, ketika pihak KKM dan frontliner bermati-matian berkorban nyawa untuk selamatkan rakyat supaya tidak menjadi sebahagian daripada 31,853 mayat (data 20 Jan 2022), terdapat pula pihak oportunis mengeluarkan sijil palsu vaksinasi.

Tidak lain, matlamat mereka adalah untuk membolot laba kewangan di samping membela golongan anarki yang antivaksin kerana terpengaruh dengan naratif dongeng.
Di Eropah, varian Covid19, Omicron sedang menular 500% lebih pantas daripada varian asal, di samping varian Delta yang masih tidak terkawal.

Seluruh Eropah telah mengetatkan sekatan untuk menghalang penyebaran varian Omicron, didahului Belanda yang mengumumkan ‘total lockdown’.
Kerajaan Belanda telah mengeluarkan arahan menutup semua kedai, bar, restoran, gim, sukan luar, tempat kebudayaan dan sekolah sejak Disember 2021 sehingga pertengahan Januari 2022.
Anehnya di Malaysia, terdapat rakyat yang masih dungu dan tidak bertamadun, cuba menentang usaha KKM.
Terkini kluster Umrah yang melakukan amal ibadat untuk mencari pahala, tetapi pulang membawa jangkitan Omicron kepada sanak-saudara dan rakyat jelata.
Jika mereka dijangkiti wabak semasa beramal di Masjidil Haram atau di Masjid Nabawi, maka itu adalah satu isu, tetapi isu utamanya adalah terdapat dalam kalangan jemaah yang bebal ini pergi dengan menggunakan sijil palsu vaksinasi dengan erti kata mereka tidak menerima vaksin.
Lantas mereka terdedah kepada jangkitan. Sekiranya mereka sahaja yang menerima serangan Covid19, maka itu boleh diterima sebagai dampak kendiri, tetapi masalah besar ialah mereka turut berkebangkalian merebakkan wabak kepada sanak-saudara, jiran-tetangga dan orang ramai yang mendekati mereka.
Media telah melaporkan kira-kira 1,900 pelanggan antivaksin di sebuah klinik swasta di Marang, Terengganu didapati menggunakan sijil vaksin palsu tanpa mendapatkan sebarang suntikan di klinik tersebut.
Pihak PDRM telah melaporkan hampir keseluruhan pelanggan yang berurusan di klinik swasta itu tidak mendapatkan suntikan vaksin secara sah selepas klinik tersebut dibenarkan menawarkan khidmat vaksinasi sejak September tahun lalu.
Siasatan polis mendapati segelintir pelanggan mendakwa mereka menggunakan suntikan air suling dan air garam sebagai helah semata-mata bagi membuktikan mereka telah mengambil suntikan vaksin Covid19.

Bukan kes klinik swasta sahaja, malahan terdapat pula tawaran di media sosial untuk menjual sijil vaksinasi palsu dengan harga RM2,500 setiap satu.
Adakah ini merupakan sebahagian daripada modus operandi pihak yang tidak bertanggungjawab itu untuk memberikan jalan mudah kepada jemaah Umrah yang antivaksin?
Mereka sanggup membayar RM2500 sedangkan kerajaan menyediakan vaksin serta perkhidmatan vasinasi percuma, walaupun vaksin diimport dengan harga yang mahal.

Menurut KMM kes jangkitan harian Omicron boleh mencecah 30,000 kes sekiranya kerajaan tidak mengambil sebarang langkah pembendungan.
Sebab itulah KKM mengambil keputusan supaya pihak keselamatan negara dinasihatkan menangguh sementara ibadat umrah bagi mengekang penularan Omicron.
Sekiranya keputusan sukar itu tidak dilakukan, kadar jangkitan berupaya melambung sehingga ke paras 15,000 kes dalam tempoh 24 jam, untuk tempoh Januari dan Februari 2022.
Jelaslah bahawa sebarang gejala menjual sijil palsu, serta memberikan vaksinasi palsu adalah satu tindakan yang amat berbahaya kepada orang ramai.
Oleh kerana Covid19, Omicron ataupun Delta boleh membunuh maka, pihak yang menangguk di air keruh itu, adalah signifikan diklasifikasikan sebagai pembunuh.
Secara kasarnya golongan ini jika disabitkan kesalahan, mereka wajar dihukum penjara seumur hidup atau digantung sampai mati.
****
Tinggalkan Jawapan