Editorial
19 Jan 2022
Pada Ogos tahun lalu, ketika Muhyiddin masih Perdana Menteri, pelbagai media melaporkan tentang dakwaan bahawa ada pihak mahu dia mencampuri urusan mahkamah.

Adakah Muhyiddin cuba mencari publisiti murah untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Perdana Menteri ketika itu yang dilihat amat tidak stabil kerana bilangan ahli parlimen daripada parti Bersatu adalah kecil.
Ia juga boleh dipersepsikan sebagai ugutan Muhyiddin terhadap mana-mana pemimpin politik yang sedang dalam perbicaraan kes di mahkamah, terutamanya tokoh-tokoh politik.
Malahan kenyataan Muhyiddin boleh diterjemahkan sebagai untuk memperlekehkan pemimpin UMNO yang sedang dalam perbicaraan, lantas mengangkat dirinya sebagai lebih berkredibiliti untuk disokong berbanding pemimpin UMNO.
Kenyataan Muhyiddin juga boleh membuat rakyat terfikir bahawa sekiranya ada yang tidak dilayaninya, maka mungkin juga ada yang telah dilayaninya.
Hakikat ini boleh dilihat pada tokoh politik tertentu yang melompat parti.

Isu campur tangan politik dalam badan perundangan negara menjadi lebih signifikan apabila bekas Ketua Polis Negara, TS Hamid Bador mendedahkan bahawa sememangnya ada pemimpin negara yang campurtangan dalam hal perundangan negara, apatah lagi apabila terdapat ‘budak kita’ dalam badan keselamatan negara (PDRM dan SPRM?)

Pada 14 Januari lalu, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menegaskan, institusi kehakiman tidak pernah didekati mana-mana pihak tertentu untuk campur tangan dalam kes mahkamah.
Tun Tengku Maimun juga percaya hakim-hakim tidak pernah didekati oleh mana-mana pihak tertentu dalam sebarang keputusan mahkamah.
Lantas, benarlah kata Muhyiddin bahawa dia tidak melayani mana-mana pihak yang mahu dia, sebagai PM mencampuri urusan mahkamah khususnya badan kehakiman.
Namun sebagaimana yang rakyat lihat isu mencampuri hal badan perundangan mungkin tidak berlaku melalui hakim tetapi melalui kuasa Peguam Negara sebagaimana yang berlaku ketika PH-Bersatu berkuasa pada era Tun Mahathir.
Beberapa kes telah ditutup begitu sahaja misalnya kes rasuah pembelian banglo Lim Guan Eng yang turut mengejutkan SPRM.
Rakyat juga terkejut kenapakah hakim yang sedang membicarakan kes DS Najib di Mahakamah Tinggi telah ditukar dengan tidak semena-mena?
Malahan terdapat 15 kes pendakwaan yang digugurkan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) ketika Tommy Thomas memegang jawatan Peguam Negara.
Sebagaimana dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Baling, DS Abdul Azeez Rahim dalam parlimen “kenapa perlu ada double standard dengan kes-kes yang kita tahu melibatkan bekas ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng?”

Beberapa hari lalu, DS Anwar Ibrahim, membidas kenyataan Muhyiddin tahun lepas yang telah menimbulkan keraguan umum sama ada eksekutif boleh campur tangan dalam hal kehakiman, walaupun terdapat hakim yang tegas mematuhi kedaulatan undang-undang.

Ahli Parlimen Puchong dari DAP, Gobind Singh Deo menggesa bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin memberikan respons mengenai perkara itu.
Gobind mempersoalkan sama ada Muhyiddin telah membuat laporan polis atau laporan SPRM atas desakan yang didakwa dibuat terhadapnya untuk campur tangan dalam urusan mahkamah bagi tujuan membebaskan beberapa individu yang didakwa atas kesalahan jenayah semasa beliau menjadi Perdana Menteri.
Dakwaan yang dibuat oleh Muhyiddin adalah sesuatu yang serius. Dakwaan tersebut disiarkan dan disebarkan secara meluas oleh akhbar. Ia adalah perkara berkepentingan awam dan mesti ditangani mengikut undang-undang.
Menurut Gobind lagi, di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM, Muhyiddin hendaklah membuat laporan kerana menjanjikan atau menawarkan suapan atau menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan adalah melanggar undang-undang.
Sekiranya Muhyiddin mendiamkan diri, maka apa yang dihebohkannya pada Ogos lalu akan dipersepsikan oleh rakyat sebagai retorik politik dan cuba mereka-reka cerita yang merupakan fitnah semata-mata.
*****
Tinggalkan Jawapan