Editorial
18 Jan 2022
Syed Saddiq yang sentiasa emosional dalam tutur katanya, kerana mungkin masih muda atau mentah dalam politik, kini lagi sekali ditonjolkan sebagai Ahli Parlimen yang bijak berlakon demi kelangsungan politiknya.
Satu ketika dahulu semasa sebelum PRU14, Saddiq amat mesra dengan Tun Mahathir, tetapi setelah menang kerusi Parlimen Muar, watak Saddiq berubah menjadi watak Arab yang kasar dan emosional.
Malahan dia menolak untuk bersama dengan Mahathir dalam Pejuang dan meninggalkan Bersatu pimpinan TS Muhyiddin Yassin.
Walaupun kasar dan emosional namun ada ketikanya dia seperti penakut dan manja sehingga terpaksa lari melompat pagar apabila digemparkan oleh golongan yang cuba menguji kejantanannya.

Saddiq pernah dilihat sebagai ahli politik yang pandai berlakon apabila dia dikatakan cuba menarik perhatian ramai ketika muncul dengan plaster yang ditampal di pipi kanan dan dagu, tetapi kemudiannya tertampal pula di pipi kiri akibat jatuh motosikal.

Dia juga telah meminta jurugambarnya merakamkan telatahnya ketika mengutip sampah di stadium, kononnya untuk menyerapkan budaya penonton bolasepak negara Jepun yang amat bertanggungjawab terhadap kebersihan stadium setiap kali selepas perlawanan.

Syed Saddiq juga didakwa pandai berlakon apabila semasa menjawat jawatan menteri Belia dan Sukan, dia mengkritik Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang memansuhkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal.
Presiden MCA Dr Wee Ka Siong telah menyelar tindakan Syed Saddiq itu kerana sebagai menteri penuh, dia perlu hadir dalam mesyuarat Kabinet setiap minggu membawa ‘suara lantangnya’.
Sebaliknya Syed Saddiq, sebagai Menteri Belia dan Sukan ketika itu, melenting di luar tetapi berdiam diri semasa mesyuarat Kabinet.

Dr Wee Ka Siong bertanya, adakah Syed Saddiq sedar JPA adalah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, yang mana bosnya adalah Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
“Mana mungkin polisi baru ini tidak dibincang di Kabinet atau sekurang-kurangnya di dalam jawatankuasa yang dipengerusikan serta dipersetujui oleh PM sendiri?”
Terkini, Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyelar sikap Syed Saddiq yang masih terus-terusan mempolitikkan isu bantuan banjir.
Kata Onn Hafiz, “Cukup-cukuplah bersandiwara kerana yang terperdaya mungkin orang luar yang tidak tahu situasi dan keadaan sebenar sedangkan orang Muar dan Johor arif sangat dengan realiti sebenar dan mereka sesungguhnya tak sempat pun nak tengok drama Saddiq kerana banyak lagi kerja lain yang perlu dilaksanakan.”
Lakonan Saddiq, menurut Onn Hafiz adalah semata-mata hendak menutup kelemahannya sendiri. Namun Onn pasti rakyat Johor dan Muar terutamanya golongan belia dapat melihat siapakah YB Syed Saddiq yang sebenar-benarnya,” katanya dalam kenyataan media menerusi laman facebooknya hari ini.
Onn menyindir bahawa dia sesungguhnya kagum, malahan terkesima dengan kebolehan Syed Saddiq dalam memilih, memanipulasi dan memutar belit maklumat dan fakta tentang banjir di Johor dan Muar bagi kepentingan politiknya sendiri.
Dalam masa yang sama Onn Hafiz bertanya jika Saddiq pandai menonjolkan diri sebagai pemimpin yang sangat menyayangi rakyat Muar dan Johor, tidak mementingkan diri sendiri, empati dan penyayang tapi kalau betullah YB sayang sangat dengan orang Johor dan Muar, mengapa hanya tiba di Johor pada 7 Januari 2022 walhal banjir telah bermula sejak 31 Disember lagi?

Hampir tujuh hari orang Muar dan Johor menantikan wira emosional mereka.
Mungkin lambat kerana terlalu banyak pagar yang Saddiq harus lompat sehingga mungkin ada yang telah dihanyutkan banjir, tetapi wira mereka hanya muncul tujuh hari kemudiannya.
*****
Tinggalkan Jawapan