Editorial
17 Januari
Presiden PAS, DS Haji Abdul Hadi Awang tidak memperincikan apakah rasional pemecatan Datok Dr Khairuddin Aman Razali sebagai AJK Pusat PAS.
Hadi hanya mendakwa bahawa Khairuddin telah melanggar peraturan parti, namun apakah peraturan yang telah dilanggari itu? Atau hakikatnya Setiausaha Agung PAS DS Takiyuddin Hassan yang menjadi dalang pemecatan Khairuddin?

Pemecatan Khairuddin, yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Nerus, menjadi polemik media apabila beliau dilaporkan telah mengadakan perbincangan tertutup dengan pemimpin UMNO untuk mengukuhkan Muafakat Nasional (MN), dua hari sebelum beliau dipecat.
MN, sebagaimana yang telah termaktub dalam perjanjian UMNO-PAS pada 2019 lalu adalah satu perjanjian kerjasama politik untuk menentang PH dan konco-konconya setelah kedua-dua parti itu kecewa dengan tindakan PH-DAP mencabuli hak kaum bumiputera serta kedudukan Raja-Raja Melayu dan agama Islam ketika mereka berkuasa di bawah pimpinan pemimpin Bersatu, Tun Mahathir Muhammad dan Muhyiddin Yassin.
Selepas digugurkan daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS, Dr.Khairuddin tetap tampil bersuara mengenai kewajipan mengukuhkan perpaduan Muafakat Nasional (MN).

Khairuddin berpendirian kerjasama MN yang terjalin antara Pas dan UMNO sejak 14 September 2019 terbukti berjaya mendamaikan kelompok orang Melayu-Islam yang berperang lebih 41 tahun angkara politik.
Dalam Amanat Hadi, beliau pernah memberi kiasan bahawa UMNO adalah kafir, menyokong UMNO bermakna menyokong kafirun tetapi anehnya selama tujuh tahun PAS telah bersekongkong dengan DAP yang jelas merupakan kafir harbi.

Bagi Khairuddin adalah menjadi tanggungjawab kalangan pemimpin untuk memperkasakan MN di samping menyuburkan perpaduan UMNO-PAS, dengan hukumnya adalah wajib dan bukannya sunat.
Haji Hadi berkeras untuk mengheret bersama Bersatu ke dalam MN sedangkan Bersatu tiada dalam perjanjian MN.
Bahkan semasa PAS dan UMNO berpadu dalam Perhimpunan Perpaduan Ummah, pemimpin Bersatu adalah sebahagian daripada mereka yang bersekongkol dengan DAP untuk meratifikasikan ICERD dan Statut Rom. Adakah Hadi lupa semua itu?
Sekiranya tindakan Hadi itu adalah sebagai amaran kepada pemimpin PAS yang cenderung kepada MN, maka Nik Abduh Nik Aziz juga harus bersedia menghadapi tindakan yang sama.
Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh juga adalah AJK Pusat PAS yang dilantik (bukan dipilih) dan juga merupakan pemimpin PAS yang cenderung kepada kerjasama dengan UMNO sejak Allahyarham Nik Aziz masih hidup lagi.
Pemerhati politik sedang meneliti adakah Haji Hadi berani melucutkan jawatan Nik Abduh yang merupakan anak kepada pemimpin tersohor PAS semasa beliau masih bernafas?

Bagi Nik Abduh sebaik-baik perjanjian politik yang termeterai sejak berpuluh tahun adalah pembentukan Muafakat Nasional.
Sama seperti Khairuddin, beliau berpendapat perjanjian yang dimeterai di Himpunan Perpaduan Ummah pada September 2019 itu berjaya menyatukan dua kumpulan besar yang telah bertelagah sejak puluhan tahun.
“Ia perjanjian yang diberkati Allah ‘dengan serta merta’ dengan kurniaan hujanan air mata rakyat di seluruh negara.
“Ia menyatukan dua kumpulan besar umat Islam yang bertelagah sejak puluhan tahun. Ia meruntuh segala marak kemarahan dan dendam, lalu terbina di atasnya rahmat dan kasih sayang sesama umat.
Katanya, jika Pas boleh bertahan dengan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) selama lebih tujuh tahun, tidak malukah jika pertikaian sesama pemimpin terus dibiarkan sehingga boleh menyebabkan runtuhnya kerjasama tersebut.
“Gembirakah kita untuk kembali menukarkan air mata kasih sayang dan kegembiraan kepada kebencian, dendam dan berburuk sangka sesama umat?” soalnya.
Nik Abduh nampaknya tidak peduli dengan amaran Haji Hadi yang telah memecat Dr Khairuddin yang mendukung prinsip yang sama dengannya mengenai MN.
Ramai percaya bahawa Hadi tidak akan berani bertindak terhadap Nik Abduh dalam konflik pandangan yang berbeza terhadap MN.
Kekalahan PAS di PRN Melaka dan PRN Sarawak adalah antara amaran kepada Hadi bahawa akar umbi PAS juga mahu MN dipertahankan dan menolak kerjasama dengan parti picisan seperti Bersatu.
*****
Tinggalkan Jawapan