BENARKAH ZAFRUL KOMITED MEMBELA RAKYAT YANG SEDANG MENDERITA AKIBAT PELBAGAI BENCANA?

Editorial

5 Jan 2022

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Aziz kini menjadi perhatian dan fokus rakyat golongan bawahan kerana soal komitmen beliau membela kebajikan dan kesejahteraan rakyat dipersoalkan.

Adakah dia benar-benar berjuang untuk rakyat serta membela hidup rakyat atau sebenarnya dia berjuang untuk orang yang memungutnya daripada golongan kapitalis yang melambakkan lagi pendapatan bulanannya, dan kuasa kapitalis yang diberikan kepadanya?

Zafrul lebih dilihat sebagai golongan aristokrat dan ‘menteri pintu belakang’ yang dilantik oleh Presiden parti Bersatu yang paling singkat berkuasa sebagai Perdana Menteri iaitu TS Muhyiddin Yassin.

Malahan Zafrul dipersepsikan sebagai menteri kayangan dan bukannya daripada pentas politik yang penuh dengan sepak-terajang perjuangan yang dipilih oleh rakyat.

Dia datang daripada keluarga kaya yang tidak pernah merasai penderitaan rakyat dari aspek tekanan ekonomi, kemelaratan, kemiskinan dan kelaparan.

Dari sudut kerjaya dia adalah golongan tertinggi perbankan yang merupakan CEO bank dan lebih tahu melayani keuntungan kewangan syarikat konglomerat dan golongan kapitalis yang besar-besar, daripada golongan picisan yang tercungap-cungap dalam perniagaan.

Itulah status latar dia yang menjadikan dirinya relevan dilantik sebagai Menteri Kewangan oleh Muhyiddin atau mungkin ada muslihat lain yang Muhyiddin sahaja yang tahu.

Pada jiwa rakyat mereka mahu Menteri Kewangan menguruskan kewangan negara tanpa mengetepikan pembelaan terhadap rakyat, lebih-lebih lagi golongan rendah.

Rakyat mahu Menteri Kewangan memahami dan empati terhadap penderitaan mereka dan dengan itu tidak sahaja mengutamakan golongan kapitalis dan borjois, tetapi juga golongan marhaen yang sesetengahnya tercungap-cungap mencari sesuap nasi di tengah-tengah gejala Covid19 dan bencana banjir.

Anehnya Zafrul sering cuba menonjolkan soal untung-rugi mengikut falsafah perbankan sedangkan bukan sekadar itu peranan Menteri Kewangan sebagaimana yang rakyat mahu dan rakyat perlukan.

Pada kandang politik, rakyat mahu dia memahami penderitaan rakyat, pembelaan terhadap tekanan hidup, kebajikan dan kesejahteraan mereka serta mengendalikan hak mereka dalam soal kewangan, bukan setakat untung rugi golongan kapitalis dan kekayaan kerajaan.

Apa ertinya sebuah negara kaya sekiranya rakyat terpinggir, menderita dan melarat kerana tekanan hidup di tengah-tengah kekayaan golongan atasan?

Apa ertinya rakyat mengundi pemimpin mereka dalam pilihan raya, sekiranya nasib, kehidupan dan kebajikan mereka diabaikan.

Zafrul pernah dikritik dan puas didesak dalam isu moratorium bank ketika rakyat sedang parah dan golongan perniaga kecil nazak kerana PKP, Ordinan Darurat dan ‘total lockdown yang separuh masak’ dan lockdown paling lama di dunia.

Sedangkan jumlah jangkitan Covid19 negara terus meningkat. Malahan Malaysia mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi di dunia mengikut kadar per juta rakyat.

Setelah desakan rakyat tentang moratorium perbankan menjadi isu nasional barulah dia bertindak mengarahkan bank meluluskan moratorium kepada peminjam.

Kini lagi sekali rakyat disekat untuk mengeluarkan wang mereka dalam KWSP, sebaliknya mereka dinasihatkan oleh pihak Menteri Kewangan agar meminjam daripada bank.

Nampaklah sangat dia lebih mengutamakan keuntungan pihak bank dan dana rakyat yang dipergunakan kerajaan, sedangkan apa yang rakyat minta ialah wang milik mereka sendiri daripada caruman KWSP.

Kini Zafrul tertonjol sebagai menteri yang menghalang pengeluaran wang KWSP milik rakyat, yang langsung tidak merugikan kerajaan.

Apa ertinya simpanan untuk hari tua sekiranya mereka nazak dan mati dalam kehidupan hari muda?

Inilah bahananya melantik golongan kayangan yang tidak menjiwai penderitaan rakyat, dan dia tidak nampak bahawa kerajaan itu dilantik oleh rakyat, survival negara itu bergantung kepada pilihan rakyat, dan bukan sebaliknya.

*****

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: