KE MANA PERGINYA PROJEK TEBATAN BANJIR YANG PERNAH PH CANANGKAN PADA 2012?

Editorial

26 Dis 2021

Hampir sepuluh tahun yang lalu, media perdana pernah melaporkan bahawa, Menteri Besar Selangor ketika itu, Khalid Ibrahim telah mengumumkan bagaimana Selangor merancang untuk menyelesaikan masalah banjir, sekurang-kurangnya untuk tempoh 50 tahun yang akan datang.

Tiga tahun selepas itu, Khalid disingkirkan melalui ‘Langkah Kajang’ kerana mahu Anwar mengambil alih dan lantas rancangan tebatan banjir terus turut dibatalkan.

Pada hari ini, hampir sepuluh tahun berlalu, Selangor telah kalah kepada serangan banjir di beberapa daerah kerana gagal menguruskan aliran air sungai yang melimpah.

Sepatutnya negeri kaya seperti Selangor sudah lama berjaya menentang bencana tersebut dengan perancangan yang efisien.

Kerajaan negeri PH itu mestilah menjelaskan apa yang sebenarnya telah berlaku serta keangkuhan mereka yang hanya pandai menjarah keuntungan daripada pembangunan hartanah tetapi bakhil dalam urusan dan projek menentang bencana alam dan keselamatan rakyat.

Bencana alam daripada hujan lebat yang luar biasa, serta air pasang besar, ditambah pula dengan sistem tebatan banjir yang ketinggalan zaman, menyaksikan banjir kilat melanda bandar pantai serta daerah pesisir sungai sehingga menyebabkan ratusan ribu rakyat menderita.

Setakat 26 Dis, 47 nyawa telah terkorban bukan hanya kerana lemas dalam banjir, malah ada yang lemas terkurung dalam rumah ketika air naik mendadak.

Bencana banjir yang terburuk Selangor sewajarnya dapat diatasi sekiranya kerajaan PH Selangor bijak mengutamakan perancangan projek tebatan banjir yang efisien.

Adakah segala kelemahan perlu dilonggokkan kepada kerajaan pusat?

Jika benar kerajaan pusat yang bertanggungjawab atas segala masalah banjir ini, apa pula fungsi pemimpin kerajaan negeri yang ada?

Jika soal peruntukan, bukankah kerajaan negeri Selangor sering berbangga dan mendabik dada sebagai negeri terkaya di Malaysia?

Apa gunanya kerajaan negeri mempunyai wang yang banyak jika rakyat dibiarkan menderita setiap kali datangnya musim hujan lebat yang memanjang?

Sewaktu kejadian banjir di Hulu Langat pada 7 Mac 2012, kerajaan Selangor hanya merumuskan bahawa kejadian banjir berlaku disebabkan taburan hujan yang luar biasa melebihi 70mm.

Di Kuala Lumpur, kerajaan BN telah melaksanakan terowong dwi-fungsi SMART Tunnel untuk mengelakkan limpahan air akibat hujan lebat, secara strategik tanpa membawa akibat banjir kilat yang memusnahkan aktiviti ekonomi serta kesan kepada keselamatan rakyat.

Terowong Smart Tunnel telah berjaya mengurangkan kesan buruk terhadap bajir kilat di kota raya Kuala Lumpur, meskipun tidak sepenuhnya.

Pada 2007, pentadbiran kerajaan BN Selangor juga pernah merancang untuk melaksanakan projek bersepadu Canal City yang merangkumi projek tebatan banjir melalui terusan 18km yang akan menghubungkan Sungai Langat dan Sungai Kelang.

Dengan adanya terusan ini, maka risiko limpahan air dari kedua-dua sungai dapat diminimumkan terutamanya pada musim hujan lebat.

Pada masa yang sama sebuah bandar baru berkonsepkan ‘Water Front” dapat dibangunkan untuk tarikan pelancongan sebagaimana yang ada di Eropah.

Namun pada 2011, kerajaan PH telah membatalkan projek ini, kononnya ia tidak memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi Selangor.

Berdasarkan kenyataan Datuk Soam Heng (Pengarah Urusan IJM Land) pada November 2011, projek Canal City akan diteruskan melalui penjenamaan semula tetapi tanpa komponen projek tebatan banjir.

Nampak sangat PH hanya mementingkan keuntungan kewangan semata-mata tanpa memberi perhatian kepada keselamatan rakyat.

PH menjelaskan, tanpa projek tebatan banjir, kerajaan negeri dan pemaju tidak perlu membelanjakan duit yang banyak lantas, keuntungan kepada kerajaan negeri juga akan bertambah.

Sebaliknya rakyat Selangor terpaksa berhadapan dengan banjir kilat yang berterusan sebagaimana yang dialami sekarang dengan kematian yang mencecah 50 orang.

Adakah rakyat akan terus menghadapi penderitaan yang sama jika sekiranya hujan lebat memanjang menjelma semula dalam musim angin ribut yang belum berhenti ini?

Sedangkan kerajaan PH hanya mengutamakan sikap tamak haloba daripada keuntungan projek hartanah tanpa memikirkan soal keselamatan dan penderitaan rakyat.

******

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: