Editorial
20 Dis 2021
DS Hamzah Zainuddin masih suka bersandarkan kepada persepsi, imaginasi, fiktif dan harapan apabila dia mengatakan bahawa gejala ahli Bersatu keluar parti hanyalah propaganda politik.
Sebaliknya agak melucukan apabila Hamzah melihat laporan media di sana-sini yang mendedahkan gejala keluar ahli parti Bersatu sebagai sebagai ‘reverse psikologi’ yang menjadi penanda bahawa “sokongan terhadap parti berkenaan yang terus melonjak terutama dengan penubuhan sayap baharu untuk ahli bersekutu.”

Hamzah mendabik dada mengatakan bahawa keahlian Bersatu meningkat kepada 520,000 tahun ini berbanding 300,000 tahun lalu.
Rasanya lebih baik Hamzah mencanangkan bahawa ahli Bersatu sudah meningkat kepada 3 juta, setanding dengan UMNO daripada menyebut jumlah ahlinya hanya 0.52 juta.
Lagipun mengapa tidak menyerahkan kepada ROS untuk membuktikan jumlah sebenar ahli Bersatu supaya rakyat lebih mempercayai kredibiliti dan validiti angka tersebut, apatah lagi Hamzah sendiri yang menguasai KDN dan ‘budak-budak kita’?

Di samping itu, adakah terdapat rekod pada data parti apabila ada ahli yang mengumumkan keluar parti tetapi tidak melaporkan kepada pihak atasan parti.

Media tidak mendedahkan fakta-fakta fiktif dan persepsi, sebaliknya media memaparkan kebenaran.
Di tengah-tengah dakwaan Hamzah bahawa tindakan ahli Bersatu keluar parti hanyalah sebagai persepsi dan propaganda politik, namun media telah melaporkan sebaliknya.

Apabila khalayak bertanya, mengapakah hendak dihebohkan apabila setakat 100-500 orang sahaja ahli yang keluar daripada Bersatu?
Memanglah laporan yang dibuat oleh media menunjukkan jumlah ahli yang keluar meninggalkan Bersatu adalah sedikit, kerana hakikatnya jumlah ahli Bersatu sememangnya sedikit.

Lihat sahaja Bersatu Negeri Sembilan terus bubar keseluruhannya.
Bersatu Perlis juga tercungap-cungap sedang nazak.

Kekalahan Bersatu di 7 PRK, dan kekalahan teruk Bersatu di PRN Melaka (dan nasib baik tidak bertanding di Sarawak) adalah bukan propaganda, apatah lagi, roh dan semangat Bersatu yang ditubuhkan oleh Tun Mahathir sudah hilang dalam Bersatu Muhyiddin.
Lihatlah apa yang dilaporkan oleh media tentang Bahagian Bersatu Pagoh yang menjadi kubu kuat Muhyiddin kini lumpuh apabila pengasasnya sendiri keluar meninggalkan Bersatu?

Di PRN Melaka, hanya wajah Muhyiddin yang terpampang di sana-sini seakan-akan hanya dia sahaja ahli dan calon Bersatu.
Lebih malang lagi apabila majoriti yang keluar Bersatu lebih yakin untuk menyertai UMNO.

Lantas, Hamzah dan Muhyiddin, janganlah lagi beretorik tentang kedudukan Bersatu yang bagaikan melukut di tepi gantang.
Bersatu dalam kerajaan sekarang hanyalah berselidung di sebalik langsir PN.
Itupun Muhyiddin masih mahu menabur propaganda untuk menduduki kerusi PM sekali lagi?
****
Tinggalkan Jawapan