Editorial
6 Dis 2021
Presiden PAS, TS Hadi Awang menegaskan PAS menolak gagasan Muafakat Nasional (MN) kerana UMNO tidak mengikut piagam yang dipersetujui ketika kerjasama dua parti itu dibentuk.

Adakah Hadi lupa bahawa dalam Piagam Perpaduan Ummah yang kemudiannya dijenamakan sebagai Muafakat Nasional, hanya melibatkan dua entiti parti induk sahaja iaitu UMNO dan PAS?
Sekiranya ada parti lain yang mahu menyertai MN maka induknya tetap UMNO dan PAS juga, bukannya selain daripada UMNO dan PAS.
Hadi Awang berkata, berdasarkan piagam MN, dua parti itu sedia menerima parti-parti lain termasuk Bersatu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Namun malangnya menurut Hadi apabila sampai peringkat pelaksanaan, kepimpinan UMNO hanya mahu parti UMNO dan PAS dalam MN.
“Bermakna ini sudah lari daripada perjanjian, ini tak betul sedangkan kita berpegang pada perjanjian. UMNO mahu PAS dan parti mereka sahaja dalam MN,” kata Hadi.
Kenyataan Presiden PAS ini mengundang komen dari beberapa pemimpin PAS dan UMNO termasuk Dato Seri Mohamad Hassan dan Nik Abduh yang berpendapat bahawa PAS tidak seharusnya mengetepikan MN.

Memanglah benar bahawa MN sedia menjemput Bersatu menyertai MN, namun adakah Bersatu sudi menyertai MN?
Hakikatnya, Bersatu tidak mahu menerima jemputan MN dan ia disahkan oleh Ahli Majlis Pengurusan Tertinggi (MPT), Bersatu Mohd Redzuan Md Yusof.
Perikatan Nasional yang mengangkat Muhyidin Yassin sebagai Pengerusi, sudahpun didaftarkan oleh ROS pada 07 Ogos 2020 dan tarikh surat jemputan MN kepada Bersatu adalah 13 Ogos 2021.
Pada 15 Ogos 2021, Muhyiddin memaklumkan Bersatu akan menyertai Muafakat Nasional yang mendokong Perikatan Nasional sebagai satu gabungan yang besar atau ‘the grand coalition’.
Lantas ia bermakna, Bersatu tidak mahu menyertai Muafakat Nasional sebagai ‘single party’, tetapi bersama en bloc parti-parti di dalam Perikatan Nasional di mana BERSATU menjadi parti dominan dan superior.
Mesej Muhyiddin ialah bukannya BERSATU menyertai Muafakat Nasional tetapi Muhyiddin arahkan Muafakat Nasional supaya menyertai Perikatan Nasional.
Sudah terang lagi bersuluh, Muhyiddin mahu UMNO dan PAS berdiri sebagai parti inferior, manakala Bersatu dan dia sebagai Pengerusi PN adalah kuasa superior.
Tidakkah strategi Muhyiddin itu seperti mahu menebuk bahtera MN sebagaimana ucapan Hadi semasa PRK Tanjung Piai?
Mungkin Hadi yang betul bendul, begitu mudah sekali diperbodohkan oleh Muhyiddin.
Tidakkah Hadi sedar bahawa hakikatnya parti Bersatu pimpinan Muhyiddin sedang nazak dan tercungap-cungap?

Lihat sahaja kedudukan Bersatu di Pagoh yang menjadi kubu kuat Muhyiddin, apabila banyak bahagian sudah lumpuh, manakala Bersatu di Negeri Sembilan langsung terbubar, dan Bersatu Perlis juga sedang nazak untuk dikuburkan.

Majoriti ahli parlimen Bersatu adalah merupakan katak-katak politik, yang pastinya menjadikannya amat tidak stabil.
Dengan sebab itulah dan dengan kesedaran wujudnya perangkap yang dipasang oleh Muhyiddin, akar umbi dan pemimpin UMNO bangkit untuk menghalang sebarang usaha membawa masuk BERSATU ke dalam Muafakat Nasional.
Mahukah UMNO menjemput musuh dalam selimut bertandang ke rumah yang kemudiannya akan menyalakan api dalam sekam?
Apabila Bersatu menyedari tembelangnya didedahkan, maka Muhyiddin telah membatalkan hasrat mereka untuk bersama MN.
Cuba perhatikan kedudukan Muhyiddin dalam video yang berlagak sebagai Pengerusi dan Ketua PN yang mahu menjadikan UMNO dan PAS sebagai keldai tunggangannya.
Sewajarnya Muhyiddin sedar bahawa Bersatu hanyalah melukut di tepi gantang, berkokok berderai-derai tapi ekor penuh bergelumang tahi.
******
Tinggalkan Jawapan