Editorial
5 Dis 2021
Tidaklah diketahui sama ada pendedahan dan luahan rasa Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dalam Info Rakyat sebagai sesuatu yang tulen daripada hati-sanubarinya atau ia sekadar strategi psywar untuk mencari rakan baharu dalam PRU15 nanti.

Setelah PH kalah teruk di PRN Melaka, pelbagai kritikan dan cemuhan dihalakan kepada DS Anwar Ibrahim yang telah dilihat sebagai gagal menjalankan peranannya sebagai Pengerusi Pilihan Raya PH.
Penerimaan PKR terhadap pembelot UMNO, Idris Harun dan meletakkannya sebagai calon PKR di Asahan telah menjadi sasaran cemuhan dan serangan terhadap Anwar Ibrahim.
Malahan ada pemimpin DAP yang mahu Anwar meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PH dan sebagai tindak balas pula, ada dalam kalangan anggota PKR mahu ia bergerak sendirian pada PRU15 nanti.
ADUN Bilut, Lee Chin Chen dari DAP telah mendesak Anwar supaya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PH ekoran kegagalan mereka di PRN Melaka.
Setiausaha DAP, Anthony Loke pula dengan beraninya mengeluarkan kenyataan bahawa Anwar bukanlah lagi calon tunggal Perdana Menteri PH bagi PRU15.

Pemimpin Amanah pula melihat PKR sebagai tidak lagi relevan dan mahu menjemput Pejuang, MUDA dan Warisan untuk bersama PH.
Mereka tidak lagi yakin kepada kekuatan PKR dan Pemimpin PKR seperti Anwar Ibrahim, walaupun dia dilihat sebagai amat menonjol dalam parlimen.
Nampaklah sangat bahawa mereka dalam PH tidak menghargai dan melihat Anwar sebagai pemimpin berwibawa, sebaliknya hanyalah pemimpin yang pandai bercakap.
Malahan pada kalangan rakyat, Anwar adalah sesumpah yang pandai membuat janji kosong.
Kemudian terdapat pemimpin DAP dan Amanah yang memerlukan Tun Mahathir dan mereka mahu Mahathir kembali kepada PH, dan mungkin pemimpin tua yang pernah disindir oleh ahli konglomerat Afrika Mo Ibrahim bahawa “Pemimpin tua hanya akan megheret rakyat ke kubur.”
Nampak sangat pemimpin DAP mahu PKR dan Anwar Ibrahim dan tidak lagi melihat PKR sebagai rakat pakatan yang penting.
Lihat sahaja di PRN Melaka DAP dan Amanah tidak mahu lagi menggunakan logo PKR sebaliknya mahu masing-masing menggunakan logo sendiri.
Ia satu tamparan kepada PKR, yang boleh diterjemahkan bahawa mereka melihat PKR dan logonya tidak lagi diterima oleh rakyat, lebih-lebih lagi dengan latar Anwar yang masih dikaitkan dengan skandal seksual songsang.
Ia bertentangan dengan imej Amanah yang mahu rakyat melihat mereka sebagai parti yang memperjuangkan prinsip keislaman.
DI PRN Sarawak yang akan berlangsung pada 18 Dis ini juga, masing-masing parti komponen dalam PH akan menggunakan logo masing-masing seakan mereka tidak lagi sekata dalam pakatan.
Namun Lim Guan Eng telah mengumumkan bahawa DAP akan menggunakan logo rasmi PH dan bukannya logo PKR sebagaimana yang digunakan pada PRU14 yang lalu. Ertinya logo PKR dipandang jijik dan tidak relevan lagi buat DAP.
Namun Guan Eng lupa dengan kebencian rakyat terhadap PH dan logonya setelah ditipu dan dibohongi dengan janji palsu serta menjadikan fitnah sebagai kempen PRU14, pastinya PH akan tersungkur kali ini.
Apatah lagi kebencian rakyat terhadap Tun Mahathir juga sudah merebak ke seluruh negara, akibat daripada pendedahan penyembunyian fakta kes pembelaan 1MDB terhadap DS Najib Tun Razak.

Terdapat pandangan yang melihat tindakan pemimpin DAP dan Amanah yang mahu Anwar disingkirkan sebagai Pengerusi PH itu sebagai kurang sopan, angkuh dan sombong.
Semasa PRN Melaka, sepatutnya Anwar yang umumkan Adly Zahari ADUN Bukit Katil sebagai calon KM Melaka bagi pihak PH, namun sebaliknya Lim Guan Eng yang umumkan.
Hal ini diterjemahkan sebagai biadap dan tidak menghormati Anwar sebagai Pengerusi Pilihan Raya PH.
Mungkin DAP dan Amanah juga sudah merasa dirinya kuat sekarang lebih daripada PKR, lantas PKR dan Anwar Ibrahim tidak lagi penting.
Bagi pandangan DAP dan Amanah, PKR sudah hilang tarikan dan sokongan rakyat bak kata pepatah Melayu habis madu sepah dibuang.
Begitulah nasib PKR dan Anwar Ibrahim.
Bagi penyokong PH, sekiranya komponen dalam PH tidak lagi menyokong Anwar, buanglah Anwar sebagai Pengerusi PH, dan buanglah PKR sebagai parti komponen PH. Adakah DAP dan Amanah berani bertindak sedemikian?
Namun mereka tidak boleh menolak Anwar sebagai Presiden PKR. Anwar telah dipilih sebulat suara secara demokrasi oleh ahli parti PKR.
Mungkin PKR terpaksa menghadapi PRU15 nanti secara solo dan menggunakan logo parti sendiri.
Kata Hassan Abdul Karim jika mereka hendak tendang PKR, tendanglah, apa boleh buat.
Pada PRU 2004, PKR hanya mempunyai satu sahaja kerusi Parlimen iaitu di Permatang Pauh.
Ramai yang kata PKR sudah nazak dan hampir berkubur, tapi PKR bangkit kembali pada PRU 2008, 2013 dan 2018.
Semasa PRU13 (2013) Lim Kit Siang telah merampas kerusi PKR di Parlimen Gelang Patah (sekarang Iskandar Puteri) dan ahli-ahli PKR amat marah.
Tetapi Anwarlah yang terpaksa memujuk ahli PKR di Johor supaya serahkan kerusi Parlimen Gelang Patah itu kepada Lim Kit Siang untuk memenuhi kehendak DAP dan Lim Kit Siang. Adakah mereka sudah lupa pengorbanan PKR kepada DAP?
Namun Anwar terpaksa berkorban kerana tidak mahu Pakatan Rakyat berpecah.
Kemudian di PRN Melaka baru-baru ini, seluruh anggota PKR mahu logo PKR digunakan tetapi DAP dan Amanah menolak logo Keadilan.
DAP dan Amanah mahu calon-calon PH menggunakan logo PH. Anwar pula tidak mahu PH berpecah kerana logo. Lantas lagi sekali Anwar sanggup berkorban demi menjadi ikatan dalam PH tidak berpecah.
Sebaliknya setelah PH kalah teruk, Anwar diminta meletakkan jawatan.
Mungkin juga benar rakyat amat benci pada PH yang diterjemahkan sebagai Pakatan Hancing, lantas mengunakan logo PH bukanlah satu tindakan yang bijak.

Bukan itu sahaja, DAP juga menolak Anwar sebagai calon PM pada PRU akan datang.
Anwar telah mengingatkan anggota parti PKR agar bersiap sedia, sekiranya rakan-rakan dalam parti komponen PH menolak PKR, maka PKR hendaklah bersedia menghadapi PRU15 secara solo dengan kekuatannya sendiri. PKR tidak akan mengemis supaya DAP dan Amanah mengangkat Anwar sebagai calon PM.
PKR juga tidak akan mengemis supaya PH menggunakan logo PKR, biarlah waktu itu PKR sahaja yang menggunakan logo sendiri dan masuk PRU bersendirian.
Tiada apa yang dapat disimpulkan daripada fenomena politik terkini dalam PH, kecuali perpecahan parti, selain ‘reverse psychology’ PKR yang mungkin mahu mencari rakan baharu yang mahu membaham BN-UMNO dan juga PN.
****
Tinggalkan Jawapan