Editorial
30 Nov 2021
Walaupun isu penglibatan suami bekas Gabenor Bank Negara, TS Zeti Akhtar Aziz dengan transaksi dana 1MDB sudah terdedah sejak 2019, namun tidak ada sesiapa dalam kalangan ahli parlimen, baik UMNO-BN-PN dan pembangkang yang berani membangkitkan isu ini dalam Dewan Rakyat, kecuali YB Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim.

YB Azeez membangkitkan persoalan laporan The Edge, bahawa syarikat milik suami Zeti, Tawfiq Ayman di Singapura telah menerima dana berjumlah RM700 juta daripada 1MDB sejak 2013 hingga 2019, sewaktu Zeti memegang kuasa sebagai Gabenor Bank Negara.
Menteri Undang-Undang Dr. Hj Wan Junaidi juga kelihatan seperti gelabah untuk menjawab, dengan memberi alasan bahawa pihaknya hanya mengetahui tentang isu penglibatan keluarga bekas Gabenor Bank Negara Zeti pada 2019 dan sejak itu PDRM telah memulakan siasatan.
Bekas Peguam Negara, Tommy Thomas, beberapa hari lalu juga telah mendedahkan bahawa beliau menyedari transaksi sedemikian manakala pihak PDRM juga tahu mengenai perkara ini sejak pemerintahan rejim PH pada 2019, tetapi diberikan alasan masih dalam penyiasatan.
Walau bagaimanapun kini, sudah hampir berakhirnya 2021, kenapakah tiada pemakluman kepada rakyat juga pihak mahkamah yang sedang menghakimi kes 1MDB yang tertuduh ke atas DS Najib Tun Razak?

Sekiranya pihak PDRM sudah mengetahui tentang isu berkenaan pada 2019, ia bermakna pembongkaran pihak kerajaan Singapura telahpun diketahui oleh kerajaan PH semasa mereka berkuasa sejak 2018 -2020.
Lantas terbangkit persoalan mengapakah Tawfiq Ayman dan Zeti sendiri sebagai bekas Gabenor Bank Negara, tidak diambil tindakan oleh pihak PDRM, dan SPRM untuk diadili di mahkamah?

Lebih misteri lagi, SPRM sendiri sudah mengesahkan sebahagian dana 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun syarikat di mana suami Zeti, Taufiq Ayman, mempunyai kepentingan lantas ia menjadi fakta kes pembelaan ke atas kes SCR dan 1MDB yang tertuduh ke atas DS Najib Tun Razak.

Adakah ini semua menjadi sebahagian daripada konspirasi Mahathir-PH yang telah merancang untuk menjatuhkan DS Najib sejak tahun 2014 lagi sebagaimana diperakui oleh Muhkriz Mahathir?
Meskipun Zeti menolak dakwaan kaitan syarikat milik suaminya, namun suaminya sendiri Tawfik Ayman, dilaporkan telah mengaku menerima dana RM65 juta.

Sesetengah penganalisis menyifatkan kes penglibatan suami Zeti ini adalah satu kes yang ada prima facie yang kukuh dan tidak boleh disangsikan lagi.
Sebagai Gabenor Bank Negara, Zeti mempunyai kepentingan, kerana syarikat berkenaan adalah milik suami beliau.
Namun pastinya ada dalang yang bersembunyi di sebalik tabir.
Apa yang menghairankan selama ini, DS Najib menjadi sasaran, sehingga ada yang sanggup membayar mereka yang berkuasa di DOJ Amerika Syarikat. Adakah mereka berkonspirasi untuk menjadikan DS Najib sebagai kambing hitam.
Sekiranya kes yang melibatkan Tawfiq Ayman ini dibawa ke muka pengadilan, apakah ia akan membabitkan tokoh-tokoh besar politik yang selama ini mahu memusnahkan kerjaya politik DS Najib?

Rakyat sudah muak dengan indoktrinasi dan klise ‘Najib perompak, lanun, banduan, penyangak, kleptokrat, kluster mahkamah’ dan bermacam-macam lagi.
Sepatutnya pemimpin UMNO-BN, lebih-lebih lagi golongan ‘ulamak’ dalam PAS, dan juga pembangkang yang mahu melihat ‘keadilan’ dalam ‘the rule of law’ bangun dan bertindak untuk mencari kebenaran, bukannya begitu mudah termakan dengan hasutan dan indoktrinasi Mahathir.

Sebaliknya, amat menghairankan kenapakah hanya YB Baling sahaja yang berani. Adakah ini yang menyebabkan beliau dikenakan tuduhan terpilih dalam isu yang amat mencurigakan?
Atau adakah pemimpin politik yang mewakili rakyat di parlimen cuba mengelak untuk bersuara kerana takut pada ‘mafia politik’ yang mempunyai pengaruh dalam badan perundangan dan kehakiman?

Jika inilah hakikatnya, benarlah bahawa Malaysia dikuasai oleh ‘undang-undang rimba’ sebagaimana dakwaan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas, yang kini cuba berlagak suci dan murni setelah PH jatuh tersungkur.
******
Tinggalkan Jawapan