MUHYIDDIN PENGKHIANAT DALAM PRN MELAKA – MAT SABU

Editorial

23 Nov 2021

Presiden Amanah, Mat Sabu mendakwa antara faktor yang mempengaruhi kekalahan PH di PRN Melaka adalah pengkhianatan Muhyiddin-Bersatu terhadap PH.

Dakwaan Mat Sabu ada signifikannya kerana kemenangan PH tempoh hari semasa PRU14 adalah dengan sokongan mereka yang menyokong Bersatu pimpinan Mahathir.

Mungkin ada relevannya apabila Bersatu-Muhyiddin keluar daripada PH, penyokong mereka turut mengubah undi daripada PH kepada Bersatu.

Menurut Mat Sabu PN yang merangkumi Bersatu, PAS dan Gerakan mendapat 77,731 dalam PRN dua hari lalu.

Dengan itu sebanyak 33,161 undi pergi kepada Bersatu, setelah menolak 44,570 undi yang dianggarkan diperolehi PAS, berdasarkan keputusan PRU lalu.

Sekiranya undi yang diterima Bersatu dicampur dengan undi popular yang diterima PH iaitu sebanyak 114,457, ianya akan berjumlah 147,457 berbanding BN yang hanya memperolehi 122,741 undi.

Oleh itu Mat Sabu yakin bahawa kekalahan PH bukan disebabkan oleh BN yang hanya kekal dengan jumlah undi mereka, tetapi larinya undi akibat pengkhianatan (Presiden Bersatu) Muhyiddin Yassin dan kumpulannya.

Mat Sabu kecewa kerana sekiranya Bersatu kekal dalam PH, kemungkinan besar PH akan kekal menang di PRN Melaka.

Tetapi Mat Sabu lupa bahawa undi Bersatu juga datang daripada penyokong PAS yang amat membenci Amanah.

Walau bagaimanapun Mat Sabu lupa bahawa semasa PRU14, pengundi termakan dengan hasutan, fitnah, janji palsu, pembohongan, manifesto kertas tisu, dan kini pada PRN Melaka mereka sudah sedar kesilapan dan tidak mahu kesilapan itu berulang lagi.

Mat Sabu juga lupa mengira jumlah pengundi yang amat berkurangan kerana hanya 65.85% daripada jumlah yang mendaftar sebagai pengundi, manakala kadar keluar mengundi pada PRU14 adalah 82.32%.

Mat Sabu telah lupa menghitung jumlah 16.47% lagi daripada 476,037 pengundi berdaftar di Melaka yang bermakna kira-kira 78,403 pengundi telah tidak keluar mengundi.

Lantas perlulah disimpulkan bahawa ketegasan BN-UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu adalah tepat sekali kerana bekerjasama dengan manusia pengkhianat adalah amat berbahaya.

PAS mungkin sudah termakan pujuk-rayu Muhyiddin serta dana sokongan yang boleh membantu PAS untuk PRN15 nanti.

Jika Amanah ditubuhkan untuk membunuh PAS, maka Bersatu pula ditubuhkan untuk membunuh UMNO. Lantas tidak usahlah PAS cuba bertanya mengapa UMNO tidak boleh bekerjasama dengan Bersatu sekiranya PAS tidak boleh bekerjasama dengan Amanah.

Keputusan yang diambil oelh UMNO untuk menjauhi Bersatu dan sekaligus menolak PN adalah tindakan yang amat tepat.

UMNO-BN meskipun bertindak solo, telah meraih 21 daripada 28 kerusi dengan UMNO memenangi 18 kerusi, MCA dua kerusi dan MIC satu kerusi. Ia menjadikan gabungan itu memiliki majoriti 2/3 di DUN Melaka. Tidak kiralah berapa undi pada keseluruhan jumlah yang diterima, kerana yang penting ialah kerusi DUN yang dimenangi!

PH pula yang berjaya mendapat majoriti pada PRU lalu hanya berjaya mengekalkan lima daripada 15 kerusi yang dimenanginya pada 2018.

DAP hanya mengekalkan kemenangan di empat daripada lapan kerusi, Amanah menang satu daripada dua kerusinya manakala PKR dan PAS kalah di kesemua kerusi yang mereka tandingi.

Gabungan PH juga gagal merampas semula dua kerusi yang dimenangi Bersatu ketika masih bersama mereka pada 2018. Kedua-dua kerusi itu dimenangi BN.

SPEKULASI undi awal dari kem tentera Sungai Udang dan Terendak, Melaka

Cuma terdapat kejanggalan di DUN Sungai Udang, apabila terdapat spekulasi yang mengatakan bahawa pengundi awal daripada kem tentera Sungai Udang dan Terendak tidak menyokong UMNO-BN sebagaimana sokongan mereka pada PRU14.

Spekulasi juga mengatakan mereka terpaksa mengundi PN yang didakwa sebagai menguasai kerajaan pusat.

Seharusnya kerajaan pimpinan PM Ismail Sabri Yaakob tidak wajar dijenamakan sebagai kerajaan PN, apabila hakikatnya rakyat menolak PN, sebagaimana dibuktikan di Melaka.

****

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: