Editorial
15 Nov 2021
Amatlah salah memperendahkan maruah seseorang, tetapi jika TS Muhyiddin Yassin dengan terangnya berbohong dan memfitnah, perkara ini menjadi tanggungjawab penggiat media untuk mendedahkannya.
Pertamanya Muhyiddin mendabik dada mengatakan bahawa dia adalah pengasas PPBM (Bersatu), tetapi kemudiannya telah disangkal oleh Mahathir, bahawa Muhyiddin hanyalah tukang bancuh simen dan pekerja kontrak yang menaikkan bangunan Bersatu sedangkan Mahathir adalah arkitek yang menerajui penubuhan Bersatu.

Namun khalayak mungkin sedar bahawa dalam kempennya di PRN Melaka, Muhyiddin cuba menutup hakikat bahawa idea penubuhan Bersatu adalah cetusan idea pemimpin d’facto DAP, iaitu Lim Kit Siang.
Fakta ini didedahkan oleh bekas orang kanan penubuhan Bersatu iaitu Datok Hamidah Osman dengan matlamat supaya penubuhan Bersatu akan dapat menamatkan riwayat UMNO sebagaimana yang dihasratkan oleh Lim Kit Siang dan Mahathir.

Namun nampaknya, yang lumpuh sekarang ialah Bersatu yang lebih bergantung kepada katak-katak politik, sedangkan Bahagian Pagoh sendiri dan banyak lagi Bahagian di seluruh negara dibubarkan.

Berikutnya Muhyiddin telah membohongi rakyat bahawa dia disingkirkan daripada UMNO kerana dia menentang Najib dalam isu 1MDB.
Hakikat sebenarnya ialah Muhyiddin telahpun bersekongkol dengan Mahathir untuk menjatuhkan DS Najib sejak akhir 2014 melalui kempen-kempen mereka, sedangkan PAC mula menyiasat kes 1MDB hanya pada 2018.

Muhyiddin juga berbohong bahawa dia dipecat oleh DS Najib, sedangkan keputusan UMNO memecat Muhyiddin pada Jun 2016 adalah dibuat oleh MKT UMNO dan bukannya DS Najib sebagaimana yang dia fitnah.
Bagaimanapun PAC pada 2018 mendapati DS Najib tidak bersalah, tetapi atas sikap dengki dan khianat Tun Mahathir, setelah PH berkuasa, SPRM diarahkan mengheret DS Najib ke mahkamah.
Itu pun Mahathir telah menggunakan ‘orang dia’ dalam badan kehakiman apabila tanpa alasan hakim perbicaraan kes 1MDB tergesa-gesa ditukar secara yang tidak normal.

TS Shahrir Samad juga telah mendedahkan bahawa Muhyiddin sebagai antara orang yang bertanggungjawab menjatuhkan Tun Abdullah Badawi, PM ke-5, tetapi walaupun Tun Abdullah tahu gelagat jahat Muhyiddin itu, dia tetap dikekalkan berada dalam barisan menteri kabinet Tun Abdullah.
Sepatutnya Muhyiddin sudah lama disingkirkan daripada UMNO, bukan pada era DS Najib, tetapi sejak era Tun Abdullah sebagai PM lagi.

Kemudian Muhyiddin memfitnah bahawa DS Najib telah mengambil perabot di kediaman PM di Seri Perdana, seakan-akan mencuri barangan kerajaan, sedangkan perabot tersebut adalah milik peribadi DS Najib.
Hakikatnya Muhyiddin mahu menutup pemberian kontrak ubah suai Seri Perdana yang diberikan kepada ahli keluarganya berjumlah RM38.5 juta sebagaimana didedahkan oleh DS Najib.
Hari ini dalam kempen PRN Melaka, tingkah laku Muhyiddin tidak ubah seperti Mahathir, berwirid menyebut-nyebut nama DS Najib, seakan-akan DS Najib yang bertanding.
Anehnya juga Muhyiddin sepatutnya melihat PH sebagai saingan parti PN, tetapi sebaliknya BN-UMNO pula yang dihalakan serangannya.
Ada penganalisis yang memerhatikan pola kempen PRN Melaka mempersoalkan adakah Muhyiddin akan bertanding kerana di mana-mana sahaja gambar dia terpampang dalam banner dan sepanduk yang besar-besar.
Nampaknya dengan sikap pemfitnah seperti Muhyiddin, segala poster dan banner yang besar-besar itu akan menjadi liabiliti dan faktor kejatuhan PN.

Muhyiddin harus bersiap sedia dengan tindakan SPRM dalam kes 1BestariNet yang didedahkan oleh Dr Maszlee Malik.
1BestariNet adalah projek talian Internet yang telah menelan belanja RM3 bilion tetapi merupakan satu projek yang gagal.
Selain itu mungkin selepas PRN Melaka, Muhyiddin harus menjawab siasatan SPRM tentang kes kontrak yang diberikan kepada menantunya bernilai RM1.16 bilion.

Itupun sekiranya SPRM masih mempunyai integriti dan digniti serta bebas daripada pengaruh orang-orang Muhyiddin.
******
Tinggalkan Jawapan