Editorial
11 Nov 2021
Idris Haron mendakwa, pengundi dan rakyat Sungai Udang masih setia kepadanya, malahan dia yakin pengundi Sungai Udang telah menolak UMNO.
Dia juga mendakwa UMNO sudah berpecah dan tidak lagi menyokong DS Sulaiman Md Ali.

Sebelum ini, bekas ADUN Sungai Udang itu melaungkan bahawa dia menyahut cabaran DS Mohamad Ali untuk bertanding di DUN Tangga Batu pada PRN 20 Nov ini.
Dalam satu kenyataan media Idris menyatakan, “Saya tidak angkuh tapi yang pastinya saya akan mencari siapa yang mencabar saya, mungkin dia (Mohamad Ali) berminat di Sungai Udang. Kali ini saya akan mencari di mana dia bertanding,” jelasnya.

Tapi nampaknya Idris telah lari daripada bertanding di Sungai Udang, sebaliknya dia akan bertanding di Asahan dan akan dicabar oleh 4 lagi calon, iaitu UMNO, Gerakan, dan dua calon Bebas.
UMNO meletakkan Ketua Pemuda UMNO Melaka, Fairul Nizam Roslan, untuk menentang Idris.
Lantas, nampaknya tindakan Idris tidaklah seperti yang dia laungkan ketika kerajaan negeri Melaka tumbang, bahawa dia akan menentang sesiapa sahaja yang mencabarnya.
Sepatutnya sekiranya Idris telah menarik sokongan terhadap bekas Ketua Menteri DS Sulaiman Md Ali, kerana dikatakan tiada lagi sokongan majoriti, maka mengapa dia tidak bertanding di DUN Lendu untuk membuktikan bahawa pengundi dan rakyat telah menolak Sulaiman?

Kini terbangkit perbalahan dalam PH, siapakah yang akan dilantik sebagai Ketua Menteri?
Jika sebelum ini dalam SD (surat akuan sumpah) ke-empat-empat ADUN yang belot kepada Ketua Menteri sehingga DUN Melaka terpaksa dibubarkan, telah mencatatkan bahawa Idris akan diangkat sebagai Ketua Menteri baharu, tetapi nampaknya segalanya meleset.

PH telah mengesahkan bahawa mereka mencalonkan Adli Zahari sebagai Ketua Menteri Melaka sekiranya PH menang.
Namun timbul persoalan kenapakah Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, yang juga merupakan Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Md Akin diletakkan di DUN Paya Rumput?
Adakah terdapat percaturan yang tersembunyi bahawa Shamsul Iskandar yang sebenarnya mahu diangkat oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim, sebagai Ketua Menteri?
Apa jua jawapannya, ramai dalam kalangan pemimpin PH tidak mahu ‘katak politik’ seperti Idris Haron diangkat sebagai Ketua Menteri.

Perkara yang lebih parah buat Idris, ialah apabila DAP bertekad tidak mahu menyokong mana-mana daripada keempat-empat pembelot yang telah menyebabkan pembubaran DUN Melaka.
Pengundi Cina juga telah sebulat suara menolak Idris Haron, apatah lagi sekiranya dia dicalonkan sebagai Ketua Menteri Melaka.

Tindakan Idris dan tiga lagi ADUN rakan sekongkolnya belot kerajaan negeri Melaka adalah kerana Idris mahu DS Sulaiman Md Ali digugurkan dan dia sendiri diangkat sebagai Ketua Menteri sebagai ganti.
Lantas timbul persepsi, sekiranya Idris menang dan dia diketepikan sebagai Ketua Menteri oleh PKR dan PH, adakah dia akan meninggalkan PKR?
Nampaknya memang benarlah jika Idris Haron diumpamakan sebagai seorang yang kalah judi kerana pertaruhannya untuk menjadi Ketua Menteri sehingga terbubarkan kerajaan negeri Melaka, telah meleset.
Walau bagaimanapun rakyat akan sentiasa menanti untuk melihat apakah yang akan berlaku pada malam 20 Nov ini.
*****
Tinggalkan Jawapan