Editorial
7 Nov 2021
Pada 19 Okt lalu, terang-terang DAP telah menyatakan pendirian mereka menolak pengkhianat kerajaan Melaka untuk diangkat sebagai calon PH.

Tapi nampaknya Presiden PKR dan juga merupakan Ketua Pembangkang, DS Anwar Ibrahim tetap mahu mengutip dua daripada pengkhianat sedemikian sebagai calon PH.
Rakyat dan khalayak media tidak hairan kerana PKR sememangnya suka kepada tokoh-tokoh samseng dan biadap, sebagaimana ditunjukkan oleh penyokong tegar PKR dalam beberapa siri dan insiden yang menonjolkan sikap gangsterisme mereka.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli pula mendedahkan sikap genjot parti Amanah dan DAP yang memberikan altermatum kepada PKR semasa Bersatu hendak diterima masuk ke dalam Pakatan Harapan sebagai anggota tetap komponen pada 2016.
Rafizi yang menganggap Bersatu sebagai katak-katak politik, menyifatkan Amanah dan DAP hanya ‘berani’ berkokok di dalam mesyuarat PH.
Rafizi turut menegaskan beliau dan rakan-rakan PKR dalam Majlis Presiden PH berkeras Bersatu hanya diterima sebagai sekutu pilihan raya dan bukannya anggota PH supaya keputusan PH tidak kacau-bilau.
Malangnya Bersatu diterima sebagai komponen PH, malah mereka mendewa-dewakan pemimpin tua d’facto Bersatu sehingga diangkat menjadi PM. Akibatnya negara benar-benar menjadi kacau-bilau sehingga ke hari ini.

Sehari dua yang lalu, lagi sekali PKR dan Amanah mengulangi tindakan mereka mengambil 2 katak politik sebagai calon di PRN Melaka.
Bagi Rafizi, PKR yang selama ini menolak katak politik, telah melakukan kesilapan yang akan menghakis keyakinan rakyat terutamanya pengundi PRN Melaka terhadap langkah yang ‘tidak berprinsip’.
DAP yang mungkin telah mengambil iktibar daripada tindakan PH menerima Bersatu sebagai komponen tetap PH, berkeras menolak katak-katak pengkhianat yang telah menyebabkan tumbangnya kerajaan Melaka.
Lantas pada majlis pengumuman calon PH yang akan bertanding pada PRN Melaka 20 Nov ini, DAP langsung tidak kelihatan.
Sebagaimana didedahkan oleh FMT, pemimpin DAP meluahkan rasa tidak gembira dan tidak mahu menghadiri majlis berkenaan.

Kata pemimpin DAP bagaimanakah mereka hendak hadir sedangkan PKR dan Amanah menerima pembelot kerajaan negeri Melaka iaitu Haron Idris dan Nor Azman Hassan. Kedua-duanya akan bertanding atas tiket PH.
DAP menentang keputusan untuk menerima mana-mana daripada empat bekas ADUN yang belot kepada kerajaan Melaka itu.
DAP menganggap keputusan Anwar dan Mat Sabu itu sebagai satu kesilapan besar.
Pastinya pemimpin DAP pusat telah merujuk kepada pemimpin DAP Melaka serta pendirian mereka terhadap tindakan pengkhianatan ke atas kerajaan negeri oleh keempat-empat ADUN itu.
Adakah pendirian pemimpin pusat DAP itu sebagai reaksi DAP Melaka yang melihat bahawa kemenangan mereka pada PRU14 tidak akan dapat diulangi pada PRN 20 November ini?
PKR dan Amanah juga bukanlah pilihan rakyat Melaka apabila masing-masing hanya memenangi 2 kerusi DUN sahaja semasa PRU14 dengan pembohongan, fitnah dan janji palsu.
Adakah pengundi Melaka, masih mahu tertipu dan mengulangi kesilapan mereka pada PRU14 itu?
Sama-samalah kita tunggu dan lihat.
*****
Tinggalkan Jawapan