Editorial
2 Nov 2021
PAS nampaknya bersungguh-sungguh mahu menyatukan Bersatu-UMNO dan dirinya sendiri atas semangat perpaduan Melayu-Islam.
Nampak sangat PAS hanya beretorik kerana jika dia benar-benar mahu menyatukan umat Melayu-Islam di negara ini, kenapa tidak tarik bersama parti Amanah dan PKR?

Malah dari segi logik akal, prinsip keluarga Malaysia yang disarankan oleh Ismail Sabri lebih bersifat pernyatuan Melayu-Islam yang tidak menolak penyertaan etnik minoriti yang lain.
Jelas sekali PAS termakan dengan pancingan Bersatu, apabila ia kelihatan seperti lebih memanjakan Bersatu, parti ciput melukut di tepi gantang itu.

Kalau jujur hendak menyatukan parti yang tidak berpihak kepada pembangkang, PAS sepatutnya mengutamakan UMNO daripada parti ciput seperti Bersatu.
Lagipun sebagaimana didedahkan oleh ahli veteran dalam Bersatu, kelahirannya adalah idea yang dilontarkan oleh DAP, kafir harbi dengan agenda mahu Bersatu menggantikan UMNO dengan cara membunuh UMNO.
Begitulah juga dengan kelahiran Amanah yang merupakan idea DAP, sehingga logo dan warnanya juga adalah lontaran nukilan DAP untuk menggantikan dan memusnahkan PAS.
Semasa Tun Mahathir gah dengan kewujudan Bersatu, dia telah berkompang bahawa UMNO akan dikafankan, UMNO akan ditalkinkan, tapi hakikatnya hari ini satu persatu bahagian dan cawangan Bersatu dibubarkan, malah di Negeri Sembilan Bersatu langsung tidak wujud.
Mutakhir ini Bersatu Perlis juga sedang nazak dan tidak lama lagi akan ditalkinkan. Apa yang ada di sekeliling Muhyiddin hanyalah katak-katak politik yang ternganga mulut masing-masing untuk disuap.

Tidaklah memeranjatkan sekiranya bekas Menteri Bersatu, Datok Redzuan Mohd Yusof dikatakan akan meninggalkan parti itu.
Beberapa media arus perdana telah menghebohkan bahawa Redzuan secara terbuka mengkritik Bersatu sebagai parti yang sudah kehilangan haluan.
Meskipun Redzuan tidak menyatakan bahawa dia akan melompat ke parti lain, namun sudah riuh yang mengatakan dia akan meninggalkan Bersatu.
Selain Redzuan, bekas Ketua Bahagian Bersatu Arau, Ameir Hassan juga telah mengumumkan bahawa dia bukan lagi ahli Bersatu.

Pada Ogos tahun lalu, pengasas Bersatu bahagian Pagoh telah mengumumkan keluar parti.
Sekiranya Bersatu Bahagian Pagoh sendiri sudah gulung tikar di mana lagi Muhyiddin akan berkubu kerana kekuatannya adalah di Pagoh?

Penyakit keluar parti Bersatu itu melarat-larat bagaikan pandemik yang jelas menunjukkan bahawa Bersatu adalah parti yang lemah.

Hanya PAS sahaja cuba menunjukkan belas kasihan kepada Bersatu kerana semasa Muhyiddin berkuasa sebagai PM ke-8, orang-orang PAS diberikan kedudukan menteri dan jawatan bertaraf menteri.
Mungkin juga PAS sudah terkena ubat pengasih Bersatu sehingga dia lupa bahawa Bersatu adalah janda DAP.
******
Tinggalkan Jawapan