Editorial
28 Okt 2021
Bekas Exco Pemuda UMNO Mohd Rafiq Nazamohodeen yang telah digantung keahliannya, dan kemudian melompat ke parti Bersatu, nampaknya seperti gelabah untuk menghadapi PRN Melaka 20 Nov ini.
Pada PRU14, Mohd Rafiq Nazamohodeen, yang kini merupakan bekas ADUN Paya Rumput telah memenangi kerusi DUN tersebut dengan 12,102 mengalahkan calon BN Datuk Wira Abu Bakar Diah yang memperoleh 7,843, manakala calon PAS Rafie Ahmad hanya memperoleh 1,552.

Secara kasarnya, dengan sokongan PAS mungkin Rafiq boleh mendapat 13,654 undi.
Mohd Rafiq adalah Naib Presiden PPBM dan Ketua Badan Pimpinan PPBM Melaka yang pastinya akan mendapat sokongan padu, sebagaimana TS Muhyiddin yakin bahawa Bersatu tidak gentar menghadapi UMNO.
Dengan jumlah sokongan daripada calon PAS, kedudukan Mohd Rafiq bagi kerusi DUN tersebut boleh dikatakan kukuh.
Tapi mengapakah dia mengeluarkan kenyataan bahawa sukar bagi dirinya mempertahankan kerusi DUN Paya Rumput sedangkan PAS dikatakan akan membantu Bersatu?

Rafiq dikatakan akan beralih ke DUN Telok Mas yang dimenangi oleh seorang lagi bekas calon PPBM, iaitu Noor Effendi Ahmad.
Daripada rekod keputusan PRU14, calon Bersatu Noor Effendi Ahmad telah memenangi kerusi Telok Mas dengan jumlah undi 7,694 mengalahkan calon BN Datuk Abdul Razak Abdul Rahman yang memperoleh 6,406, manakala PAS Rosazli MD Yasin memperoleh 3,164.
Dengan kiraan mudah, sekiranya Rafiq mendapat sokongan PAS dia akan memperoleh 10,858 jika dia bertanding di Telok Mas dan 13,654 jika dia bertanding di Paya Rumput.
Sekiranya mahu dikira jumlah majoriti sekalipun, Rafiq sepatutnya lebih selesa di Paya Rumput berbanding Teluk Mas.
Namun amat aneh, apabila Rafiq mahu berpindah ke Teluk Mas sedangkan dia boleh memperoleh undi lebih besar sekiranya dia bertanding di Paya Rumput.

Penyandang kerusi DUN Teluk Mas, Noor Effendi Ahmad telah dipecat daripada Bersatu, setelah dia berpaling tadah kepada KM Melaka dan menyebabkan DUN Melaka dibubarkan.
Apabila PH tidak mahu menerima keempat-empat pembelot kerajaan Melaka itu, besar kemungkinan Noor Effendi akan bertanding atas tiket Bebas.
Namun Noor Effendi tetap bertekad akan bertanding juga di Teluk Mas.
Manakala PAS juga pasti mahukan kerusi DUN Teluk Mas kerana sokongan kepada calonnya agak tinggi meskipun mereka kalah pada PRU14.
Adakah akan berlaku perbalahan antara Bersatu dan PAS di Teluk Mas nanti kerana perebutan kerusi?
Apapun senario yang akan meningkatkan bahang panas antara Bersatu dan PAS, rakyat dan pengundi Melaka pada PRN 20 November ini mempunyai pandangan yang berbeza berbanding dengan PRU14.
Bersatu hanya memang dua kerusi, PAS langsung tidak memenangi sebarang kerusi, manakala UMNO-BN telah memang 14 kerusi semasa PRU14.
Kemenangan Bersatu-PH pada PRU14 bukanlah kemenangan yang benar-benar merupakan sokongan ikhlas pengundi, sebaliknya pengundi telah ditipu dengan janji palsu, fitnah dan pembohongan.
Lantas, adakah Bersatu dan PH akan dapat memperolehi sokongan yang sama sebagaimana mereka perolehi semasa PRU14, sedangkan kali ini rakyat sudah sedar dan insaf dengan corak pemerintahan PH selama 22 bulan dahulu?
Inilah antara faktor yang menyebabkan Rafiq takut, dan dipercayai bukan sahaja Rafiq, malah semua ADUN PH juga takut dengan gelombang perubahan sokongan pengundi.

Mungkin juga Rafiq takut melihat persiapan UMNO di Paya Rumput yang telah membuka 11 cawangan baru sejak tewas dalam PRU 14 yang lepas.
Walau bagaimanapun ada juga kehebohan bahawa pengundi DUN Paya Rumput menolak Rafiq kerana dia tidak menjalankan tugasnya sebagai ADUN dengan baik di Paya Rumput. Misalnya isu pencemaran di Tg Bruas yang tidak dipedulikan oleh Rafiq telah membuat pengundi menolaknya.
Sebagai Naib Presiden PPBM dan juga Ketua Badan Pimpinan PPBM Melaka perpindahan Rafiq serta kekalahannya nanti adalah sesuatu yang amat memalukan Bersatu dan akan menghancurkan ego Muhyiddin pada PRU15 nanti.
Walau bagaimanapun lihatlah nanti apakah episod politik seterusnya di PRN Melaka. Bersatu jangan lupa mereka hanya menang 2 kerusi DUN sahaja sebelumnya, dan PAS tidak memenangi apa-apa pun.
*****
Tinggalkan Jawapan