Editorial
21 Okt 2021
Apabila seorang Ahli Parlimen PKR, Hassan Abdul Karim menyalahkan kepimpinan PH Melaka sebagai ‘oportunis dan tidak bertanggungjawab’ sehingga membawa kepada fiasco (kegagalan dan memalukan) maka timbullah pelbagai spekulasi.

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu nampaknya membawa pandangan yang menentang arus perdana, apabila media banyak menuding jari kepada bekas Ketua Menteri, Idris Haron sebagai gila kuasa dan tamak untuk mendapatkan semula kedudukannya sebagai Ketua Menteri.
Salah satu persepsi, Hassan mendedahkan kepada rakyat bahawa apa yang berlaku di Melaka adalah rancangan dan strategi PH yang menghasut Idris supaya mendapatkan sokongan beberapa ADUN untuk menumbangkan DS Sulaiman Md Ali.
Sebagaimana dilaporkan FMT, Hassan telah mengeluarkan kenyataan bahawa sejak awal lagi beliau tidak bersetuju dengan sikap PH Melaka sehingga mengheret krisis berkenaan kepada pembubaran DUN dan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Kosa kata ‘sejak awal lagi’ bermaksud bahawa strategi mendapatkan SD itu bukanlah suatu tindakan yang terburu-buru tetapi telah dirancang oleh PH ‘sejak awal lagi’.
Khalayak tahu bahawa strategi yang menggunakan jumlah SD untuk menjatuhkan kerajaan adalah strategi DS Anwar, namun Hassan tidak mahu menyebut Anwar tetapi lebih selamat baginya untuk menuding jari kepada ‘PH’.

Sebagai ganjaran PH menjanjikan kedudukan KM kepada Idris Haron.
Masakan Idris mahu menentang UMNO sendirian tanpa sokongan PH, kerana dia tahu risikonya adalah pemecatannya sebagai ahli UMNO, sebagaimana tindakan yang telah pun diambil terhadapnya.
Namun dengan strategi bersepadu bersama PH, Idris sanggup menjatuhkan rakan seperjuangan daripada partinya sendiri, kerana dia tahu bahawa sekiranya UMNO menolaknya, PH-PKR sedia menerimanya, ibarat kata ‘nothing to lose.’
Bukan itu sahaja, Hassan juga menyalahkan kepimpinan PH pusat kerana gagal menangani krisis kemimpinan dengan baik.
Tidaklah jelas apa yang dimaksudkan oleh Hassan sebagai krisis, kerana apa yang khalayak tahu kerajaan Melaka yang tumbang pada 5 Oktober itu pada hakikatnya adalah kerajaan PH yang tumbang pada 2 Mac lalu setelah dua ADUN Bersatu menarik balik sokongan kepada KM, Adly Zahari.

Adakah ia telah dirancang sejak Nohizam keluar dari DAP dan mengisytiharkan dirinya sebagai calon bebas? Kini Norhizam seperti amat bahagia, apabila PKR dikatakan sudi menerimanya sedangkan DAP melabelkannya sebagai pengkhianat.
Kedudukannya tidak akan terjejas kerana pengundi yang menyokong DAP yang mengundinya pada PRU14 juga adalah pengundi yang menyokong PKR. Mungkin itulah percaturan Norhizam.

Jika sebelum ini kedudukan kerajaan BN-Bersatu dan PH adalah 17-11, maka setelah empat ADUN membelot, kedudukan menjadi 13-15.
Sekiranya demikianlah kedudukan kerusi antara kerajaan negeri dan pembangkang, maka baiklah diadakan PRN, kerana 13-15 adalah kedudukan yang amat tidak stabil berbanding 17-11 sebelumnya.
*****
Tinggalkan Jawapan