Dr Mamat Desa
18 Okt 2021
Bekas Peguam Negara TS Mohamed Apandi Ali mendedahkan bahawa Tun Mahathir telah membuat keputusan untuk membatalkan semakan dan pentafsiran penghakiman kes kedaulatan Pulau Batu Puteh serta Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang telah dijadualkan dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 11 Jun 2018.
Mahathir dikatakan telah menarik balik permohonan semakan kes Pulau Batu Puteh itu atas alasan ia tidak boleh dimenangi dan melibatkan kos yang tinggi.

Namun DS Najib Tun Razak telah membidas Mahathir bahawa dia tidak mempunyai hak untuk memutuskan sama ada permohonan semakan boleh dimenangi atau tidak.
Sebaliknya, ia adalah bidang kuasa ICJ atau Mahkamah Keadilan Antarabangsa untuk memutuskannya.
Walau bagaimanapun adalah tidak berasas untuk menyatakan bahawa Mahathir telah dinasihati oleh kabinet PH kerana keputusan Mahathir untuk mengarahkan pembatalan semakan semula tuntutan Pulau Batu Puteh itu dibuat pada 15 Mei 2018, sedangkan kabinet PH mengangkat sumpah pada 21 Mei 2018.

Pendedahan veteran UMNO Dr Puad Zakarshi dan DS Khaled Nordin menunjukkan bahawa kronologi dan tarikh Mahathir berkuasa, membuktikan bahawa Mahathir telah membuat keputusan tanpa nasihat badan perundangan negara.

Mahathir telah mengangkat sumpah sebagai PM ke-7 pada 10 Mei 2018.
Pada 14 Mei 2018, Peguam Negara TS Apandi Ali telah digantung tugas.
Mahathir mengarahkan pembatalkan permohonan semakan semula tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh pada 15 Mei 2018.
Jika benar, maka nampak sangat Mahathir tergesa-gesa menggantung tugas Peguam Negara pada 14 Mei dan pada 15 Mei dia terus membuat keputusan pembatalan rayuan tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh.

Kenapakah Mahathir tidak menunggu sehingga tertubuhnya kabinet kerajaan PH yang mengangkat sumpah pada 21 Mei 2018.
Apakah muslihat yang mahu disembunyikan oleh Mahathir, malahan sehingga PH tumbang, Mahathir tidak pernah mendedahkannya di parlimen.
Jelaslah bahawa ia adalah keputusan unilateral Mahathir, tanpa mahu terlebih dahulu merujuk kepada badan perundangan negara dan barisan kabinet.

Bidas DS Najib, “Bukan terletak pada kerajaan PH mahupun Mahathir untuk membuat keputusan menentang rayuan tersebut atas alasan tiada peluang menang.
“Mereka sepatutnya menyerahkan kepada ICJ atau Mahkamah Keadilan Antarabangsa untuk membuat keputusan mengenai rayuan itu.”
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menggesa agar rakyat perlu diberitahu sama ada tindakan tersebut sebagai akibat kecuaian dan membelakangkan kepentingan nasional.

Agak memeranjatkan apabila pemimpin DAP sendiri, Dr P Ramasamy yang merupakan ahli komponen PH, menyokong pendedahan DS Najib bahawa Mahathir bertanggungjawab ke atas kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura.
Ramasamy telah membuat kenyataan akhbar bahawa PH sepatutnya mengemukakan rayuan semakan semula keputusan terdahulu ICJ.
Ia membenarkan kebarangkalian bahawa Mahathir telah membuat keputusan sendiri, dan membangkitkan spekulasi bahawa terdapat urusan kerahsiaan antara Mahathir dan Singapura, di luar pengetahuan kabinet dan rakyat.
Antara spekulasi yang terbangkit adalah, Mahathir telah membuat perjanjian dan bidaan dengan Singapura sebagai timbal-balas untuk ganti rugi pembatalan HSR (High Speed Rail) di bawah kerajaan BN.
Ada juga dakwaan bahawa Mahathir mahu kerjasama Singapura supaya tidak berkongsi maklumat penting yang akan ganggu usaha Mahathir mengambil tindakan terhadap beberapa pemimpin BN.

Tegas Ramasamy, “Memandangkan Singapura mendapat banyak manfaat daripada hubungan jangka panjangnya dengan Malaysia, ini dapat digunakan secara diplomatik untuk mendapatkan pulau tersebut.
“Saya diberitahu, walaupun Malaysia mempunyai kes yang kuat dan mungkin dapat menang, fakta yang dibentangkan oleh Singapura tidak kukuh dan tidak kompeten.”
Dengan itu kata Ramasamy, “Mahathir harus jawab kegagalan besar ini.”
Jemaah Menteri PN di bawah kepimpinan PM DS Ismail Sabri telah bersetuju agar pasukan petugas khas diwujudkan bagi semakan semula undang-undang berkenaan kes Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh.
Pada masa yang sama, Jemaah Menteri juga telah membuat keputusan untuk mendapatkan tindakan undang-undang di bawah “Tort of Misfeasance” ke atas mana-mana pihak yang didapati telah melakukan kecuaian dan kekhilafan ekoran tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh.
Ini bermakna ‘Tort of Misfeasance’ adalah tertuju kepada Mahathir yang dilihat sebagai mengkhianati negara.
Kerajaan telah menubuhkan pasukan petugas untuk mengkaji kes Pulau Batu Puteh.
Pasukan petugas berkenan akan meminta pandangan pakar undang-undang antarabangsa mengenai permohonan menyemak semula keputusan ICJ.

Kes menolak rayuan tuntutan Pulau Batu Puteh juga telah menyebabkan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan duka-cita baginda, kerana Pedra Branca berada di bawah sempadan negeri Johor dan dengan itu ia merupakan hak milik Johor.
Baginda mahu tindakan tegas diambil kepada pihak yang bertanggungjawab melakukan kecuaian dalam proses permohonan semakan rayuan tuntutan Pulau Batu Puteh itu.
Sultan Ibrahim turut menuntut penjelasan daripada pihak berkenaan mengapa permohonan semakan ke atas penghakiman kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang dijadualkan pada 1 Jun 2018 tidak diteruskan.
Sejak isu ini dibangkitkan pada 8 Julai 2021, Mahathir terus mendiamkan diri, atau ‘mungkin’ dia sedang kelam-kabut mengadakan perbincangan sulit dengan pihak Singapura serta konco-konconya untuk menutup pekung yang telah terdedah.
*******
#BeritaHarian
#SinarHarian
#UtusanMalaysia
#FMT
#MalaysiaToday
#MalaysiaKini
#ISMAWEB
#AstroAwani
#EdisiSiasat
Tinggalkan Jawapan