Editorial
12 Okt 2021
Amat mengecewakan apabila Abdul Rauf Yusoh, telah mendedahkan bahawa UMNO dan BN Melaka telah melutut pada DAP untuk meminta nyawa bagi menyelamatkan DUN Melaka yang diketuai oleh DS Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri.
Nampaknya bagi Abdul Rauf tindakan sedemikian adalah tindakan yang amat terdesak untuk menyelamatkan ‘Kota Melaka’ sehingga terpaksa melutut kepada musuh setelah dua ADUN UMNO, seorang ADUN Bersatu dan seorang ADUN Bebas mengambil keputusan menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.

Meskipun Rauf telah menafikan hebahan media sebagaimana yang dilaporkan oleh FMT bahawa dia telah ‘meminta nyawa’ kepada DAP demi menyelamatkan kerajaan Melaka, namun Rauf telah mengaku bahawa dia telah mengadap pucuk pimpinan DAP Melaka dan mengadakan perundingan dengan tawaran kedudukan jawatan, tetapi tidak diendahkan oleh DAP.

“Saya cakap terus terang saya berunding malam sebelum itu dengan kepemimpinan DAP, saya menawarkan beberapa solusi untuk kita membendung supaya ini (kerajaan negeri tumbang) tidak berlaku.
“Tetapi adalah lebih malang saya melihat ia tidak diterima pimpinan DAP pada waktu itu,” katanya dalam wawancara secara langsung maya Sinar Harian.
Rauf juga memperakui bahawa dia tidak mewakili kerajaan negeri, sebaliknya mewakili parti UMNO.
Bagaimanapun, perundingan dengan pemimpin DAP itu tidak membuahkan hasil yang diharapkan meskipun tawaran dan pujukan telah dibuat kononnya sebagai kesediaan kerajaan negeri untuk bersama-sama pembangkang membangunkan Melaka selain mengelak ketidakstabilan politik.
Rauf juga mendakwa bahawa surat perakuan bersumpah empat ADUN yang melakukan serangan hendap terhadap kerajaan UMNO-PN, antara lain mempunyai matlamat untuk mengangkat semula Idris Haron sebagai Ketua Menteri.
Seandainya dengan terbubarnya DUN Melaka dan PRN sebagai natijahnya maka ia akan menjadi makmal ujian untuk melihat keberkesanan kerjasama UMNO dan parti yang akan menjadi rakannya.
Walau apapun agenda yang cuba dikendong oleh Rauf, tindakannya untuk melutut pada DAP, bukanlah tindakan yang selari dengan dasar ‘No DAP, No Anwar’.
Rauf juga dilihat sebagai bertindak tanpa mendapat restu daripada UMNO pusat khusus Majlis Tertinngi UMNO.
Malahan tindakan Rauf dilihat sebagai menjatuhkan maruah UMNO dan menjadi kebanggaan DAP yang kini menjaja bahawa UMNO Melaka tunduk dan melutut kepada mereka.
Walau bagaimanapun tindakan bekas Ketua Menteri, DS Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan mengadap Anwar juga adalah sesuatu yang amat memalukan UMNO.
Timbul juga persoalan, adakah sebelum tindakan menarik balik sokongan terhadap KM DS Sulaiman, Idris telah pun ditawarkan oleh PH jawatan Ketua Menteri?
Dengan alasan itulah dia berani bertindak untuk menentang Sulaiman, meskipun dia sedar jumlah DUN PH masih tetap tidak stabil apabila PH hanya memperoleh 15 DUN manakala BN-PN mempertahankan 12 DUN.

Walau apapun agenda Rauf, tindakan dia mengadap DAP dengan tawaran tertentu, adalah bertentangan dan mencabuli prinsip ‘No Anwar, No DAP’, kecualilah dasar tersebut telah dicairkan.
Sekiranya Idris Haron dan Azman Hassan telah dikenakan tindakan pemecatan kerana belot kepada parti, maka Rauf juga harus dikenakan tindakan yang sama.
Orang-orang beginilah yang telah meruntuhkan Melaka sebagaimana berlaku pada sejarah 1511.
*****
Tinggalkan Jawapan