Dr Mamat Desa
10 Okt 2021
Bekas Ketua Menteri Melaka, dan kini bekas ADUN DS Idris Haron cuba mengangkat isu pasir tambak laut di pesisir pantai Melaka, sebagai justifikasi bagi dirinya menentang Ketua Menteri DS Sulaiman Md Ali.
Namun pada awal krisis dia seperti berdolak-dalik mengatakan bahawa dia tiada apa-apa masalah dengan Sulaiman, namun kemudiannya menentang Sulaiman dan berani pula mengatakan bahawa UMNO memerlukan PH, dan dia melihat DAP-PH sebagai kuasa menyelamatkan UMNO.

Idris Haron seperti buta bahawa isu tambak laut pesisir pantai juga menjadi isu besar kepada nelayan di Pulau Pinang dan DAP adalah kuasa rakus yang mahu melebarkan pulau kecil itu tanpa mengira kemusnahan ekosistem serta periuk nasi nelayan.

DAP telah menggunakan perakuan satu-dua nelayan sebagai mewakili majoriti kononnya. Sikap rakus DAP serta tingkah oportunis, cauvinis dan hipokrasi mereka, nampaknya menjadikan Idris Haron buta terhadap siapa sebenarnya DAP.

Terkini Ketua UMNO Tangga Batu, DS Mohamad Ali Mohamad mendedahkan bahawa isu tambak laut pesisir Melaka telahpun dimulai oleh Idris sendiri semasa dia memegang tampuk kerajaan negeri sebagai Ketua Menteri, dan kini projek tersebut hanyalah merupakan kesinambungan kerja-kerja Idris juga.
Mohamad menjelaskan pada zaman Idris sebagai Ketua Menteri lagi, ribuan ekar projek tambak laut telah diluluskan, lantas kenapakah sekarang dia mahu mempertikaikannya?
Mohamad membidas Idris sebagai cuba memutar-belitkan fakta.
Kini SPRM juga akan membongkar tuduhan Idris Haron tentang skandal tambak laut pesisir Melaka, dan Idris juga tidak dapat lari daripada pembongkaran dan siasatan.

Anehnya dasar UMNO yang amat menekankan prinsip ‘No DAP, No Anwar’ tidak menjadi pegangan Idris apabila dia mencanangkan bahawa DAP-PH kononnya akan dapat menyelamatkan UMNO.

Nampak sangat bahawa Idris gelabah dan tidak konsisten dalam pendiriannya seakan-akan dia telah terjebak dengan perangkapnya sendiri.
Setelah bertindak menandatangani SD menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, DS Sulaiman, Idris (UMNO Sungai Udang) bersama Datok Nor Azman Hassan UMNO (ADUN Pantai Kundor), Datok Noor Effandi Ahmad Bersatu (ADUN Telok Mas) serta Datok Norhizam Baktee (Bebas), Idris menyatakan bahawa dia tidak menentang Ketua Menteri.
Masakan mereka tidak menentang Ketua Menteri, sedangkan tindakan mereka berempat telah menyebabkan DUN Melaka dibubarkan kerana DS Sulaiman kehilangan sokongan majoriti ADUN.
Keadaan menjadi kusut buat Idris apabila UMNO memecatnya dan Nor Azman Hassan manakala Bersatu pula memecat Effandi.

Dalam keadaan negara sedang terkial-kial memerangi pandemik Covid19, nampaknya Idris seperti tidak mempedulikan keadaan dan situasi keselamatan rakyat yang amat kritikal.
Nampaklah sangat bahawa Idris sebenarnya kempunan hendak mendapatkan semula jawatan Ketua Menteri. Pada sangkaan dan harapannya jawatan Ketua Menteri akan diberikan padanya semula setelah PH runtuh pada 2 Mac 2020.
Malangnya jawatan tersebut diberikan kepada DS Sulaiman Md Ali pada 9 Mac 2020.
Kali ini, dengan hilangnya sokongan majoriti ADUN, Idris sangkakan jawatan tersebut akan dengan mudahnya diberikan semula kepadanya.

Malangnya, dia terperangkap dengan jebaknya sendiri, apabila UMNO memecatnya yang menjadikan masa depan politiknya kini kabur.
Adakah mudah bagi dirinya mendapatkan sokongan daripada PH, sedangkan sebelum DS Sulaiman diangkat sebagai Ketua Menteri, jawatan tersebut diberikan kepada ADUN Amanah Haji Adly Zahari.

Situasi semasa juga tidak semudah dijangkakan kepada siapa jua yang menguasai negeri Melaka, ia tetap merupakan kerajaan yang rapuh dengan majoriti yang amat kecil dan tidak stabil.
Kini DUN Melaka telah dibubarkan, sama ada TYT akan umumkan proklamasi Darurat, atau PRN, belumlah dipastikan lagi, namun yang pasti Idris masih kempunan untuk menduduki semula kerusi Ketua Menteri.
*******
Tinggalkan Jawapan