KADIR JASIN TUDING MUHYIDDIN SEBAGAI ORANG PERTAMA AJAR CARA JATUHKAN KERAJAAN 

Dr Mamat Desa

6 Okt 2021

Krisis politik yang membosankan rakyat serta mencabuli sistem demokrasi atau setidak-tidaknya memperkosa etika politik yang bermula sejak peletakan jawatan Mahathir akibat tiada sokongan daripada konco-konconya, didakwa oleh Kadir Jasin sebagai ajaran Muhyiddin.

Kata Kadir Jasin, apa yang sedang berlaku di Melaka adalah bertitik-tolak daripada tindakan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin apabila kejatuhan PH dikatakan bermula dengan tindakan beliau.

Kadir Jasin lupakah dengan strategi 16 Sept DS Anwar Ibrahim pada 2017 untuk menjatuhkan Tun Abdullah Badawi?

Anwarlah yang kali pertama riuh sana-sini mengatakan dia sudah memiliki sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk tumbangkan kerajaan?

Kemudian berulang-ulang kali Anwar menggunakan taktik yang sama, tetapi terus gagal, mungkin kerana ‘sial’ yang dibawa oleh DAP yang sentiasa berada di sampingnya.

Namun Kadir berpendapat, bekas Perdana Menteri Ke-8 iaitu Muhyiddin Yassin adalah orang yang telah ‘mengajar’ cara menjatuhkan sesebuah kerajaan.

Meskipun Anwar gagal menjatuhkan kerajaan dengan menggunakan taktik bilangan dan angka sokongan majoriti ahli parlimen, tapi pada hakikatnya taktik tersebut telah digunakan oleh DS Shafie Apdal untuk menjatuhkan kerajaan di Sabah.

Shafie yang merupakan Presiden Warisan telah berjaya menghasut penyokong-penyokong BN Sabah supaya membelot terhadap TS Musa Aman.

Adakah Kadir lupa apabila Shafie telah berjaya menghasut 6 ADUN BN Sabah untuk mendapatkan majoriti mudah 35 kerusi DUN bagi membentuk kerajaan selepas enam ADUN BN menyatakan sokongan kepada Warisan.

Dari mana pula Shafie mendapat idea ini? Walaupun Anwar memulakan strategi 16 Sept, namun Tun Mahathirlah yang banyak menghasut, mengugut dan menawarkan ganjaran pada ahli parlimen untuk bersama dengan parti ciputnya Bersatu.

Sungguh menjengkelkan apabila Shafie seperti merampas kuasa Tan Sri Musa Aman yang telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri beberapa hari sebelumnya, dan belum lagi meletakkan jawatan, apabila Shafie sudah meluru untuk mengisytiharkan dirinya sebagai Ketua Menteri.

Rakyat percaya sifu Shafie, tidak lain dan tidak bukan adalah Mahathir, yang kemudiannya mahu Shafie menggantikan beliau dan menolak DS Anwar.

Khalayak faham masakan Kadir mahu menikam mahagurunya yang telah banyak memberinnya dedak.

Tindakan Presiden UMNO, DS Dr Zahid Hamidi menarik sokongan terhadap Muhyiddin bukanlah niat untuk menjatuhkan kerajaan kerana sebagaimana yang diperakui oleh Zahid, sebaliknya UMNO hanya menarik sokongan kepada Muhyiddin dan bukannya sokongan kepada kerajaan.

Tindakan Zahid adalah wajar kerana Muhyiddin ketika itu kelihatan sebagai penternak katak politik dengan tawaran kedudukan dan kewangan sehingga mewujudkan jawatan yang bertaraf menteri sebagai umpan untuk mempertahankan sokongan. Daripada siapa Muhyiddin belajar ini semua jika bukan daripada Mahathir?

Mungkin Kadir lupa apa yang telah didedahkan oleh bekas Ketua Polis Negara, Hamid Bador tentang katak-katak peliharaan Muhyiddin dan mungkin juga Mahathir.

Namun Kadir seperti rabun kerana tidak nampak bahawa Mahathir juga adalah sifu dalam hal mengajar ahli parlimen UMNO melompat parti demi merealisasikan cita-cita dia untuk menguburkan UMNO.

Lihatlah bagaimana Azmin Ali (bekas Menteri Ekonomi Mahathir), Zuraida Kamaruddin dan konco-konco mereka daripada PKR yang diberikan jawatan menteri untuk melompat meninggalkan PKR.

Malahan Muhyiddin dan orang kuatnya sendiri iaitu Hamzah Zainuddin juga merupakan katak yang telah melompat daripada UMNO.

Lantas bagaimanakah Zahid Hamidi boleh mempercayai mereka ini semua?

Mungkin juga ada rahsia lain, seperti dakwaan Saifuddin Nasution dan TS Hamid Bador terhadap taktik ‘carrot and stick’. Jika bukan tawaran jawatan yang lumayan, pastinya ada ugutan tindakan mahkamah.

Rakyat tahu sangat bahawa Bersatu sudah roboh di merata tempat, malahan di Pagoh sendiri, dan di Negeri Sembilan langsung bubar tanpa ada cawangan Bersatu lagi.

Tindakan Zahid menarik balik sokongan kepada Muhyiddin adalah wajar demi mengelak kemelut rebutan kerusi parlimen pada PRU15 nanti sekiranya UMNO dan Bersatu berada dalam satu kapal, kerana kerusi-kerusi Bersatu pada hakikatnya adalah milik UMNO yang hilang setelah mereka melompat untuk bersama Mahathir.

Lantas siapakah di belakang trend melompat parti ini semua?

Tindakan Zahid menarik sokongan terhadap Muhyiddin adalah kerana apa yang telah berlaku semasa PRN Sabah apabila konco-konco Muhyiddin telah tidak menunaikan janji mereka terutamanya tentang kerusi DUN BN yang banyak dibolot oleh Bersatu.

Malahan jawatan Ketua Menteri yang sepatutnya diberikan kepada UMNO Sabah juga telah dicabuli meskipun UMNO terus merendah diri mempertahankan GRS.

Kejatuhan Muhyiddin pada hakikatnya lebih didorong oleh tindakan Muhyiddin dan Menteri Undang-Undang yang dilabelkan sebagai derhaka kepada titah DYMM Agong. Kemelut itu ditambah lagi dengan perisytiharan penamatan Ordinan Darurat yang cuba disembunyikan.

Malahan pelaksanaan Ordinan Darurat itu sendiri dipersoalkan oleh pembangkang sebagai taktik Muhyiddin untuk mempertahankan kesinambungan hayat politiknya sebagai PM.

Penarikan diri UMNO daripada menyokong Muhyiddin hanya memperkukuhkan faktor kejatuhan Muhyiddin sebagai PM tetapi bukan penyebab utama kejatuhan beliau.

Kata Kadir Jasin, “Sekarang penyakit ini merebak ke negeri pula. Di Melaka, dua ahli dewan undangan negeri (Adun) dari UMNO berpakat dengan seorang Adun Bersatu dan seorang Adun bebas (asalnya DAP) untuk jatuhkan kerajaan pimpinan UMNO.”

Situasi yang berlaku di Melaka itu menurut Kadir, sama seperti Muhyiddin lakukan ketika menjatuhkan Perdana Menteri PH.

Nampaknya Kadir gagal melihat kejatuhan PH, bukanlah sangat kerana Muhyiddin tetapi disebabkan sikap bebal Mahathir sendiri yang kembali berubah seperti remaja yang baru baligh, cepat merajuk, tetapi kemudiannya menyesal meletakkan jawatan, meskipun sebelumnya telah dipujuk oleh DYMM Agong supaya tidak meletakkan jawatan.

Tidak ada sesiapa yang memberontak, tetapi Mahathir sebagaimana biasa amat sensitif jika menerima kritikan daripada konco-konconya dalam PH. Macamlah dia sempurna sangat.

Apa yang rakyat lihat, kerajaan PH ketika itu amat huru-hara, apabila rakyat seperti menarik balik mandat setelah enam PRK tidak memihak langsung kepada PH-Bersatu-DAP-PKR.

Isu ratifikasi ICERD dan Statut Rom telah menakutkan Mahathir apabila hampir 2 juta rakyat Melayu-Islam memenuhi kota raya KL untuk menunjukkan penentangan mereka dan sekaligus mencabar kedudukan Mahathir sebagai PM.

Situasi itu dihangatkan lagi dengan desakan Anwar yang mahu kerusi PM diserahkan kepadanya, yang sehingga akhirnya Anwar terus kempunan.

Kadir nampaknya gagal melihat kelemahan Mahathir sebagaimana kata seorang pemimpin Afrika kepada Mahathir suatu ketika dahulu setelah dia dilantik menjadi PM ke-7 dalam usianya 93 tahun, “Where are you leading your people? To the grave?”

****

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: