Editorial
30 Sep 2021
Kes kematian Muhamad Adib Mohd Kassim yang dahulunya panas kerana terpaksa melalui pelbagai rintangan terutamanya dengan kehadiran Peguam Negara pelantikan politik seperti Tommy Thomas, manakala kematiannya adalah akibat rusuhan kaum Hindu di kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya.
Adib meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN), sebulan selepas mengalami kecederaan daripada rusuhan di luar Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, di Subang Jaya pada 27 November 2018.
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin telah mengeluarkan kenyataan yang kontroversial apabila menyatakan bahawa kes kematian Adib telah ditutup buat sementara sehingga terdapat bukti baharu.
Kenyataan Zuraida telah menimbulkan persoalan sama ada siasatan masih diteruskan untuk mendapat bukti baharu atau sekadar menunggu mana-mana pihak membuat laporan.

Kenyataan Zuraida serta kedudukan kes kematian Adib bukan sahaja membangkitkan polemik, tetapi mengecewakan rakyat keseluruhannya, apatah lagi keluarga Allahyarham.
Adakah kenyataan Zuraida itu merupakan kenyataan rasmi pihak KDN serta jabatan Peguam Negara?
Meskipun Hakim Mahkamah Koroner telah memutuskan bahawa kematian Adib adalah berpunca daripada kekasaran fizikal seperti pukulan, dan dibuktikan oleh pengakuan Allahyarham semasa di hospital, serta beberapa rakaman video dan gambar, namun sehingga ke hari ini tiada keadilan yang nyata diberikan kepadanya mahupun ahli keluarga Allahyarham.
Keluarga Allahyarham Adib Mohd Kassim berasa amat kecewa dengan kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin bahawa kes kematian Adib ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baru.
Menurut ibu Allahyarham, Puan Asma Aziz, 54, dia dan suaminya, Mohd Kassim Hamid, 65, sebelum ini langsung tidak dimaklumkan oleh pihak berkuasa mengenai kes anak mereka itu ditutup sementara dan hanya mengetahuinya melalui laporan media.
Lihatlah bagaimana orang-orang yang direman dan dikaitkan dengan kes kematian Adib dibebaskan begitu sahaja, begitu juga dengan aktivis pengganas Tamil Elam LTTE melalui kuasa yang diberikan kepada Peguam Negara, Tommy Thomas.
Apakah yang dimakusdkan oleh Zuraida dengan status ‘ditutup sementara’. Adakah ditutup sebulan dua atau setahun dua yang kemudiannya nanti kes ini akan reput begitu sahaja.
Sekiranya kes ini ditutup, maka bagaimanakah akan ada bahan bukti yang baharu apabila tiada siasatan dibuat kerana kes ditutup?
Sepatutnya kes ini tidak ditutup dan penyiasatan dijalankan berterusan barulah akan terbongkar bukti-bukti baharu bagi menegakkan keadilan terhadap Allahyarham dan keluarganya.
Sebaliknya apabila kes ditutup, maka tiadalah siasatan dibuat, dan dengan itu fail kes akan reput begitu sahaja.
Walau bagaimanapun adakah bahan bukti sedia ada tidak mencukupi, atau hakikatnya ada sesuatu yang cuba ditutup?
Timbul pelbagai persoalan, adakah pihak Polis atau Peguam Negara akan menunggu bukti baharu daripada pihak lain sedangkan dalam kes siasatan jenayah pembunuhan hanya PDRM sahaja yang ada hak dan keupayaan untuk menyiasat?
Hakikatnya kes ini ditutup semasa Tommy Thomas dilantik sebagai Peguam Negara, sedangkan negara dan rakyat sudah tahu sebagaimana yang diperakui oleh Tommy, terdapat campurtangan politik dalam badan perundangan.
Lagipun kredibiliti dan kepercayaan terhadap Tommy Thomas oleh rakyat amatlah tipis, apabila dia sendiri mengaku dia dilantik atas tiket politik.
Tertuduh adalah kaum India, terbunuh adalah kaum Melayu. Etnosentrime Tommy memang dipertikaikan, lihatlah bagaimana dia juga membebaskan aktivis pengganas LTTE.
Bekas Ketua Polis Negara, TS Hamid Bador dan KDN juga telah berjanji siasatan kes pembunuhan Adib Kassim akan terus dijalankan.
Apakah hasil siasatannya, rakyat mahu mengetahui dan bukannya kes ditutup bagaikan ada sesuatu yang mahu disembunyikan.
Apakah tiada bukti terhadap pembunuhan kejam ini, pada hal banyak gambar dan video yang telah dirakam oleh pelbagai pihak.
Manakala suspek pembunuhan juga telah direman, manakala mangsa tidak berseorangan semasa berada di kuil yang dipenuhi oleh orang-orang yang tidak bertamadun, membunuh anggota keselamatan yang cuba membantu.
Pada zaman yang canggih dengan teknologi hari ini, amat musykil kenapa pihak polis tidak boleh mengenal pasti kes kejadian.
Adakah sesuatu yang mahu disembunyikan yang lebih daripada pembunuhan tersebut seperti pihak yang menuntut tanah kuil itu dikatakan berkait dengan syarikat One City Development Sdn Bhd iaitu syarikat pemaju yang menuntut kuil itu dipindahkan.
Malahan tanah baharu telah disediakan serta wang pampasan melebihi RM1 juta telah dibayar kepada pihak kuil.
Anehnya kuil itu tetap tidak berpindah, dan pembunuh Adib masih bebas.

Hakim Mahkamah Koroner Shah Alam telah membuat satu kesimpulan bahawa Adib telah dikasari dan dipukul yang mengakibatkan kecederaan fizikal sehingga akhirnya membawa kepada kematiannya.
Hakim dengan itu telah mengarahkan KPN, dan Peguam Negara supaya membuat sisasatan untuk memastikan keadilan bagi mangsa kes.
Semasa mangsa di hospital dia telah mengaku bahawa dia dipukul dengan teruknya oleh pihak pembunuh, ketika ditanya oleh pihak pekerja hospital. Ini juga adalah kenyataan penghakiman dalam inkues yang telah dijalankan.
Lantas bagaimanakah kes boleh ditutup?
Adakah masih tidak mencukupi bukti kes, setelah mendengar keterangan puluhan saksi kepada kes pembunuhan Adib, baik semasa kejadian, mahupun di hospital semasa mangsa masih hidup.
Jika keadilan tidak dapat ditegakkan untuk mangsa maka integriti dan kredibiliti PDRM akan dipersoalkan oleh rakyat.
Presiden UMNO, DS Dr Ahmad Zahid Hamidi juga merasa kecewa apabila kes Adib dikatakan ditutup buat sementara dan dibuka semula sekiranya ada bukti baru.
UMNO sentiasa menuntut agar keadilan terhadap Adib ditegakkan.
Kerajaan sebelum ini telah memberi jaminan untuk meneruskan siasatan.
Siasatan hendaklah terus dibuat sehingga kebenaran dapat diungkai dan keadilan ditegakkan buat Adib dan keluarga Allahyarham.

Pengerusi sebuah NGO, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya seakan memberi amaran bahawa mereka tidak menolak kemungkinan akan berlaku kebangkitan rakyat jika isu kematian Adib tidak ditangani dengan baik.
Apatah lagi ia memberi gambaran bahawa Tommy Thomas sebelumnya cuba melindungi kaum perusuh di Kuil tersebut.
Semasa isu kematian Adib masih panas, rakyat dapat melihat bagaimana kerajaan PH segera mencari jalan untuk mengelakkan sabitan pembunuh-pembunuh Hindu ke atas Allahyarham.
Pelbagai cara digunakan dan yang paling zalim ialah mengubah bahan bukti kematian Adib daripada serangan yang berniat membunuh, kepada kematian akibat dilanggar jentera Bomba atau akibat lain yang boleh mengelakkan sabitan ke atas puak Hindu di kuil Mariamman yang mengganas.
Bagi Aminuddin, adalah sukar untuk dipercayai bahawa pihak polis tidak dapat mencari bukti dan mengesan pesalah pada zaman teknologi yang serba canggih kini.
Pelbagai pengakuan serta video dan gambar telah diambil oleh pelbagai pihak semasa kejadian, di manakah bukti-bukti ini?
Mahkamah Koroner melalui keputusan inkues juga telah menyatakan dengan jelas terdapat bukti Adib dipukul, setelah mendengar keterangan daripada puluhan saksi dan melihat pelbagai bukti yang wujud di tempat kejadian, pelik sungguh jika kes ini ditutup begitu sahaja.
Justeru Pembela telah menyatakan bahawa mereka akan berusaha bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk dengan keluarga Allahyarham Muhammad Adib untuk mengorak tindakan seterusnya bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
******
Tinggalkan Jawapan