PELBAGAI SPEKULASI TIMBUL SETELAH JEPUN BERI AMARAN SERANGAN PENGGANAS

Editorial

17 Sept 2021

Tokyo telah mengeluarkan amaran kepada warganegaranya di seluruh Asian Tenggara tentang ancaman pengganas antarabangsa.

Kedutaan Jepun di Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina dan Myanmar memberi amaran kepada rakyatnya supaya mengelakkan diri daripada berada di tempat-tempat keagamaan dan kawasan ramai pengunjung yang signifikan menjadi sasaran pengganas.

Pegawai kedutaan Jepun mengesahkan, “Kami mengeluarkan nasihat tersebut selepas menerima arahan dari Tokyo,” katanya tanpa memperincikan lebih lanjut mengenai hal itu.

Ketika ini terdapat kira-kira 31,000 warganegara Jepun yang kebanyakannya adalah ekspatriat di syarikat-syarikat yang menggunakan kemahiran teknokrat serta pakar pengurusan Jepun.

Apabila meneliti kenyataan media, maka khalayak yang sensitif tertanya-tanya tentang ‘tempat ibadat’, dan ‘kawasan ramai pengunjung.’

Lantas timbul pelbagai spekulasi sensasi, adakah pengganas antarabangsa yang dimaksudkan adalah kumpulan ‘ekstremis agama’ sebagaimana kumpulan al-Qaeda yang anti-Amerika tetapi telahpun terbubar, atau adakah kumpulan agama penganut Islam anti-Budha sebagaimana di Myanmar atau kumpulan Syiah yang anti-Sunni?

Walau apapun kumpulan yang dimaksudkan, barangkali ia adalah kumpulan atau puak anti agama tertentu.

Selain itu jika sasaran serangan adalah tempat ibadah, adakah dalam bentuk tembakan rambang sebagaimana yang berlaku di Christchurch, New Zealand atau letupan bom jangka sebagaimana berlaku di Hotel Marriot, Bali.

Lantas, puak atau golongan manakah yang dimaksudkan oleh Tokyo?

Perkembangan terkini yang menjadi perhatian dunia ialah kejayaan Taliban mengenyahkan kuasa Amerika di bumi Afghanistan.

Adakah serangan yang dimaksudkan ialah serangan konco-konco ISIS-Daesh yang bertelingkah dengan Taliban dan aktivis mereka ramai direkrut daripada negara Asia Tenggara?

ISIS-Daesh adalah kumpulan gerakan teroris yang dikatakan cuba menggantikan al-Qaeda dan mereka adalah musuh Taliban yang kini telah menguasai sebahagian besar Afghanistan.

Sekiranya inilah yang menjadi spekulasi, maka serangan teroris dan ekstremis agama itu tidak signifikan berlaku di Malaysia.

Menteri Pertahanan Malaysia DS Hishamuddin Tun Hussein telah mengeluarkan kenyataan melalui taklimat bahagian risikan tentera, bahawa amaran Tokyo itu tidak berasas.

Malahan menurut DS Hishamuddin, “Dakwaan berhubung isu pengganas itu tiada asas langsung dan kita menunggu dari Wisma Putra yang bertanyakan Jepun, apakah sebabnya mereka mengeluarkan kenyataan berkenaan.”

“Tetapi daripada segi ancaman sebenar, saya boleh mengesahkan dalam konteks risikan tentera dan pengesahan daripada Ketua Polis Negara sendiri, tiada timbul sesuatu (ancaman) yang perlu kita bimbangkan di Malaysia,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Jelaslah dengan kenyataan Hishamuddin itu, sekurang-kurangnya rakyat Malaysia apatah lagi rakyat Jepun yang berada di Malaysia, tidak dihantui oleh rasa ketakutan dan kebimbangan.

****

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Website Built with WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: