Editorial
14 Sept 2021
Pada hari ini, hari kedua sidang parlimen (14 Sept 2021) antara lain telah menjadi pentas melepaskan rasa tidak puas hati pihak pembangkang yang disekat untuk bersidang di parlimen pada 2 Ogos lalu.
Pada tarikh tersebut, pihak kerajaan pimpinan TS Muhyiddin Yassin dipersepsikan sebagai gentar untuk berhadapan dengan usul undi ‘tidak percaya’ daripada pihak pembangkang, lantas menjadikan isu penularan Covid19 sebagai alasan untuk menyekat Ahli Parlimen (AP) terutamanya daripada blok pembangkang untuk memasuki Dewan Parlimen.
Apa yang menjadi isu ialah, bukan semuanya hendak berkumpul di parlimen atas tujuan ‘usul undi tidak percaya’ tetapi ada antaranya sekadar ingin ke pejabat sebagaimana yang didakwa oleh Ketua Pembangkang DS Anwar Ibrahim.
Selain itu, ada juga AP yang meninggalkan dokumen dan barang peribadi mereka di atas meja sidang, apabila mereka menjangkakan parlimen akan dibuka pada 2 Ogos itu sebagaimana yang telah dimaklumkan oleh Timbalan Speaker pada 29 Julai.

Isu tersebut dicetuskan oleh Ahli Parlimen (AP) Jelutung YB SN Rayer yang rasa amat aneh kerana semua AP telah dimaklumkan bahawa parlimen akan dibuka semula pada tarikh 2 Ogos setelah ditangguhkan pada 29 Julai.
Anehnya semua AP disekat masuk ke perkarangan parlimen oleh pihak polis, bukan sekadar di pintu masuk utama parlimen, malahan bermula di bulatan Bank Negara.
Akibatnya mereka telah berkumpul di sekatan jalan raya, dan dikenakan kompaun kerana melanggar arahan PKP Covid19.

Sekiranya mahu menutup Dewan Rakyat kerana tidak mahu AP bersidang dan membawa usul ‘undi tidak percaya’, mengapakah jalan utama di pusat bandar raya Kuala Lumpur itu ditutup?
Ia seakan-akan menyekat perhimpunan haram, sedangkan AP adalah wakil rakyat yang mahu membawa keluhan dan aduan rakyat untuk diladeni oleh kerajaan.
Persoalan yang terbangkit pada kalangan rakyat ialah, adakah sekatan tersebut merupakan strategi KDN untuk mempertahankan kedudukan PM TS Muhyiddin Yassin yang telah hilang kepercayaan daripada majoriti AP?
Luahan rasa mereka pada sidang pagi ini ditujukan kepada Menteri Dalam Negeri, DS Hamzah Zainuddin.
Tiada alasan lain lagi yang diberikan oleh Hamzah, selain isu keselamatan semua AP kerana penularan Covid19 yang dikatakan rencam pada waktu itu, dan pihak polis mahu ‘menyelamatkan semua AP supaya dapat hadir ke sidang parlimen hari ini (14 Sept)’.

Jelas Hamzah, “Parlimen telah ditangguhkan, maka sebab itu apabila arahan untuk tidak dibenarkan masuk, polis mengambil kuasa mengarahkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Jadi apa yang menjadi masalah kita di sini?”
Itulah antara perkara yang menjadi masalah dan bidasan rakyat dalam tindakan kerajaan menyekat pergerakan awam kerana pada hari ini dasar berubah meskipun situasinya sama.
Hari ini, rakyat boleh bergerak ke mana-mana demi menyelamatkan kelangsungan ekonomi sedangkan kadar kematian semalam 13 September adalah 413 dalam tempoh 24 jam, antara rekod tertinggi kes kematian, meskipun jumlah kes jangkitan 16,073.
Jika dibandingkan, jumlah jangkitan pada 2 Ogos ialah 15,764, dengan kes kematian 219, jauh lebih rendah dengan apa yang direkodkan hari ini.
Mengapakah hari ini 14 Sept, kerajaan tidak menyekat pergerakan AP ke parlimen sedangkan rekod jangkitan dan kematian adalah lebih tinggi daripada rekod pada 2 Ogos?

Namun apabila AP Pokok Sena Mahfuz Omar bertanya mengapakah tiada sekatan pada pintu masuk kediaman Perdana Menteri pada 2 Ogos itu, yang kelihatannya sibuk sebagaimana dilaporkan oleh media, Hamzah Zainuddin tidak dapat menjawabnya.
Jelaslah bahawa sekatan masuk ke parlimen pada 2 Ogos itu bukanlah sekatan untuk menyelamatkan ahli parlimen daripada Covid19, sebaliknya adalah sekatan politik untuk menyelamatkan TS Muhyiddin Yassin.
Malangnya Muhyiddin tumbang juga pada 21 Ogos 2021.
*****
Tinggalkan Jawapan