GURU PERCAYA MITOS ANTIVAKSIN – SATU TINDAKAN ANEH BAGI MASYARAKAT BERTAMADUN

Dr Mamat Desa

4 September

Sekiranya orang Asli, atau lebih manis disebut kaum asal pribumi, menolak vaksin, atau masyarakat pedalaman yang tersisih daripada media massa, mahupun media maya, menolak vaksin, maka bolehlah diterima.

Namun apabila sebilangan guru sekolah menolak vaksin, maka ia menjadi suatu bisul dalam masyarakat kerana menolak gerakan arus perdana yang berhempas-pulas cuba mengekang dan melawan penularan Covid19.

Beberapa hari ini rakyat dikejutkan dengan tindakan 2500 guru yang tidak mahu divaksinasikan sedangkan ia penting untuk menguatkan sistem imunisasi tubuh menentang jangkitan Covid19.

Guru adalah nadi dan jentera utama mendidik masyarakat supaya lebih bertamadun dalam menghadapi pelbagai gejala sosial, kesihatan, ekonomi, fahaman, kepercayaan, ideologi dan pelbagai lagi, namun apabila ada segolongan yang menentang gerakan seluruh dunia untuk melawan pandemik yang amat ganas ini, maka ada sesuatu yang tidak kena.

Ramai tahu bahawa terdapatnya maklumat yang mungkin juga boleh dikatakan dakyah menentang vaksin, tetapi tidak sedarkah golongan guru-guru ini bahawa tindakan vaksinasi ataupun imunisasi telahpun diamalkan oleh badan kesihatan negara sejak zaman sebelum merdeka lagi.

Imunisasi BCG, Hepatitis, Dtap-IPV, Pneumokokal, Campak, MMR, MR, DT, HPV, Tetanus, dan JE (sekadar mencatatkan apa yang telah dilaksanakan KKM) telahpun dikenakan kepada kanak-kanak Malaysia, untuk membantu kekuatan imuniti tubuh menentang penyakit-penyakit berkenaan.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh KKM, dalam isu jangkitan Polio suatu ketika dahulu, “Negara kita berisiko untuk mendapat jangkitan virus Polio kerana terdapat negara di dunia ini yang belum bebas dari penyakit Polio. Sekiranya terdapat pengembara yang dijangkiti virus Polio dari negara terbabit masuk ke kawasan di negara ini yang ramai ahli masyarakatnya tidak mendapatkan imunisasi Polio, maka risiko virus ini merebak adalah tinggi. Penularan ini akan lebih mudah berlaku sekiranya kebersihan diri tidak dijaga dan persekitaran kotor.”

Lantas, wabak Polio yang dahulunya menggerakkan KKM melaksanakan vaksinasi wabak tersebut, tidak mengalami sebarang masalah, kenapakah pula hari ini terdapat golongan guru-guru yang menentang vaksinasi anti-Covid19?

Sekolah akan mula dibuka pada 3 Oktober ini, manakala sebahagian besar para pelajar sekolah rendah tiada vaksin khas untuk mereka.

Lantas, apakah perasaan bagi ibu-bapa yang mempunyai anak yang masih bersekolah?

Sekiranya anak-anak dijangkiti, itu adalah suatu kemalangan bagi ahli keluarga, tetapi seandainya jangkitan itu melarat kepada ibu-bapa yang menjadi punca periuk nasi keluarga, maka apa pula akibatnya nanti.

Ia merupakan satu rantaian penularan yang tidak akan putus kerana daripada satu keluarga ia mempunyai kebarangkalian untuk mereka menjangkiti semua ahli masyarakat, komuniti sekolah, dan sesiapa juga yang berinteraksi dengan mereka tanpa alat pencegahan.

Walaupun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertegas tidak membenarkan golongan guru antivaksin terus bekerja, tetapi mereka tidak dibenarkan terlibat dalam sesi pengajaran di dalam kelas serta berinteraksi secara bersemuka dengan pelajar.

Adakah tindakan sedemikian memadai, sedangkan proses interaksi itu boleh berlaku di kantin, di bilik guru, di dalam sistem pengangkutan awam, di pos ofis, di kedai dan di mana-mana jua?

Di Johor dan Selangor, pihak Istana telah mencemarkan duli untuk berbincang dengan golongan ini, kerana baginda amat perihatin terhadap penularan yang tidak mengenal sempadan.

Bayangkanlah kedudukan di sesetengah hospital di kawasan padat penduduk, bilik ICU tidak lagi dapat menampung pesakit yang bukan sahaja terdiri daripada mangsa Covid19, tetapi banyak lagi kes lain yang perlu dilayani.

Bayangkanlah kekurangan katil, bekalan oksigen malahan pihak barisan hadapan sendiri (front liners) juga terdedah dengan jangkitan ‘makhluk halus’ (virus) itu dan ramai yang telah meninggal dunia.

Kemelut begini di hospital awam bukan sahaja berlaku di Malaysia, bahkan juga di negara kuasa besar seperti Amerika.

Rasanya pihak KKMM hendaklah peka dan gunakan kuasa dan upaya kementerian untuk menyekat dakyah dan propaganda luar yang mempengaruhi golongan antivaksin.

Misalnya Mayo Clinic Health System Amerika Syarikat telah menyeru warga dunia supaya tidak mempercayai pelbagai mitos tentang bahayanya vaksin Covid19.

Terkini Menteri KKM, Khairy Jamaluddin telah mengeluarkan kenyataan untuk melihat peruntukan perundangan untuk bertindak ke atas guru-guru yang menolak vaksinasi kerana mereka adalah penjawat awam yang berada dalam sfera masyarakat terbuka apabila berinteraksi dengan para pelajar.

Meskipun kerajaan mengekalkan dasar tidak mewajibkan vaksin, tetapi kerajaan khususnya kementerian kesihatan akan meneruskan pendekatan untuk menggalakkan orang awam mendapatkannya.

Bukan golongan guru sahaja, tetapi sektor pengangkutan yang terdedah dengan orang awam setiap hari, hendaklah juga dipastikan telah menerima vaksin.

Sekiranya, kaum Asal pribumi, perlu dipujuk, ia tidaklah merupakan perkara aneh, malah ada antara mereka mengambil tindakan untuk hidup memencilkan diri dalam hutan bagi mengelakkan vaksin.

Namun sekiranya ia melibatkan golongan guru, maka pastinya ia merupakan satu fenomena sosial yang aneh.

****

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: