Editorial
3 September 2021
Era DS Ismail Sabri Yaakob, mahupun era TS Muhyiddin Yassin adalah berbeza dengan era PH semasa mereka berkuasa selama 22 bulan.
Era ini ibarat era peperangan yang amat kompleks kerana musuh yang menyerang tidak diketahui letak duduknya.

Berbeza dengan serangan gerila komunis yang hanya berani serang hendap dan kemudiannya lari kembali ke hutan belantara.
Sebaliknya ini adalah era peperangan yang amat rumit dan kusut yang mungkin masyarakat Melayu lama mahu menamakannya sebagai peperangan dengan ‘makhluk halus’.
Dengan itu, apakah relevannya bagi ahli politik yang masih kecewa dan menyesali gelagat Tun Mahathir yang telah meletakkan jawatan PM, serta masih bermimpi untuk mendapatkan semula kuasa yang telah hilang.
Bukan tidak ada, tetapi ramai yang telah mengingatkan pemimpin PH supaya menjauhi Tun Mahathir, tetapi mereka termakan dengan propaganda DAP, ‘use Malay to screw the Malays’ sehingga Tun Mahathir sendiri mengaku bahawa dia adalah pemimpin ‘boneka DAP’.
Era ini adalah era rakyat bersikap dan bertindak ‘pragmatik’ dengan melihat apa yang telah kita buat, apa yang sedang kita buat, dan apa yang akan kita buat untuk menangani punca segala kemelut, kesinambungan nyawa, ekonomi, dan sosial.
KKM dan MKN sedang berfikir dan bertindak untuk mengekang jangkitan kes Covid, jumlah kes kematian, dan menghitung berapa jutakah rakyat yang sudah divaksinasi serta berapa juta lagi yang belum.
Malahan KKM juga sedang memikirkan bagaimana hendak meyakini golongan antivaksin supaya bersikap pragmatik kerana ‘mereka berkebarangkalian menjadi agen penularan.
Sekiranya mereka sahaja yang mati, itu soal lain, tetapi mereka akan menjadi sumber kluster yang menyebabkan kematian orang lain.
Hari ini, dunia membicarakan peningkatan semula kes jangkitan di Amerika Syarikat, di Eropah, di India, di China, di Afrika dan di mana-mana.
Bayangkanlah jika negara kuasa besar seperti Amerika sudah kekurangan katil dan bekalan oksigen di hospital mereka yang serba canggih, bagaimana pula dengan negara seperti Vietnam, Indonesia, Filipina dan negara kita juga?

Malangnya golongan ahli politik yang masih kecewa dengan gelagat Tun Mahathir yang kononnya mensia-siakan kuasa politik mereka apabila beliau meletakkan jawatan pada Feb 2020, masih dengan kata-kata nista dan pelabelan dan sentiasa menunggu dan menjenguk di sana-sana, mencari apakah kesilapan yang dilakukan oleh ahli kabinet DS Ismail Sabri, supaya mereka ada modal untuk kutuk, hina, keji dan caci-cerca.
Adakah itu semua boleh memperbaiki keadaan yang amat kritikal sekarang apabila kes akumulatif jangkitan sudah menjangkau 2 juta, dan kadar jumlah kematian adalah 6000-7000 sebulan?
Tidakkah pada hakikatnya sekiranya kita lalai, maka kita sedang beratur menunggu giliran untuk dikuburkan.
Rakyat dah muak dengan semua retorik, dan propaganda politik murahan, serta laungan caci-cerca yang tidak relevan, sebaliknya ia hanya menonjolkan gejala ketamadunan yang amat rendah.
Amat mudah mencaci-cerca dan mengkritik orang lain, daripada menjadi nakhoda yang mengemudi bahtera ketika badai dan taufan menguasai samudera.
Tanyalah Mat Sabu yang pernah direkodkan oleh pengkritik sebagai ‘Menteri Pertahanan Terbodoh di Dunia’.

Dahulu mereka labelkan urus-tadbir kerajaan Muhyiddin sebagai ‘kerajaan tebuk atap,’ kini mereka berwirid pula dengan label ‘kerajaan kabinet kita semula’, ada ‘toksid dalam kabinet’, ‘kabinet banyak katak’ dan macam-macam lagi.

Tetapi ada dalam kalangan pemimpin PH lupa bahawa semasa mereka berkuasa, Raja-Raja Melayu, dan agama Islam hampir hilang hak dan kedudukan apabila ICERD dan Statut Rom cuba diratifikasikan, aset Tabung Haji digadai, aktivis pengganas LTTE dibebaskan sedangkan wanita yang hanya menyimpan buku ISIS dipenjara 5 tahun, pembunuh Almarhum anggota Bomba Adib Kassim masih bebas, manifesto dianggap sebagai kertas tisu, membohongi rakyat dengan hutang negara RM1 trillion, peneroka FELDA dan peminjam PTPTN tertipu dengan janji palsu dan banyak lagi.
Ini bukan caci-cerca, tetapi semua itu adalah tindakan tidak pragmatik pemimpin PH.

Apa salahnya bersama-sama membantu DS Ismail Sabri yang sentiasa menghulurkan tangannya sebagai salam ‘Keluarga Malaysia,’ kerana dalam keadaan kritikal sebegini, kita tidak tahu dan tidak sedar bahawa esok liang kubur kita akan digali.
*****
Tinggalkan Jawapan