Editorial
2 September 2021
Gejala Ahli Parlimen (AP) melompat parti kerana mengejar wang dan kedudukan di samping menyelamatkan diri daripada ugutan tindakan mahkamah, adalah suatu pencabulan terhadap etika dan moral politik.
Bekas Ketua Polis Negara TS Hamid Bador, pernah menyatakan, “Saya tengok rasuah merata-rata dalam politik. (Pemimpin) mabuk kuasa dan membeli orang lain dan mengugut (yang enggan dibeli). Itu adalah rasuah. Rakyat sudah muak tengok sekejap ‘katak’ melompat sana, sekejap berbunyi sana, apa itu?”
Malangnya tiada akta undang-undang yang menyekat gejala lompat parti itu.
Sejak PRU14, apabila BN gagal mempertahankan kuasa, gejala AP melompat parti amat ketara sekali, malahan mencatatkan rekod gejala politik dalam sejarah negara iaitu 17.56% atau 39 AP daripada 222 keseluruhan AP di parlimen (dapatan data Mac 2021, tidak dikemaskini).
AP UMNO Pengerang, DS Azalina Othman Said menyarankan agar kerajaan pimpinan PM DS Ismail Sabri Yaakob menggubal undang-undang pemecatan Ahli Parlimen yang melompat parti dan diikuti dengan pemilihan semula untuk mengelak wakil rakyat melompat parti.

Justeru Azalina akan membawa usul Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 ke parlimen mengikut Peraturan Mesyuarat 49(1) pada persidangan Parlimen yang akan bermula 13 September ini.
Beliau berharap usul ini menjadi titik permulaan untuk memperkenalkan pilihan raya semula (PRK) setelah mana-mana AP dipecat kerana melompat parti.
Azalina juga telah menyatakan perasaan besar hatinya setelah perbincangan di antara blok AP kerajaan, blok AP pembangkang, dan blok AP Bebas untuk memperkenalkan undang-undang mencegah lompat parti.
Walau bagaimanapun kaedah yang terbaik bagi Azalina untuk mencegah tindakan lompat parti adalah dengan menggubal Akta Pemecatan AP yang melompat parti, dan beliau berharap dan berharap usulnya akan mendapat sokongan dan akta berkenaan digubal tanpa sebarang masalah.
Melalui akta baharu itu hak pengundi pada PRU, serta jentera yang membantu berkempen dapat dipertahankan supaya mana-mana AP tidak membelakangkan pengundi.
Azalina, menjustifikasikan saranan beliau bahawa pilihan raya semula akan dapat menjadi jalan penyelesaian kerana pengundi akan mendapatkan kembali hak untuk memutuskan semula jika wakil rakyat yang mereka pilih membelot terhadap parti asal mereka.

Saranan Azalina juga mendapat sokongan daripada kumpulan reformasi pilihan raya Bersih 2.0.
AP yang melompat parti ditanggapi sebagai pengkhianat kepada parti yang mencalonkan mereka, serta pihak yang membantu berkempen untuk mereka pada saat-saat PRU akan diadakan.
Seandainya terdapat AP yang dipilih melompat parti, maka sudah pasti pengundi tiada lagi keyakinan terhadap calon plihan raya dan faktor ini akan mencairkan minat rakyat untuk mengundi.
Seperkara lagi, Azalina mahu rakyat melihat bahawa persaingan politik antara parti adalah sesuatu yang berfaedah kepada rakyat dan tidak harus dilihat sebagai mencambahkan kebencian sesama rakyat apatah lagi sesama wakil rakyat.
Perbezaan pendapat dan pandangan antara wakil rakyat hendaklah dilaksanakan secara bertamadun baik dalam parlimen mahupun di luar parlimen, supaya fungsi ‘semak dan imbang’ dapat dizahirkan.

DS Najib Tun Razak menempelak pemimpin parti Bersatu yang menggesa supaya Akta Antilompat Parti digubal segera untuk menyekat AP daripada wewenangnya melompat parti, sedangkan Bersatulah yang banyak mengendong AP yang melompat itu.
Sekiranya akta berkenaan dikuatkuasakan maka parti asal yang meletakkan mereka sebagai calon AP akan tentunya menghadapi masalah untuk mengekalkan pemimpin politik sedemikian kerana mereka akan menjadi parasit, duri dalam daging, gunting dalam lipatan, dan musuh dalam selimut.
Sebelumnya, Presiden Bersatu, TS Muhyiddin Yassin pada saat-sat akhir beliau menduduki kerusi PM, telah menawarkan pakej merentasi parti dan kerajaan bipartisan kepada pembangkang.
Tindakan yang lebih baik dan signifikan ialah dengan mewujudkan Akta PRK Semula atau ‘recall election’ bagi menghalang wakil rakyat melompat parti sewenang-wenangnya.
Pertamanya mereka hendaklah dipecat daripada parti asal dan keduanya, pemilihan PRK diadakan semula supaya ia lebih adil dan relevan kepada pengundi dan parti asal AP berkenaan.
Kaedah sedemikian telah diguna pakai oleh bebebrapa negara Komanwel.
Akta anti lompat parti semata-mata yang melarang AP berkenaan hanyalah menyekat mereka daripada lompat parti sedangkan mereka sudah tidak ada keikhlasan lagi untuk bersama dengan parti asalnya, dan ini akan membawa padah kepada parti asal mereka.
Agak aneh dan melucukan apabila terdapat pemimpin parti Bersatu yang paling ramai memiliki pemimpin ‘katak politik’ mahu akta antilompat parti dilaksanakan segera.
Bagi DS Najib mungkin mereka bimbang bahawa katak politik yang telah melompat ke dalam sesebuah parti itu akan melompat lagi ke parti lain pula setelah memenangi PRU.
*******
Tinggalkan Jawapan