Editorial
27 Ogos 2021
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, berpendirian yang sama dengan DS Anwar Ibrahim apabila melabelkan kabinet baharu Ismail Sabri sebagai kabinet kitar semula.
Baru dua hari dia bersama Anwar menyambut baik dasar ‘Keluarga Malaysia’ dalam pertemuan dengan DS Ismail Sabri, yang tidak pernah dilakukan oleh PM sebelum ini.

Mereka berikrar untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam mencari titik persamaan dalam usaha meredakan suhu politik negara.
Kata Guan Eng, “Ia juga akan menimbulkan persoalan apakah Ismail ikhlas untuk melaksanakan pembaharuan institusi yang konkrit dalam melindungi hak-hak demokrasi dan Perlembagaan seperti yang dikemukakan semasa pertemuannya dengan tiga pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) dua hari lalu.”
“Kerajaan sekarang ini perlu hentikan kegagalan kerajaan terdahulu termasuk penguatkuasaan yang tidak adil, dasar yang sering bertukar, pusingan-u dalam pelaksanaan SOP dan penangguhan vaksinasi selain melaksanakan program ujian saringan besar-besaran,” katanya.
DS Anwar menterjemahkan kabinet baharu DS Ismail sebagai ‘menghampakan rakyat’ kerana nama-nama menteri dan timbalan menteri dilantik secara kitar semula daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
Anwar meberikan justifikasi bahawa menteri-menteri kabinet PN yang terdahulu telah gagal menggalas tugas sebagai menteri dan timbalan menteri.
Hampir semua menteri dan timbalan menteri di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik semula sementara hanya beberapa wajah baru dilantik manakala beberapa daripada mereka hanya bertukar portfolio.
Anwar turut meluahkan kebimbangannya apabila lantikan-lantikan yang tidak membawa sebarang perubahan itu akan terus menyebabkan Malaysia kehilangan pelabur yang berpotensi menambah pendapatan negara.
Amanah melalui Ahli Parlimen Pulai, DS Salahuddin Ayub membidas kabinet Ismail Sabri sebagai hanya sekadar langkah survival atau kelangsungan hayat politik dirinya sendiri dan bukannya untuk rakyat dan kelangsungan ekonomi.

Pemuda Amanah, sebagaimana kenyataan Muhammad Taquiddin Che Man mengkritik kabinet baru yang diumumkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai ketandusan pemimpin yang berkebolehan untuk diberi tanggungjawab sebagai menteri dalam kerajaan.
Ismail dilihat hanya membuat rombakan kecil untuk beberapa portfolio, sebahagian besar menteri yang berada dalam kebinet semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai kerajaan dikekalkan meskipun telah terbukti mereka gagal menjalankan tanggungjawab.
Dalam pada itu, katanya barisan kabinet ini juga dilihat gagal menterjemah aspirasi rakyat yang mahukan sebuah pasukan baharu yang lebih berwibawa untuk membawa Malaysia keluar daripada masalah yang sedang dihadapi.
Rakyat mungkin rasa kecewa apabila menteri seperti DS Hamzah Zainuddin yang terbukti telah membangkitkan isu pertindihan kuasa badan Eksekutif dan badan Perundangan, masih berada pada kementerian yang sama.

Rakyat bimbang sekiranya Hamzah masih mengendong budaya genjot Tun Mahathir yang telah mencabul konsep pengasingan kuasa Badan Eksekutif dan Badan Kehakiman sebagaimana yang pernah didedahkan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan juga bekas Peguam Negara TS Mohamed Apandi Ali.

Terdapat juga teguran pihak pembangkang tentang nama Datok Azalina Othman Said yang tercicir, dan mereka mahu Azalina diberikan semula tugas sebagai Timbalan Speaker atas kewibawaan yang telah beliau tunjukkan sebelum ini.
DS Najib Tun Razak pula berpendapat pihak pembangkang berasa kecewa dengan barisan kabinet baharu, seolah-olah kebanyakan menteri dan timbalan menteri yang dilantik adalah orang yang sama dan ini merupakan kabinet ‘kitar semula’.
Namun mereka lupa bahawa barisan kabinet yang diputuskan oleh PM DS Ismail Sabri telah mendapat perkenan DYMM Agong.
Barisan sedemikian rupa perlu untuk mengelak perubahan terlalu besar dilakukan pada ketika tempoh kritikal ini, kerana beberapa menteri sebelum ini sudah mendalami misi dan tanggungjawab masing-masing dan apa yang perlu ialah memperbaiki kesilapan dan kelemahan.
Perkara yang penting ialah kabinet ini tidak lagi diterajui oleh Muhyiddin yang menjadi punca utama kegagalan PN.
Walau bagaimanapun menurut DS Najib, hampir separuh kementerian kerajaan telah bertukar pemimpin. Antaranya:
- Luar Negara
- Kesihatan,
- Pertahanan
- Sains, Teknologi dan Inovasi
- Perumahan dan Kerajaan Tempatan
- Komunikasi dan Multimedia.
- Wilayah Persekutuan
- Tenaga dan Sumber Asli.
- Pembangunan Luar Bandar
- Belia dan Sukan.
- Usahawan dan Koperasi
Selain itu, menteri bagi Hal Ehwal Agama, Undang-Undang dan Tugas-Tugas Khas Jabatan Perdana Menteri turut bertukar.
Dalam konteks pandemik Covid19, Najib percaya bahawa dasar MKN dalam hal pengawalan akan berubah sebab ketua MKN telah bertukar.
Sekiranya ada yang masih mahu buka pintu belakang, ketua MKN baharu yang mempunyai hak serta kuasa bagi keputusan terakhir perlaksanaan dasar akan menghalangnya.
Apa yang penting bagi Najib ialah hasil dan pencapaian.
Walau apapun prasangka pelbagai pihak, DS Ismail Sabri memberikan tempoh 100 hari untuk para menteri membuktikan pencapaian serta kemampuan mereka baik dalam aspek menangani Covid19 mahupun aspek ekonomi, pendidikan, keselamatan dan kebajikan rakyat.

Adakah kenyataan Ismail itu sebagai satu tanda aras yang perlu dicapai yang jika gagal maka tindakan akan diambil?
Kita tidak tahu, adakah Ismail berani melucutkan jawatan menteri yang telah diberikan kepada mereka sekiranya mereka tidak menunjukkan pencapaian yang signifikan?
Lagipun tempoh penggal bagi PRU15 sudah hampir, kerana ia mesti dilaksanakan sebelum masuknya 2014.
*****
Tinggalkan Jawapan